Selasa, 8 Ogos 2017

Jangan buang masa tonton filem ‘bodoh’ menjelang Merdeka, kata Zaid

 
Filem dilakonkan Ahmad Tamimi Siregar itu mengundang kontroversi selepas trailer yang muat dengan propaganda anti-DAP.


zaid-movie

PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim hari ini menyifatkan sebuah filem baharu mengenai pengorbanan Regimen Askar Melayu sebagai “kerja jahat dan bodoh” yang memalukan anggota pasukan itu sendiri.

“Saya menyeru janganlah membuang masa menonton filem ini,” kata Zaid, merujuk filem “Malay Regiment” yang menimbulkan kritikan selepas ia membuat rujukan mengenai DAP.

Sebuah promosi filem arahan Datuk Jurey Latiff Rosli dan dibintangi Datuk Ahmad Tamimi Siregar itu menunjukkan ia muat dengan propaganda anti-DAP, termasuk penampilan sebuah kereta Mercedes-Benz dengan nombor plat “DAP165” yang boleh dibaca sebagai “DAPigs”, suatu jolokan menghina terhadap parti itu di media sosial.

Promosi yang dimuat naik di YouTube menunjukkan adegan seorang lelaki Cina melihat ke arah bangunan Parlimen sambil berkata dalam bahasa Cina: “Kita tidak perlu berperang. Hanya gunakan otak untuk menguasai ekonomi.”

Bagaimanapun, Kementerian Komunikasi dan Multimedia semalam mengarahkan adegan itu, yang tidak ada dalam filem penuh, dikeluarkan, kerana ia menghina DAP.

Filem tersebut mengisahkan 3 cucu askar Malay Regiment menjejak perjuangan datuk mereka. Ia dibuka di pawagam pada Hari Kemerdekaan hujung bulan ini.

Zaid berkata filem seperti itu suatu kebiasaan setiap kali menjelang perayaan Merdeka.

“Tahun lalu filem ‘Tanda Putra’ mempamerkan unsur orang Cina yang memulakan tragedi 13 Mei, 1969,” kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, yang kini ahli DAP.

Zaid berkata filem tersebut merupakan penghinaan kepada Askar Melayu kerana mereka digambarkan seolah-olah boleh diperbodohkan dan diperalatkan Umno.

“Askar Melayu dan seluruh anggota Angkatan Tentera tidak berpolitik, dan tanggung jawab mereka ialah kepada Malaysia, bukan kepada Umno. Jangan sekali-kali kita merendahkan maruah mereka dan mensia-siakan pengorbanan mereka,” katanya.

Zaid berkata filem itu menyerlahkan kebimbangan Umno terhadap kemaraan gabungan 4 parti di bawah Pakatan Harapan.

“Sebab itulah mereka cuba memecah-belahkan rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu dan yang berbangsa Cina. DAP sekarang ini telah diterima oleh ramai orang Melayu, dan inilah sebabnya Umno dan unit propaganda mereka mahu orang Melayu benci kepada DAP.”




Tiada ulasan: