Jumaat, 18 Ogos 2017

PKR Sudah Goyang : Wan Azizah Bayangkan Mahu Berbaik Semula Dengan PAS






PKR dilihat goyang selepas PAS Permatang Pauh menghantar isyarat mahu bertanding di Parlimen Permatang Pauh yang diwakili Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah dalam kenyataan terbaharu berkata partinya tidak menolak kemungkinan bekerjasama semula dengan PAS berkenaan pembahagian kerusi pada PRU 14, meskipun parti Islam itu bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan.

“Memang objektif kita adalah menjatuhkan Barisan Nasional (BN). Kalau ada apa-apa yang boleh membantu kita ke arah itu, kita akan cuba,” katanya kepada FMT, malam tadi.

Wan Azizah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pembahagian kerusi di antara PKR dan PAS pada PRU akan datang bagi mengelak pertandingan 3 penjuru.

Mei lalu, PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR. Bagaimanapun, ia tidak menghalang beberapa pemimpin PKR termasuk Wan Azizah dan timbalannya Datuk Seri Azmin Ali melawat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Azmin menjelaskan, kunjungan itu hanyalah suatu lawatan dan tiada perbincangan dilakukan.
Tambahnya, walaupun PAS bukan sebahagian PH, namun partinya masih sudi membincangkan pilihan kerusi.

Namun Azmin menegaskan sehingga ke hari ini masih tiada perbincangan rasmi dilakukan antara kedua-dua parti.

Menurut Wan Azizah, ruang perbincangan masih terbuka dan terbukti apabila arahan letak jawatan terhadap lantikan politik PKR dalam pentadbiran Kelantan yang dikuasai PAS, diubah setelah perbincangan dilakukan.

“Bila kita berkomunikasi, menteri besar Kelantan sendiri katakan masih perlu untuk kerjasama dengan PKR. Jadi kita okay, kalau mana yang dikekalkan, maka ia diteruskan,” katanya ringkas.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Khairuddin Aman Razali berkata PKR mesti “bertaubat nasuha” terlebih dahulu sebelum berhasrat menjalin kerjasama semula dengan PAS.

“Macam mana nak bekerjasama jika pimpinan PKR berterusan menyerang PAS dengan pelbagai tuduhan termasuk fitnah PAS menerima dedak Umno?” kata Khairuddin kepada FMT.

Beliau berkata PKR menghulurkan kerjasama kerana merasakan kedudukan mereka, khususnya di Selangor, yang ditadbir bersama PAS tergugat.

“Ini hanyalah cubaan PKR menagih simpati PAS,” jawab Khairuddin. “Sebelum ini mereka sombong dan berlagak seolah merekalah parti terkuat di dunia.”

PAS memiliki 13 kerusi DUN di Selangor, bersama dengan PKR (13), DAP (14) dan Amanah (2) untuk membentuk sebuah kerajaan gabungan. Kerusi DUN Bukit Antarabangsa, yang diduduki Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, berkongsi kawasan Parlimen Ampang dengan Adun Lembah Jaya Khasim Abdul Aziz dari PAS. Kerusi Parlimen Gombak turut mempunyai seorang Adun PAS, Hasbullah Mohd Ridzwan di DUN Gombak Setia.

“Ahli dan pimpinan PAS tidak sesekali akan dipatuk ular 2 kali dalam hubungan dengan PKR,” kata Khairuddin.

“Mereka menyokong ahli Parlimen PAS melompat ke parti mereka ketika sedang bertahaluf. Mereka berpakat dengan mereka yang mengkhianati PAS ketika bertahaluf. Di mana semangat setiakawan?”

Beliau dipercayai merujuk kepada Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar, yang menyertai PKR pada 11 September 2015. Kemasukan itu menyusuli tindakan keluar parti pemimpin veteran PAS seperti Ahmad Awang, Mohamad Sabu, Khalid Samad, Salahuddin Ayub, Dzulkefly Ahmad, Mujahid Yusuf Rawa dan Raja Kamarul Bahrin untuk membentuk Amanah.

Tiada ulasan: