Rabu, 9 Ogos 2017

Harga lantai pakej umrah bermula RM4,900

ISMA WEB
 


KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menetapkan harga lantai bagi pakej umrah adalah bermula dari RM4,900.

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, penetapan harga lantai tersebut adalah bagi pakej umrah dan ziarah selama 12 hari dan 10 malam.

“Sekiranya ada pakej umrah dan ziarah yang menawarkan harga di bawah RM3,000 janganlah percaya. Ia tidak cukup untuk membayar tiket penerbangan pergi balik termasuk penginapan jemaah,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling-BN).

Mas Ermieyati menegaskan, bagi memerangi penyebaran pakej umrah palsu, kementerian sentiasa memantau iklan umrah dan ziarah khususnya pengiklanan media elektronik seperti dilaman web, media sosial dan blog.

“Kementerian bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Muktimedia Malaysia (SKMM) agar mereka yang dikenal pasti ini tidak menubuhkan syarikat baharu berkaitan pelancongan atau mengambil alih syarikat lain.

“Kita akan halang individu atau syarikat tidak berlesen dengan kementerian membuat pengiklanan pakej umrah dari terus beroperasi,” katanya.

Selain itu, kementerian turut bekerjasama dengan Majlis Kawal Selia Umrah yang melibatkan 13 agensi termasuk Tabung Haji, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Luar Negara dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Selain itu, pemantauan dan penguatkuasaan turut dipertingkat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 bagi memastikan jemaah terlibat dengan syarikat berlesen memenuhi syarat ditetapkan kementerian dan perjalanan jemaah diuruskan dengan baik.


Tiada ulasan: