Selasa, 1 Ogos 2017

MISC-MIFA tidak pernah terpesong, penyertaan pemain import perkara biasa

 Berita Daily Staff

Rajendran dinasihatkan agar tidak menuding jari mencari kelemahan MISC-MIFA yang bermain selama tiga (3) tahun didalam liga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan mendapat peluang untuk melonjak naik ke Liga Premier

KUALA LUMPUR: Penyertaan pemain import dalam arena bola sepak perkara biasa, demikian kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) J Dhinagaran.

Jelasnya, kemasukan pemain import memberi sumbangan positif khususnya dalam mendidik anak belia kaum India untuk memperbaiki kemahiran bermain bola sepak.

“Penyertaan pemain import dalam pasukan MISC-MIFA merupakan satu lumrah bagi mana-mana pasukan untuk terus kekal kompetetif didalam liga. Pemain import ini jugalah yang akhirnya dapat mendidik serta memberi tunjuk ajar kepada anak-anak belia India bagaimana untuk memperbaiki kemahiran serta skill (gaya permainan) mereka sekaligus menjadikan mereka pemain yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau dalam masa sama menafikan dakwaan yang dibuat oleh Naib Pengerusi PKR Melaka, G Rajendran bahawa Pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) kini semaki terpesong daripada matlamat penubuhannya.

Tambahnya MISC-MIFA merupakan ruang terbaik untuk anak muda berkecimpung dalam arena suka dalam masa sama mencungkil bakat bermain bola sepak.

 Sehubungan itu beliau yang menafikan dakwaan yang dibuat oleh Rajendran dalam masa yang sama menyifatkannya sebagai modal politik parti pembangkang untuk meraih sokongan semata-mata.

“Pertama sekali, adalah amat mengecewakan apabila seorang pemimpin parti politik pembangkang berbangsa India mempersoalkan usaha ikhlas yang dilakukan oleh pihak – pihak bertanggungjawab untuk membantu anak muda berbangsa India di negara ini.

“Penubuhan MISC – MIFA ini sekaligus dapat menjadi wadah kepada anak muda berkecimpung dalam program serta aktiviti yang sihat serta berfaedah. Ini sekaligus dapat mengelakkan anak muda berbangsa India terlibat dalam kes – kes jenayah, gangsterisma dan sebagainya.

“Konklusinya, sudah banyak kebaikan dari segi latihan, program, kemahiran, dan didikan yang telah diberikan oleh MISC – MIFA terhadap atlet dibawah naungan MISC – MIFA dimana sehingga kini tidak pernah timbul sebarang isu seperti tunggakan gaji dan sebagainya. Pasukan MISC – MIFA ditadbir secara profesional sebagai sebuah kelab bola sepak dan sudah berjaya mencungkil bakal baru bola sepak dikalangan pemuda India,” jelas beliau.

Beliau menyeru Rajendran agar tidak menuding jari mencari kelemahan MISC-MIFA yang bermain selama tiga (3) tahun didalam liga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan mendapat peluang untuk melonjak naik ke Liga Premier.

Terdahulu, Rajendran semalam menyoal tindakan MISC-MIFA membawa pemain import serta memberi peluang kepada pemain berusia 40 tahun dijadikan sebagai kapten pasukan.

Beliau turut mencabar Presiden MIFA, T Mohan supaya mendedahkan jumlah dana diperolehinya kepada pasukan MISC-MIFA.

Dalam Pengerusi MIFA Negeri Sembilan R Thinalan menyesal segala titik peluh kepimpinan MISC-MIFA dipersoalkan oleh Rajendran, yang bertopengkan sebagai pembela masyarakat India.

“Saya merasakan keji melihat tindakan seorang daripada masyarakat India mengutuk sebuah organisasi yang dikendalikan secara profesional demi membela nasib bangsa dalam industri sukan Malaysia tanpa meneliti secara terperinci,” katanya.

“Bola sepak adalah sukan yang perlu dilihat tanpa sempadan bangsa dan warna kulit. Lebih lebih lagi dalam pasukan MISC-MIFA yang memberi peluang kepada rakan kita dalam kalangan masyarakat lain walaupun didominasi oleh masyarakat India.

Ianya bertujuan bukan untuk mengecilkan bilangan pemain dari masyarakat India sebaliknya untuk memperkayakan lagi mutu permainan dikalangan pemain kita untuk melahirkan pemain bertaraf antarabangsa,” tambahnya.

Thinalan yang juga Timbalan Ketua Pemuda MIC menjelaskan bahawa tidak ada mana mana kamus yang menyatakan pemimpin politik tidak boleh memimpin organisasi sukan sebagai yang dinyatakan oleh Rajendran.

“Kepimpinan adalah berdasarkan kebolehan kepimpinan dan bukannya melihat kepada latar belakang politik. Oleh itu Mohan bukannya pemimpin payung terjun yang datang memimpin MIFA secara tiba tiba.”

“Untuk perhatian Rajendran, Mohan juga tidak perlu menari mengikut rentak yang dikehendaki oleh anda. Beliau mempunyai keperibadian yang sendiri dalam membawa diri beliau dan juga beliau tidak perlu mengaut keuntungan daripada pasukan MISC-MIFA. Ini telah terbukti berdasarkan kesudian beliau menjadi orang dihadapan melaporkan dan bekerjasama dengan MACC menangani isu rasuah dalam yang ditimpa MISC-MIFA baru baru ini,” ujarnya.

“Seperkara lagi, seandainya pihak Rajendran masih mempunyai kemusykilan boleh datang bertemu MISC-MIFA secara berhemah daripada mendengar dan menyuarakan suara suara sumbing berkaitan dana yang diterima MISC-MIFA,” tegas Thinalan lagi.

Tiada ulasan: