shahbusindotcom
Sepuluh
hari lalu, Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi
Ramli memohon sumbangan orangramai untuk membayar ganti rugi dan kos
lain berjumlah RM300 ribu berhubung saman fitnah berkaitan NFC terhadap
dirinya.
Dalam
kes berkenaan, Rafizi telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan
sedang dalam proses rayuan ke Mahkamah Rayuan yang ditetapkan pada
Oktober depan.
Meskipun
dalam proses rayuan, beliau tetap dikehendaki membayar denda itu
terlebih dahulu dan kegagalan berbuat demikian memungkinkan tindakan
muflis diambil terhadapnya.
Mengakui
tidak selesa memohon sumbangan orangramai, tetapi Rafizi tiada pilihan
lain kerana wang simpanannya sudah habis dibelanjakan untuk menubuhkan
Invoke dan menggerakkan programnya jelajah ke seluruh negara dengan
harapan rakyat mempunyai peluang yang lebih baik untuk mendapatkan
kerajaan baru selepas pilihanraya akan datang.
Lantaran
itu, beliau yang mungkin tidak bertanding lagi dalam PRU 14 berikutan
sekatan undang-undang kerana turut dijatuhi hukuman dalam kes lain,
tetapi kekal gigih membantu Pakatan Harapan, telah memuat-naik rayuan
memohon sumbangan tersebut di laman Facebook miliknya.
Setelah
sepuluh hari, sungguh mengejutkan, sumbangan orangramai yang
diterimanya melebihi jangkaan iaitu lebih RM1.5 juta, berbanding cuma
RM300 ribu yang diperlukannya. Turut memberi sumbangan kepadanya ialah
beberapa Ahli Parlimen Pas.
Sokongan
dan simpati orangramai dengan sedia memberi sumbangan itu bukan saja
tanda mereka mengiktiraf serta menghargai peranan Rafizi mendedahkan
beberapa penyelewengan selama ini, bahkan merupakan isyarat nyata bahawa
rakyat tidak sabar-sabar lagi untuk mendapatkan kerajaan baru bagi
mengggantikan kerajaan lama yang penuh masalah dan nanah ini.
Rafizi,
selain mendedahkan mengenai skandal NFC berkaitan keluarga Shahrizat
Jalil, turut membuat pendedahan mengenai pembelian hartanah oleh MARA di
Australia, masalah kewangan Tabung Haji, penyelewengan dana YAPIEM,
pembelanjaan mewah Najib dan Rosmah, beberapa perkara berkaitan skandal
1MDB dan banyak lagi.
Jika
tiada keghairahan untuk memberi sokongan kepada Pakatan Harapan dan
menukar kerajaan, tentulah tidak mungkin sumbangan yang diminta Rafizi
hanya RM300 ribu, tetapi perolehannya mampu melebihi RM1.5 juta iaitu
lima kali ganda daripada apa yang disasarkan.
Sebelum
ini, Pas ketika muktamarnya di Kedah pada April lalu pernah melancarkan
tabung untuk membiayai saman parti itu terhadap Sarawak Report yang
dianggarkan berjumlah RM200 ribu.
Bagaimanapun,
hanya pada 28 Jun lalu, Pas mengumumkan kejayaan mengutip sumbangan
yang mereka terima telah hampir RM200 ribu sebagaimana yang disasarkan
itu.
Namun, berapa jumlah sebenar atau maksud hampir RM200 ribu yang berjaya dikutip itu tidak pula diumumkan.
Ada
sumber lain memberitahu, jumlah kutipan yang berjaya dikutip Pas
sebenarnya tidak pun melebihi RM100 ribu, meskipun matlamatnya ialah
RM200 ribu.
Berbanding
ahli Pas yang dikatakan hampir 1 juta dan hanya sedikit yang sanggup
menderma, sebaliknya sumbangan berganda yang diterima Rafizi dilihat
melangkaui sempadan parti, kaum atau agama.
Mereka
menyumbang kepada Rafizi itu tidak lain dengan keinginan memberinya
semangat agar terus berkhidmat dan menjadikan perubahan kerajaan
benar-benar menjadi kenyataan.
Cuba
pemimpin UMNO seperti Annuar Musa, Bung Mokhtar Radin, Salleh Said
Keruak, Jamal Mohd Yunus atau Ahmad Maslan misalnya, meskipun mereka
diketahui ada banyak wang, memohon sumbangan orangramai seperti
dilakukan Rafizi andainya mereka didakwa di mahkamah, dijatuhi hukuman
dan perlu membayar ganti rugi.
Berapa agaknya sumbangan yang akan mereka perolehi, meskipun diketahui jumlah ahli UMNO melebihi 3 juta?
Mampukah
mereka memperolehi lima kali ganda daripada yang disasarkan atau
kutipannya akan lima kali kurang daripada yang diperlukan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan