Isnin, 14 Ogos 2017

Jamal mahu anjur 'Nothing to Hide 0.3', bongkar integriti pemimpin PH

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
AMPANG: Gerakan Baju Merah yang diketuai Datuk Seri Jamal Md Yunos dijadual mahu menganjurkan program yang sama seperti Nothing to Hide 2 tetapi mengikut versi mereka.
 
Jamal menamakan program tersebut sebagai Nothing to Hide 0.3 yang bakal mengupas isu-isu semasa yang melibatkan pemimpin pembangkang.
 
Jamal yang juga ketua Umno Sungai Besar berkata, akan mengundang Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.
 
Tetapi beliau tidak akan menjemput bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana bakal berlaku kekecohan yang sama seperti yang berlaku di Dewan Raja Muda Musa Ahad lalu.
 
"Persoalan pertama yang kami ingin ajukan pada Lim Kit Siang yang pertamanya tentang identiti beliau, jadi kita minta beliau (Kit Siang) jelaskan kepada rakyat Malaysia yang banyak di media-media sosial bertanya. Sehingga sekarang beliau masih belum jelaskan.
 
"Bagaimana beliau (Lim Guan Eng) mengendalikan kerajaan negeri Pulau Pinang sehingga kawasan-kawasan perkampungan orang-orang Melayu hampir pupus di Pulau Pinang. 
 
"Dan bagaimana beliau melantik kontraktor untuk membina terowong dasar laut dan berapakah jumlah kontrak atau pun tender tersebut dan beberapa persoalan lain.
 
"Begitu juga dengan MB Selangor untuk memperjelaskan kepada rakat Malaysia dan negeri tentang manifesto dan janji ketika PRU yang ke-13," katanya dalam satu sidang media di Ampang petang tadi.
 
Program berkenaan akan dilangsungkan pada pertengahan bulan depan di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.
 
Sementara itu, Jamal juga memberi jaminan programnya nanti tidak akan dicemari insiden kekecohan.
 
Ditanya kenapa menggunakan nombor 0.3 dan bukan 3.0 untuk siri dialog itu, Jamal berkata beliau mahu menggambarkan keadaan “tunggang terbalik” Pakatan Harapan (PH) yang kini sedang melanda parti itu.
 
Mengulas insiden keganasan dalam Nothing to Hide 2, Jamal mendakwa beliau mempunyai bukti bahawa kejadian itu dirancang daripada awal.
 
"Kita telah tahu awal, lepas sejam Mahathir berucap (dalam forum Nothing To Hide 2.0) akan berlaku kekecohan dan kekecohan itu akan diletakkan di kepala Umno.
 
"Ini telah pun dirancang dan saya dapat maklumat awal mengenainya dan rancangan ini telah dirancang oleh majlis pimpinan tertinggi parti bunga ini," dakwa Jamal.
 
Bagaimanapun Jamal tidak mendedahkan “bukti sahih” yang didakwanya itu kepada pihak media dan hanya mahu berkongsinya dengan pasukan keselamatan sahaja.
 
Acara anjuran Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menyaksikan insiden keganasan sehingga menyaksikan kerusi terbang, suar dibakar dan objek dibaling, termasuk ke arah Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Ia bermula selepas seorang peserta membangkitkan persoalan berkaitan peristiwa berdarah Memali lebih 30 tahun lepas antara penduduk kampung di Baling, Kedah dan anggota keselamatan.
 
 

Tiada ulasan: