Jumaat, 4 Ogos 2017

Hee Loy Sian saman Pandikar kerana enggan benar soalan 1MDB

KEADILAN DAILY

 Hee_Loy_Sian


KUALA LUMPUR : AHLI Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian memfailkan saman terhadap speaker Dewan Rakyat kerana menolak soalannya berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Dewan Rakyat secara salah.

Hee berkata, ia susulan tindakan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak dua soalan yang dikemukakannya mengenai 1MDB.

“Soalan yang saya ajukan adalah jika kerajaan secara rasmi menafikan saman yang dibuat Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) mengenai penyalahgunaan dana daripada 1MDB.

“Soalan kedua ditujukan kepada menteri dalam negeri mengenai bila kali terakhir Low Taek Jho (Jho Lo) berada di Malaysia dan sama ada beliau mempunyai dua kewarganegaraan.

“Tetapi, semua soalan ditolak. Kami mempunyai hak untuk bertanya dan speaker perlu menjawabnya,” kata beliau selepas memfailkan samannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, lapor The Malaysian Insight.

Hee berkata beliau mahu mahkamah memanggil speaker untuk menjawab semua soalan yang diajukan mengenai 1MDB oleh ahli-ahli Parlimen.

Peguam dan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendran berkata tindakan speaker menolak soalan itu menghalang Hee daripada menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen.

“Untuk memastikan haknya ditegakkan, beliau mengambil tindakan saman terhadap speaker.

“Tindakan saman pemula Hee ini mempersoalkan adakah tindakan speaker menolak soalan itu mengikut Perlembagaan.

“Speaker tidak boleh bertindak sesuka hati dan beliau terikat dengan Perlembagaan. Apabila beliau menolak soalan, ia melanggar Perlembagaan,” katanya

Usaha Pakatan Harapan untuk mendapatkan lebih banyak jawapan daripada Putrajaya mengenai 1MDB di Dewan Rakyat terhalang apabila Pandikar enggan menerima lebih daripada 30 soalan mengenai topik itu.

Pandikar memberi alasan kes itu dihalang daripada dibincangkan umum kerana saman sivil yang difailkan DoJ sedang berlangsung.

Tiada ulasan: