Sabtu, 12 Ogos 2017

‘Menjengkelkan’ bila Rosmah minta wang Permata daripada suami, kata PKR

 
Ketua Pemuda PKR berkata Permata sepatutnya di bawah Kementerian Pendidikan, dan mempersoalkan bagaimana seorang yang bukan menteri menguruskan program dengan dana RM85 juta.


nik-nazmi_rosmah_permata_600


PETALING JAYA: PKR menyelar permintaan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor agar kerajaan meningkatkan bajet bagi program didikan awal dinaunginya, Permata Negara.

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata beliau merasa jengkel apabila Rosmah mengatakan akan berbincang dengan suaminya, Datuk Seri Najib Razak.

“Ia juga sesuatu yang menjengkelkan apabila Rosmah boleh dengan bersahaja menyatakan bahawa beliau akan berbincang dengan suami untuk meningkatkan bajet Permata,” kata Nik Nazmi.

Menurutnya, Permata tidak perlukan bajet tambahan kerana peruntukan kepadanya sudah meningkat tahun ini, walaupun bajet pendidikan terutama pendidikan tinggi dipotong.

“Jika dia benar-benar kisah tentang pendidikan, biarlah Permata diselia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mahir dalam program seumpama itu dan memastikan hala tujunya serasi dengan sistem pendidikan.

“Pada dasarnya Permata adalah program pendidikan yang sepatutnya disatukan dengan inisiatif KPM yang lebih komprehensif,” kata Nik Nazmi.

Nazmi mempersoalkan bagaimana Permata boleh diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, sedangkan ia jelas sepatutnya berada di bawah KPM.

“Apa yang lebih mencurigakan, tiada seorang pun menteri yang menyelia program yang mempunyai peruntukan sebanyak RM85 juta itu.

“Malah ia diselia oleh isteri perdana menteri yang tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan,” katanya.

Rosmah berkata Permata memerlukan peruntukan yang lebih besar bagi memperluaskan pembangunan pusat berkenaan di kawasan luar bandar.

“Saya sangat berharap supaya kerajaan dapat menambah peruntukan untuk program ini kerana ia mendapat permintaan yang ramai daripada ibu bapa dan sekarang setiap pusat hanya dapat menampung lebih kurang 50 pelajar,” katanya semasa melawat Pusat Anak Permata Negara (PAPN) di Pokok Sena pada 29 Julai lalu.

Tiada ulasan: