Khamis, 10 Ogos 2017

PH gesa RoS segera lulus logo baru

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) menggesa Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) segera melulusan permohonan pendaftaran gabungan pembangkang itu selepas ia akur dengan beberapa perubahan yang diperlukan, kata Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Katanya lagi, kelulusan itu diperlukan segera memandangkan PH perlu melakukan banyak persediaan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.
 
"Saya harap kita dapat kelulusan secepat mungkin kerana kita perlu menyediakannya untuk PRU14, kita perlu ada bendera, sepanduk dan sebagainya.
 
"Sehingga kini belum dapat apa-apa jawapan walaupun kita sudah berjumpa dengan RoS, untuk mendengar pendapat mereka dan membuat perubahan jika perlu. 
 
"Setelah buat perubahan kepada logo, kita telah mengemukakan logo baru, dengan meletakkan nama penuh PH," katanya di sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH, di Bilik Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, petang tadi.
 
Pada 28 Julai lalu, RoS mengarahkan PH menukar logo parti gabungan itu sebelum ia dapat didaftarkan.
 
RoS mahu gabungan pembangkang meletakkan perkataan 'Pakatan Harapan' secara penuh di dalam logo, berbanding perkataan 'Harapan' sahaja.
 
Sementara itu dalam mesyuarat yang berlangsung selama lebih tiga jam itu juga, PH turut memberi tumpuan strategi memperkuatkan gabungan itu di setiap negeri.
 
Dr Mahathir dalam pada itu juga berkata pihaknya mahu mendalami masalah-masalah yang didakwanya gagal ditangani kerajaan di Sabah dan Sarawak.
 
"Kita beri perhatian kepada Sabah dan Sarawak. Kita bincang dengan panjang lebar, dan mengakui bahawa amat perlu untuk PH memahami masalah dan perasaan masyarakat di sana. Ini akan dibincang dalam satu jawatankuasa khusus yang akan beri laporan kepada Majlis Presiden PH yang akan berjumpa pada 24 Ogos depan. 
 
"Kita percaya bahawa masalah Sabah dan Sarawak amat serius dan ingin mendengar cadangan semua pihak dapat dapat bentuk manifesto yang khusus," katanya.
 
 

Tiada ulasan: