Ahad, 6 Ogos 2017

Kegagalan 1MDB gagal bayar hutang memalukan, kata PAS

Berita Daily Staff

Seperti bayaran hutang kad kredit, seseorang harus tahu menguruskan kewangannya agar dapat membayar pada waktu yang ditetapkan untuk dielak dikenakan bayaran denda yang lebih mudarat

KUALA LUMPUR: Kegagalan 1MDB membayar IPIC sejumlah AS$603 juta pada tempoh yang ditetapkan adalah memalukan.

Demikian kata, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika mengulas kegagalan 1MDB membayar hutang International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 31 Julai yang lalu.
Beliau turut mempersoalkan mengapa 1MDB tidak umum terlebih awal ia memerlukan masa, dan membiarkan IPIC yang melakukan pengumuman terlebih dahulu?

“Pertama, 1MDB sudahpun mengetahui pembayaran perlu dilakukan ada 31 Julai sejak 24 April yang lalu setelah penyelesaian ini diumumkan di Bursa Saham London. Apakah tiga bulan ini tidak mencukupi untuk menyelesaikan semua masalah teknikal atau ada perkara lebih besar yang sedang disembunyikan.”

“Seperti bayaran hutang kad kredit, seseorang harus tahu menguruskan kewangannya agar dapat membayar pada waktu yang ditetapkan untuk dielak dikenakan bayaran denda yang lebih mudarat,” kata beliau ketika menjawab soalan daripada portal Harakah, mengenai kegagalan 1MDB membayar IPIC pada 31 Julai yang lalu.

“Sehingga kini, kita masih tidak mengetahui apa kesannya jika 1MDB gagal untuk membayar di dalam tempoh 5 hari yang diberikan oleh IPIC ekoran kegagalan membayar ansuran pertama pada 31 Julai yang lalu,” tambah Tuan Ibrahim.

Beliau turut membangkit beberapa soalan bahawa apakah ini ekoran kegagalan mendapat duit daripada China untuk Bandar Malaysia? Mana pergi duit penjualan daripada Edra? Alasan bahawa 1MDB masih memerlukan kelulusan pengawalseliaan tambahan juga menimbulkan tanda tanya.
Kelulusan mana yang sedang ditunggu 1MDB?

“Bagaimana pula dengan pembayaran kedua kepada IPIC pada 31 Disember 2017? Apakah tempoh 5 bulan ini mencukupi untuk 1MDB membuat persediaan dan segala kelulusan teknikal untuk membayar tepat pada masanya?” tanya beliau lagi sambil menambah ini masalahnya apabila isu 1MDB tidak diluluskan untuk dibahas di parlimen.

Ujar beliau, PAS tetap dengan pendirian menuntut agar kerajaan akur dengan keputusan Majlis Raja-Raja pada 2015 yang menggesa siasatan terhadap 1MDB diselesaikan secepat mungkin dengan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai isu 1MDB pada kadar segera.

Tiada ulasan: