Jumaat, 11 Ogos 2017

KKM siasat syarikat insurans caj pentadbiran dalam bil

ISMA WEB




PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberitahu, terdapat syarikat insurans kesihatan yang tidak beretika apabila mengenakan caj pentadbiran kepada hospital yang menyebabkan kos perubatan di negara ini melambung.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, perkara itu telah lama diamalkan oleh syarikat insurans di negara ini namun hanya dibawa ke pengetahuannya oleh beberapa wakil hospital swasta baru-baru ini.

Sehubungan itu, kementeriannya akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia bagi menyiasat perkara tersebut yang dipercayai diamalkan oleh hampir semua syarikat insurans.

“Sebagai contoh, hospital memberi bil kepada syarikat insurans RM1,000 bagi kos rawatan pesakit, syarikat insurans hanya bayar RM900 sahaja kepada hospital, baki RM100 pula dikira sebagai caj pentadbiran atau perkhidmatan.

“Selepas itu apa yang akan dibuat oleh hospital swasta ini? Mereka akan naikkan amaun bil itu kemudian, jadi kos perubatan akan meningkat,” katanya.

Jelas Dr Subramaniam, pihak hospital swasta terpaksa mengikut kehendak syarikat insurans kesihatan kerana takut kehilangan pesakit.

“Jika hospital swasta enggan membayar caj pentadbiran itu syarikat insurans akan mengeluarkan mereka daripada senarai hospital panel dan menasihatkan pelanggan mereka mendapatkan rawatan di hospital lain,” katanya.


Tiada ulasan: