Jumaat, 4 Ogos 2017

Program #Quranhour sempena Merdeka ‘bidaah baik’

 
Program diselitkan pada sambutan Hari Kebangsaan ini mendekatkan umat Islam dengan Al-Quran, kata Majlis Dakwah Negara.


quranhour

BANGI: Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos yang akan diselitkan dengan bacaan al-Quran menerusi kempen Merdeka #Quranhour dan World #Quranhour merupakan ‘bidaah hasanah’ yang dibolehkan dan tidak bertentangan dengan agama Islam.

Timbalan Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Datuk Zakaria Stapa berkata program itu sememangnya baik kerana ia antara usaha mendekatkan umat Islam dengan Al-Quran.

“Ada pihak yang mendakwa program ini berbentuk bidaah iaitu perkara yang tak dilakukan pada zaman Rasulullah, tapi kita harus lihat perkara ini dari skop yang lebih luas… dahulu tak ada program sebegini sebab aktiviti orang terdahulu semuanya berkaitan Al-Quran.

“Sekarang, kegiatan harian kita tidak tertumpu pada bacaan Al-Quran dan masyarakat kita agak jauh dengan Al-Quran. Program ini sangat bagus, bawa umat Islam berinteraksi dengan Al-Quran dan ianya adalah bidaah hasanah iaitu bidaah yang baik,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Zakaria berkata usaha mendekatkan diri dengan Al-Quran perlu dilakukan semua pihak termasuk institusi keluarga yang harus memainkan peranan mewujudkan suasana cintakan Al-Quran di rumah.

“Kita perlu wujudkan satu suasana, sudut di rumah… sekurang-kurangnya satu jam sehari kita baca bersama keluarga. Mungkin, selama ini kita abai perkara ini.

“Memang tak dinafikan, semua umat Islam pasti ada Al-Quran di rumah. Tapi persoalannya, adakah kita baca, faham dan hayati setiap isi kandungannya? Ini yang harus kita perbaiki dan sedar,” katanya.

Zakaria berkata sambutan yang berasaskan kerohanian itu juga harus dipuji dan disambut baik semua pihak.

“Sambutan hari kebangsaan atau kemerdekaan yang berasaskan kerohanian ini memang bagus sebab Islam melihat kemerdekaan itu sebahagian daripada keimanan dan ianya semangat partiotisme yang mana kita perlu pertahankan,” katanya.

Program World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour akan diadakan pada 31 Ogos ini di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak bermula 11.30 pagi hingga 1.30 petang dan Dataran Merdeka bermula 8.30 malam hingga 10.45 malam.

World #QuranHour bertemakan Dunia Berbudi & Penyayang pula dijadual dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Padang Arafah.

#QuranHour adalah inistiatif yang dicetuskan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) Datuk Hussamuddin Yaacub. Ia adalah kempen secara besar-besaran bagi memperkasakan ummah melalui ilmu dan amal berlandaskan Al-Quran.

Tiada ulasan: