Sabtu, 5 Ogos 2017

Prosiding Pertama Siasatan Forex Selasa Ini





KUALA LUMPUR – Prosiding pertama siasatan kes kerugiaan akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia sekitar tahun 1990-an akan diadakan di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman Putrajaya pada 8 Ogos ini.


Menurut Setiausaha Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia Sekitar Tahun 1990-An, Datuk Dr. Yusof Ismail, prosiding tersebut terbuka kepada orang ramai bermula jam 9.30 pagi.

Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan penubuhan suruhanjaya berkenaan di bawah Akta Siasatan 1950 (Akta 119), berkuat kuasa mulai 15 Julai 2017.

Suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Tan Sri Sidek Hassan itu perlu menentukan kesahihan dakwaan mengenai kerugian akibat urus niaga pertukaran mata wang asing yang dialami oleh Bank Negara Malaysia sekitar tahun 1990-an serta implikasinya kepada ekonomi negara.

Mereka juga perlu menentukan sama ada penglibatan Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian tersebut adalah bertentangan dengan Central Bank Ordinance 1958 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan.

Terdiri daripada enam panel termasuk pengerusnyi, suruhanjaya tersebut perlu menentukan sama ada terdapat elemen menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing itu dan memberi kenyataan yang mengelirukan (misleading) Jemaah Menteri, Parlimen dan rakyat.

Mereka juga perlu mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung jika didapati mereka menyebabkan kerugian Bank Negara Malaysia serta menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian itu; serta memberi syor langkah-langkah bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: