Selasa, 1 Ogos 2017

Isu keturunan Dr M: Zahid dipelawa hadir Nothing to Hide 2.0

Farhan Darwis

Kira-kira 25 ahli Armada daripada Kuala Lumpur dan Selangor berkumpul di perkarangan pintu masuk Parlimen bagi bantah kenyataan TPM Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Sayap Pemuda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini menjemput Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk hadir program Nothing To Hide 2.0 yang dianjurkan mereka bagi mendapatkan pengesahan daripada Dr Mahathir Mohamad sendiri berhubung susur galur keturunan Pengerusi PPBM itu.

Ketua Armada Selangor Adif Shan Abdullah membuat jemputan itu hari ini ketika demonstrasi terhadap Ahmad Zahid di perkarangan pintu masuk Parlimen susulan kenyataannya menyentuh keturunan Dr Mahathir ketika berucap merasmikan mesyuarat agung Umno Kelana Jaya, Ahad lalu.

“Kami menjemput Ahmad Zahid untuk hadir program Nothing to Hide 2.0…kalau ada isu berkenaan keturunan Dr Mahathir boleh tanya terus kepada beliau,” katanya, kepada pemberita.

Kira-kira 25 ahli Armada daripada Kuala Lumpur dan Selangor berkumpul di perkarangan pintu masuk Parlimen membawa plakad dengan perkataan “Muka kaki pembohong, pemfitnah rasis” dan “TPM dah terdesak” bagi membantah kenyataan Ahmad Zahid yang mendakwa nama sebenar pengerusi Pakatan Harapan itu adalah Mahathir a/l Iskandar Kutty.

Dalam demonstrasi itu, kumpulan berkenaan turut menggesa Ahmad Zahid dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara membuat permohonan maaf secara terbuka dalam masa seminggu kepada Dr Mahathir.

Ketua Armada Kuala Lumpur Zahin Zainal berkata, dalam ucapannya Zahid mendakwa menerima maklumat itu daripada JPN, sekaligus ia mempersoalkan kredibiliti agensi berkenaan yang seharusnya melindungi data peribadi rakyat.

“Selain itu kita minta ketua pengarah JPN keluar kenyataan sama ada benar atau tidak dakwaan Zahid. Ini maklumat peribadi yang dilindungi Akta Perlindungan Data Peribadi.

“Kami desak Zahid minta maaf kkepada Dr Mahathir, kami khuatir dan mula tertanya-tanya bagaimana dengan maklumat kami. Adakah kami akan terima nasib sama,” katanya lagi.

Beliau juga turut melampirkan laporan polis yang dibuatnya 11.53 malam tadi terhadap kenyataan Zahid itu bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan.

“Kami sangat kecewa dengan KP JPN. Minta maaf. Jangan salah gunakan kuasa. Negara ada undang-undang,  ikut undang-undang,” tambahnya

Tiada ulasan: