Khamis, 3 Ogos 2017

Naikkan harga petrol, keluarkan bon baru tanda kantung negara tenat

ARIF ATAN

Faiz Fadzil


Tindakan kerajaan menaikkan harga petrol dan pengeluaran bon baru sebanyak RM2.5 bilion sejak 1 Ogos lalu menggambarkan kedudukan kewangan negara berada pada tahap parah.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil berkata, hal tersebut juga terbukti dengan kegagalan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjelaskan bayaran berjumlah RM2.58 bilion kepada firma Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC).

Menurutnya, pengeluaran bon baru seperti disiarkan Bank Negara dengan tendernya hanya dibuka untuk tempoh empat hari menunjukkan tindakan desperado kerajaan mencari wang bagi membayar hutang dan perbelanjaan negara.

"Entah ke mana hilangnya kutipan GST sebanyak RM3.5 bilion sebulan dihabiskan sehinggakan kerajaan terpaksa berhutang lagi.
"Lebih membimbangkan jika institusi dana awam seperti KWSP, PNB atau Tabung Haji digunakan untuk membeli bon terbaru ini dan digunakan bagi membayar obligasi 1MDB kepada IPIC tersebut.
"Peristiwa-peristiwa yang berlaku ini benar-benar membuktikan kantung negara dalam keadaan tenat," tegasnya dalam satu kenyataan.

Faiz berpendapat trend pentadbiran kleptokrat Datuk Seri Najib Razak jika dibiarkan boleh mengancam kemerdekaan yang dikecapi.

Jelasnya, hal tersebut boleh menyebabkan negara terjebak menjadi 'failed state' jika setiap hari kerajaan hanya tahu mengorek lubang hutang baru untuk menutup lubang hutang lama dengan menggunakan wang rakyat.

"Tirai bulan kemerdekaan tahun ini dibuka dengan peristiwa-peristiwa yang membimbangkan negara dan rakyat, bukan kerana kemerdekaan yang dikecapi 60 tahun dirobek, tetapi kemerdekaan yang dikecapi gagal dimanfaatkan oleh pemerintah untuk meletakkan negara setaraf negara maju berpendapatan tinggi," katanya.

Mengulas kegagalan 1MDB menjelaskan hutang pada 31 Julai lalu iaitu tarikh yang dipersetujui di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London, beliau menganggap itu amat memalukan negara dan akan menyebabkan nilai ringgit terus merosot kerana negara dilihat tidak mempunyai kedudukan kewangan yang stabil.

"Kemungkinan MOF Inc yang perlu membayar hutang tersebut bagi pihak 1MDB tidak dapat ditolak memandangkan MOF Inc adalah penjamin kepada obligasi 1MDB tersebut dan 1MDB pula tiada dana," ujarnya.

Faiz turut membidas kerajaan Umno-BN kerana tiada idea untuk menjana pendapatan selain daripada memerah poket rakyat dengan menaikkan harga petrol sebanyak empat sen semalam.

Walhal, ujarnya, kehidupan rakyat akan semakin derita akibat kenaikan harga barang kerana harga petrol mempunyai kesan domino terhadap ekonomi rakyat.

"Ekonomi negara hari ini berada dalam keadaan gawat dan kronik dengan hutang mencecah RM648.5 bilion lebih separuh KDNK menurut Laporan Audit Negara 2016.

"Kehidupan rakyat semakin tertekan dan susah. Masanya kini tiba untuk rakyat bangkit mempertahankan kemerdekaan bumi tercinta ini," tambahnya lagi.

Tiada ulasan: