Sabtu, 12 Ogos 2017

NGO C4 desak SPRM dakwa Razak Baginda


Cynthia Scorpene

KEADILAN DAILY

 

KUALA LUMPUR : NGO anti-rasuah Center to Combat Corruption and Cronyism (C4) kecewa dengan sikap membisu Putrajaya berhubung perkembangan terkini skandal Scorpene yang menyaksikan penganalisis politik Abdul Razak Baginda didakwa (indicted) di Paris atas dakwaan rasuah sogokan.

Dalam saatu kenyataan bersama, Pengarah C4 Cynthia Gabriel dan peguam Fadiah Nadwa menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar segera memulakan pendakwaan jenayah terhadap Abdul Razak.

Cynthia memetik Seksyen 66 (1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukan liabiliti terhadap kesalahan yang di luar Malaysia.

“Akta tersebut memberi kuasa kepada SPRM untuk memulakan pendakwaan jenayah terhadap warga negara dan penduduk tetap Malaysia apabila kesalahan di bawah akta tersebut dilakukan di luar Malaysia.

“Ia merupakan suatu pembaziran dan tiada keperluan bagi SPRM untuk menghantar para penyiasat ke Perancis bagi mendapatkan maklumat berkenaan status kes itu sedangkan jelas sekali SPRM berkuasa untuk memulakan siasatan pendakwaan jenayah terhadap Razak di Malaysia,” katanya, memetik Malaysiakini.

Abdul Razak didakwa di mahkamah Perancis pada 18 Julai lalu atas dakwaan ‘rasuah aktif dan pasif’ berkait pembelian dua buah kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia.

Abdul Razak yang berpengkalan di Kuala Lumpur merupakan rakan rapat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

C4 mendakwa Abdul Razak menasihati perdana menteri dalam hal-hal pertahanan.

Menurut Cythia, Malaysia perlu menawarkan kerjasama penuh di bawah Konvensyen Anti-Korupsi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Peguam Fadiah Nadwa pula berkata perkembangan terkini di Perancis menuntut pertanggungjawaban untuk “jenayah serius rasuah ini.”

“SPRM mesti bertindak sekarang, dengan berani, tanpa memilih bulu,” kata Fadiah.

Malaysia membeli dua buah kapal selam Scorpene daripada syarikat Perancis DCNS dengan harga sekitar satu bilion Euro dalam urusniaga berkaitan pembinaan dermaga kapal pada Jun 2002.

Urusniaga itu didakwa berada di bawah bidang kuasa Najib yang memegang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan pada masa itu.

Tiada ulasan: