Isnin, 7 Ogos 2017

Jangan cuba tanggalkan baju BPMS

 
 
Oleh ALANG IBN SHUKRIMUN

 BUDAYA Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) secara umumnya digagaskan oleh Presiden PAS pada tahun 2015. Tetapi kriteria-kriteria BPMS sebenarnya telah dicanangkan lebih awal daripada itu. Fasa pertama dalam mendefinisikan BPMS telahpun selesai. Kini sedang memasuki fasa kedua iaitu merakyatkan BPMS.

Tetapi masih ada yang belum memahami BPMS secara yang digariskan. Kebanyakan lebih terpengaruh dengan persepsi yang sengaja dicipta oleh media. Lebih melabelkan BPMS secara simplistik tanpa mengambil kira konsep sebagaimana yang diceduk dari al-Quran dan Sunnah.
Persepsi paling popular dilabelkan terhadap BPMS adalah PAS mahu berbaik dengan Umno. Kononnya PAS sudah tidak menganggap Umno sebagai musuh politik. PAS dan Umno sudah tiada beza. PAS dan Umno bakal bersatu!

Persepsi ini paling cepat membentuk di minda pemerhati politik yang berakal pendek. Ini kerana ia dimainkan oleh media pro PH dan Umno sendiri. PH mahu menggambarkan PAS mahu bergabung dengan Umno, supaya dapat menjustifikasikan kenapa mereka melawan PAS sekarang. Umno pula memang suka kalau PAS bergabung dengan mereka, kerana mahu menumpang sokongan PAS.

BPMS antara PAS-Umno

 Kini timbul dua isu yang membelenggu sebahagian pihak. Pertamanya berkaitan aplikasi BPMS dalam hubungan PAS dan Umno. Sebenarnya bukan bermaksud mahu bergabung, tetapi lebih kepada merubah pendekatan PAS dalam menghadapi Umno.

Kalau dulu kita mengambil sikap menganggap Umno dan seluruh ahlinya umpama najis, tapi kini kita mendidik ahli PAS terutama supaya melihat ahli Umno sebagai mad'u.

Bukankah ini ajaran al-Quran yang menyebut tentang cara Nabi Musa menghadap Firaun yang Mahazalim?

Kalau dulu kita menolak semua dari Umno, sehingga popular khatimah 'segala yang baik dari Allah yang buruk dari Umno', kini kita melihat perkara ini secara lebih rasional. Kalau benar ada yang baik daripada Umno, kita sokong dan bantu dalam bab tersebut. Titik yang salah kita tetap lawan.

Bukankah ini yang diajar al-Quran untuk bertolong menolong dalam perkara baik dan taqwa?

Kalau dulu segala tuduhan pada Umno kita percaya terus walau tanpa bukti, dan kadang-kadang kita mencipta tuduhan palsu, tetapi kini kita mengutamakan fakta dan kebenarannya. Supaya tidak menjadi penyambung lidah syaitan.

Bukankah al-Quran mengajar supaya berlaku adil walaupun mereka sudah memiliki rekod jenayah?

Untung rugi BPMS

Perkara kedua yang menjadi pertelingkahan adalah tanggapan kononnya BPMS tidak sesuai untuk masa depan politik PAS. Kata mereka, walaupun BPMS secara prinsipnya baik, tetapi secara politik ia merugikan. Ini kerana mereka menganggap BPMS menyebabkan PAS ditohmah bergabung dengan Umno. Dan tohmahan ini telah menyebabkan PAS hilang sokongan.

Mereka lebih selesa dengan sikap dahulu. Lawan cacang dengan Umno. Kebanyakan pandangan ini datang dari mereka yang sudah terbiasa berperang dengan Umno. Sangat janggal kalau tak kutuk Umno sehari. Rasa berdosa kalau dekati orang Umno. Macam PAS dah lari dari landasan perjuangan Islam.

Dakwaan PAS hilang sokongan adalah bercanggah dari realiti. Mengikut fakta yang ada, sokongan terhadap PAS meningkat drastik sejak mendingin dengan PR, dan terus meningkat apabila mempopularkan BPMS.

Lihat jumlah pendaftaran keahlian PAS seluruh negara. Yang keluar masuk PAN tak sampai 100, tapi yang masuk ribu-ribu sebulan. Kalau yang sanggup menjadi ahli pun sudah bertambah ribu setiap bulan, yang minat dan menyokong apatah lagi.

Kajian trend sokongan kaum melayu sebagai kuasa politik teras negara juga semakin meningkat. Terbaru maklumat dari sebuah badan kajian menunjukkan pertambahan sokongan melayu kepada PAS meningkat lagi, walaupun beberapa bulan lalu badan tersebut baru sahaja melaporkan PAS sudah mendahului mana-mana parti yang lain.

Belum lagi diambil kira populariti PAS menerusi undian media sosial. Walaupun ia bukanlah mekanisme yang kuat, tetapi trend yang kita lihat adalah berpihak kepada PAS secara konsisten.
Polling di Facebook tak kira yang dibuat oleh page pro BN, PAN, PKR, DAP, PPBM, atau non partisan, menunjukkan keputusan yang sama. PAS mendahului! Setidaknya ia boleh diambil sebagai salah satu petunjuk trend sokongan golongan muda.

Undi teras PAS tidak hilang kerana keahlian semakin bertambah. Undi atas pagar pula semangkin meningkat berasaskan kajian terkini luar dan dalam. Jangan dicampur aduk kajian sokongan keseluruhan kaum, kerana sasaran utama PAS adalah penyokong Islam-melayu.

Perkembangan ini amat menguntungkan PAS terutama di sempadan politik yang didominasi orang Melayu. 3 Negeri melayu teramai seperti Terengganu, Kelantan dan Perlis sudah boleh bersedia untuk meneraju pentadbiran pasca PRU14 nanti.

Hakikatnya, perkara-perkara ini tidak berlaku sebelum BPMS diperkenalkan. Maka secara konsensusnya, BPMS jauh lebih menguntungkan PAS dari persepsi yang dicipta sebahagian pihak.

Baju yang cuba ditanggal

Jika diamati, seolah-olah ada cubaan terancang untuk mengganggu trend sokongan terhadap PAS yang semakin baik ini. Ada pihak sedang merancang untuk memburukkan BPMS, supaya PAS mengkaji balik pendekatan ini. Saraf halus sedang dicipta melalui media, dan dipanjang menerusi ejen-ejen yang tidak bertanggungjawab.

Apa yang dapat dihidu, sebenarnya ia adalah mainan untuk membawa PAS kembali kepada strategi PRU13, iaitu bersama DAP dan sekutu bagi menghadapi PRU14 nanti. Digunakan sentimen PAS mahu bergabung dengan Umno, untuk mencapai matlamat PAS kembali bergabung dengan DAP dan sekutu.

Waspada dengan jarum halus ini. Bina anti-virus secukupnya. Jangan sampai termakan dengan hasutan. Kerana jika kembali bersama DAP, akan mematikan sokongan yang sedang meningkat pada PAS sekarang.

Motif hasutan ini hanya satu, bagi menumpang sokongan PAS untuk memenangkan DAP dan sekutu sahaja!

Jangan masuk lubang sama kali ketiga

Tiada ulasan: