SHAH ALAM - Sikap sesetengah golongan muda yang kurang didikan agama menyebabkan mereka mudah keliru sehingga terjebak dalam kumpulan yang tidak percayakan Tuhan atau ateis.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, perkara itu kemudiannya diburukkan dengan perselisihan pendapat antara pendakwah terhadap isu tertentu sehingga mereka semakin celaru.

Beliau berkata, di sinilah peranan ibu bapa dalam mendampingi anak-anak dan memberi pendidikan serta menerapkan nilai-nilai akhlak.

"Jika ibu bapa tidak mengambil berat dan bersikap sambil lewa, tidak hairanlah anak-anak mudah terdedah lalu terjebak dengan gejala rosak akidah, hilang kemuliaan akhlak serta maruah," katanya.

Beliau mengulas dakwaan sekumpulan anak Melayu beragama Islam menyertai Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan.

Kumpulan itu dipercayai terdiri daripada orang Melayu dan Islam yang menggelar diri mereka sebagai ‘bekas Muslim’ serta didakwa mengadakan pertemuan secara tertutup di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Kita tidak mahu anak-anak menjadi keliru, sehingga tidak tahu memilih yang baik atau buruk dalam kehidupan mereka.

“Golongan tidak percayakan Tuhan ini wujud kerana kurang pendidikan agama, manakala keluarga atau ibu bapa tidak memainkan peranan mereka.

“Di sekolah, mereka celaru dengan ilmu diperoleh. Pendakwah pun bercelaru, macam-macam ajaran dan pendapat sehingga timbul kekeliruan dalam kalangan umat Islam itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, timbul pula pertikaian bahawa agama Islam yang datang daripada nabi dan ALLAH, bercanggah dengan keadaan semasa.

“Maka lahirlah golongan yang mengatakan bahawa pendakwah dahulu salah. Inilah jadinya sehingga menyebabkan orang muda keliru,” katanya.

Harussani berkata, seorang itu menjadi murtad apabila mengaku tidak percayakan ALLAH dan percaya bahawa agama sudah tidak lagi relevan di zaman ini.

“Ini merupakan satu fitnah dalam masyarakat Islam dan akan membawa bencana kepada masyarakat Islam dan Melayu. ALLAH akan menurunkan bencana kepada golongan ini kerana perbuatan mereka.

“Sebelum hendak menafikan kewujudan tuhan, mereka harus mengkaji tuhan. Tanya diri mereka, dari mana datangnya selera makan mereka. Dari mana wujudnya dunia ini, bolehkah ia terjadi begitu sahaja.

“Bolehkah ibu bapa mereka melahirkan dia dan menjadikan dia (seperti hari ini). Ini semua ciptaan ALLAH. Kalau tiada ALLAH bagaimana (ia berlaku),” katanya.

Tegas Harussani, apa sahaja keperluan manusia di atas muka bumi ini semua siap dan tidak pernah tidak cukup.

“Kalau tiada tuhan siapa yang bagi mereka akal,” katanya.