Selasa, 1 Ogos 2017

PM Najib umum lima skim baharu veteran ATM

Bernama

Najib berkongsi berita gembira itu di hadapan lebih 15,000 veteran ATM pada Perhimpunan Veteran ATM sempena pelancaran Tabung Pahlawan 2017

SERI KEMBANGAN: Perdana Menteri Najib Razak hari ini mengumumkan lima skim baharu bagi golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  termasuk bantuan tahunan untuk veteran tidak berpencen dan skim anuiti.

Berkongsi berita gembira itu di hadapan lebih 15,000 veteran ATM pada Perhimpunan Veteran ATM sempena pelancaran Tabung Pahlawan 2017 di sini, Najib mengumumkan inisiatif Bantuan Bakti Negara (BBN) yang akan dijadikan sebagai bantuan permulaan daripada kerajaan khas kepada veteran ATM tidak berpencen.

“BBN ini merupakan bantuan tahunan kepada veteran ATM tidak berpencen untuk membantu mereka meningkatkan tahap sosioekonomi mereka,” katanya pada perhimpunan di  Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC)  itu.

Najib berkata skim BBN itu adalah lanjutan daripada pengenalan skim kepada veteran ATM yang diperkenalkan pada 2013 iaitu Skim Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia.

“Perkara ini diteruskan bagi memastikan nasib Veteran ATM yang tidak berpencen akan terus dibela oleh kerajaan.

Pengenalan BBN ini merupakan satu bentuk mekanisme baharu bagi kerajaan untuk membantu golongan Veteran ATM yang berpendapatan rendah dan tidak berpencen tanpa membebankan sumber kewangan kerajaan sedia ada,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin pada perhimpunan itu.

Tiada ulasan: