Ahad, 13 Ogos 2017

PAS 'perosak' pembangkang, PH boleh menang jika sokongan Melayu bertambah, kata DAP

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: DAP sekali lagi mensasarkan PAS sebagai 'perosak' undi pembangkang, sekaligus memberi kemenangan kepada Umno-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
 
Penasihatnya, Lim Kit Siang bagaimanapun berkata parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu hanya mampu menang enam kerusi berbanding 21 kerusi yang dimenangi pada PRU13.
 
Merujuk kepada Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada Jun 2016 yang menyaksikan pertandingan antara calon BN, PAS dan Pakatan Harapan (PH) yang diwakili Amanah, meskipun PAS memperolehi peningkatan undi kaum Melayu sebanyak 30 peratus dan Amanah pula kekurangan undi bukan Melayu sebanyak 10 peratus, parti kerajaan pula menunjukkan peningkatan sokongan kaum bukan Melayu, yang mana pengundi Cina 10 peratus dan pengundi India lima peratus. 
 
"Melihat kepada senario ini peranan PAS sebagai 'perosak' (dalam PRU14) akan membantu BN dengan membolehkannya memenangi 113 daripada 165 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia (berbanding 85 kerusi di PRU13). 
 
"PAS juga akan terjejas, memenangi hanya 6 kerusi Parlimen (berbanding dengan 21 pada GE2013). Pakatan Harapan akan berakhir dengan hanya 46 kerusi (berbanding 80 untuk Pakatan Rakyat dalam PR2013)," katanya sebagai memetik ucapan yang disampaikan dalam majlis makan malam DAP Bahau, pada malam tadi.
 
Dalam senario kedua menjelang PRU14, Kit Siang menyifatkan PAS mungkin berupaya memperolehi 20 peratus sokongan Melayu, walaupun kurang 10 peratus dari PRU13.
 
Namun ujarnya, parti itu mungkin dapat menarik sokongan sedikit kaum bukan Melayu di kala BN terkesan dengan isu peningkatan kos sara hidup, skandal FELDA dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta saingan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
 
"(Namun) keadaan itu tidak mencukupi buat BN  mewujudkan tsunami Malaysia, BN dan PH akan berakhir dengan 80 kerusi parlimen masing-masing dengan PAS hanya menang 2 kerusi parlimen," katanya.
 
Kit Siang juga meletakkan senario ketiga dimana membolehkan berlakunya 'tsunami Malaysia' dalam pilihan raya umum akan datang di mana BN akan kehilangan 10 peratus dan lima peratus, masing-masing untuk kaum Melayu dan bukan Melayu, penurunan berbanding PRU13.
 
Manakala PAS yang dilatari persepsi parti itu 'dipergunakan dan didera' oleh Umno hanya berjaya memperolehi 10 peratus sokongan orang Melayu.
 
"Berdasarkan situasi ini tsunami Malaysia akan meninggalkan BN dengan hanya 50 kerusi dan PH memenangi majoriti 113 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia. PAS akan ditinggalkan hanya dengan 2 kerusi Parlimen," ujarnya.
 
Veteran DAP itu menegaskan sokongan dari 10 peratus pengundi Melayu dan lima peratus lagi dari bukan Melayu daripada ahli-ahli BN akan membantu PH membentuk kerajaan pada PRU14 kelak.
 
"Unjuran ini menunjukkan bahawa dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, sekiranya Pakatan Harapan dapat menarik 10% pengundi Melayu dan 5% sokongan pengundi Cina dan India dari Barisan Nasional berbanding dengan Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013, akan ada tsunami politik Malaysia , UMNO dan Barisan Nasional akan diusir dari Putrajaya dan PRU14 akan menubuhkan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan baru di Malaysia," kata Kit Siang.
 
Mandat PRU13 akan berakhir pada Ogos 2018 dan ramai pihak mendakwa pilihan raya akan datang bakal berlangsung seawal-awalnya November ini, atau suku pertama pada tahun hadapan.
 
 

Tiada ulasan: