Selasa, 8 Ogos 2017

Pemuda AMANAH tunggu SPRM siasat isteri MO1


SPRM MO1


Pemuda AMANAH Nasional masih menunggu tindakan Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) untuk menyiasat isteri Malaysia Official 1 (MO1) susulan pendedahan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mengenai 27 barang kemas mewah yang dihadiahkan kepadanya.

Faiz FadzilTimbalan Ketuanya Faiz Fadzil berkata, walaupun beliau telah membuat aduan rasmi kepada SPRM pada 22 Jun lalu berkenaan pemberian 27 barang kemas bernilai AS$1.3 juta (RM6 juta) dan seutas rantai berloket berlian merah jambu 22 karat bernilai AS$27.3 juta (RM122 juta) kepada isteri MO1, namun masih tiada apa-apa penyiasatan dijalankan oleh SPRM berkenaan kes ini.

Menurutnya, pemberian barangan kemas tersebut adalah hasil daripada penyelewengan wang 1MDB berjumlah AS$620 juta (RM2.2 billion) dan jumlah tersebut didakwa wang yang dipindahkan daripada akaun peribadi MO1 ke Tanore Account.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad memberikan amaran bahawa isteri kepada perasuah boleh disiasat dan didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001 kerana dianggap rakan sejenayah (accomplice).

"Kenyataan ini amat dialu-alukan dan perlulah dimulakan dengan menyiasat isteri MO1.

"Fakta yang didedahkan dalam saman DOJ tersebut telah menimbulkan satu prima facie kes jenayah kewangan yang telah dilakukan oleh MO1 kerana menerima wang daripada sumber selain daripada gaji rasmi adalah jenayah-jenayah yang bertentangan dengan pelbagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta SPRM 2009.

"Justeru, pemilikan barangan kemas tersebut oleh isteri MO1 seharusnya disiasat di bawah AMLA kerana diperolehi daripada sumber haram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata, oleh kerana MO1 telah diakui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, maka adalah tidak sukar bagi Ketua Pesuruhjaya SPRM mencari dan memanggil isteri MO1 untuk disiasat di bawah AMLA.

"Ketua Pesuruhjaya SPRM seharusnya mengotakan apa yang dituturkan kepada pihak awam supaya integriti dan kredibiliti SPRM tidak diragui rakyat," katanya.

Tiada ulasan: