Rabu, 9 Ogos 2017

Kahwini mangsa rogol tidak akan lindungi pesalah - KPKWM

BERNAMA

Tindakan pesalah kes rogol mengahwini mangsanya tidak akan melindungi pesalah daripada dihukum atas kesalahan yang dilakukan, kata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Merujuk kepada laporan akhbar semalam mengenai status kanak-kanak di Sabah yang berkahwin dengan lelaki yang merogolnya, kementerian itu berkata hukuman penjara yang dijatuhkan terhadap perogol tersebut menunjukkan sistem perundangan sedia ada adalah mantap dalam melindungi mangsa jenayah, khususnya kes melibatkan kanak-kanak.

Sebagai kementerian yang bertanggungjawab ke atas perlindungan dan kebajikan kanak-kanak, KPWKM mengambil pendirian bahawa perkahwinan kanak-kanak adalah tidak digalakkan dan mereka perlu diberi peluang untuk mengembangkan potensi mereka sepenuhnya.

Dalam hal ini, katanya, perkahwinan bawah umur boleh memberi cabaran dan tekanan dari segi fizikal dan mental yang merangkumi pelbagai aspek seperti kesihatan, pendidikan, dan kewangan terhadap seorang kanak-kanak.

"Walau bagaimanapun, KPWKM akur keputusan mangsa dan keluarga dalam meneruskan perkahwinan bagi pasangan berkenaan menurut lunas undang-undang sedia ada," kata KPWKM dalam satu kenyataan,  hari ini.

Semalam, beberapa akhbar tempatan memetik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim sebagai berkata gadis yang kini berumur 16 tahun itu berada dalam keadaan baik dan tinggal bersama keluarganya, manakala suaminya sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun.

KPWKM berkata Akta Undang-Undang keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di negeri-negeri memperuntukkan bahawa perkahwinan bawah umur 16 tahun dibenarkan dengan mendapat kelulusan Mahkamah Syariah.

"Dalam hal ini, KPWKM sedia komited dalam memberikan jaringan sokongan sosial yang diperlukan seperti kaunseling dan pemantauan berkala demi kebajikan kanak-kanak dan keluarganya," katanya.

KPWKM berkata lawatan terkini terhadap kanak-kanak tersebut mendapati dia selesa tinggal bersama ibu bapanya dengan membantu ibunya menjaga anak-anak kakak dan abangnya yang tinggal bersama.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus memantau keadaan kanak-kanak ini dan akan memberikan sebarang sokongan yang diperlukan demi memastikan dia dapat meneruskan hidup dengan baik, kata KPWKM.

Tiada ulasan: