Rabu, 9 Ogos 2017

Jufazli dihujani rayuan derma selepas gurauan terima RM3 juta dari Umno

 
Aktivis Sabah itu berkata beliau berdiam diri kerana dirinya diancam selepas menyertai DAP Jun lalu.


Jufazli-dana

PETALING JAYA: Gurauannya aktivis Sabah, Jufazli Shi Ahmad mahu berkongsi dana RM3 juta diterima daripada Umno dibalas dengan lebih seribu pesanan daripada orang ramai dalam masa kurang 24 jam selepas dimuat naik media sosial.

Jufazli berkata beliau tidak menyangka gurauan itu dipandang serius orang ramai sehingga ada yang merayu untuk mendapatkan dana tersebut bagi membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Malah ramai menghantar nombor akaun bank mereka.

“Ada yang merayu untuk bayar PTPTN, buat perniagaan, buat hantaran kahwin, macam-macam kemahuan mereka. Orang Umno sendiri pun ada yang minta,” katanya kepada FMT.

Jufazli berkata semuanya bermula selepas tuduhan beliau menerima dana RM3 juta daripada Umno.

Beliau yang lantang mengkritik Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman turut dituduh berdiam diri selepas menyertai DAP Jun lalu.

Susulan dakwaan itu, beliau menjawab secara sinis menerusi Facebook dengan meminta orang ramai menghantar nombor bank akaun mereka sekiranya mahukan bantuan.

Jufazli berkata beliau kini dilihat tidak aktif mengkritik kerajaan kerana masih dalam tempoh bertenang selepas banyak menerima ugutan sejak menyertai DAP.

“Saya diam dalam gerak kerja bukan kerana dibayar Umno-BN,” katanya.

“Pergerakan saya susah sejak saya jadi ahli DAP.”

Katanya, sekiranya benar disogok wang RM3 juta, “sudah tentu saya ke luar negara”.

Jufazli berkata beliau terpaksa berada di Kuala Lumpur kerana bimbang keselamatannya di Sabah.

“Saya masih lagi dengan prinsip saya untuk menukar sistem pemerintahan Umno-BN di Sabah,” katanya.

Tiada ulasan: