Selasa, 8 Ogos 2017

Gerhana separa bulan jelas kelihatan di Tanah Suci

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
MEKAH: Fenomena Gerhana Bulan Separa berlaku di Tanah Suci hari ini bermula tepat 6.50 petang tadi waktu Arab Saudi (kira-kira pukul 11.50 malam waktu Malaysia).
 
Penduduk sekitar Mekah dan jemaah haji yang berada di kawasan Masjidilharam ini dapat menyaksikan fenomena itu dengan jelas selama lima jam di mana kemuncaknya pada pukul 9.21 malam waktu tempatan (kira-kira 2.21 pagi waktu Malaysia).
 
Fenomena ini berakhir pada pukul 11.30 malam (4.30 pagi waktu Malaysia).
 
Serentak kemuncak gerhana itu berlaku, telah diadakan solat sunat khusuf (gerhana bulan) di Masjidilharam dan diikuti dengan khutbah selama 15 minit yang disampaikan oleh iman masjid berkenaan.
 
Mengikut `falakonline', gerhana bulan separa berlaku apabila sebahagian daripada cahaya matahari yang jatuh pada permukaan bulan, telah terlindung oleh jasad bumi.
 
Secara amnya, gerhana ini berlaku apabila bumi berada di antara matahari dan bulan. Walaupun ia nampak seperti sebaris, tetapi jika dilihat dari satah ‘tepi’, bulan berada sedikit ke atas daripada garisan matahari dan bumi. Ini akan menyebabkan ia tidak akan dilindungi sepenuhnya oleh bayang-bayang bumi.
 
Dalam satu sudut padangan agama, kejadian gerhana bulan ini pada hakikatnya mengajak umat Islam untuk menambahkan lagi keimanan tentang kehebatan dan kekuasaan Allah swt sebagai pentadbir seluruh alam, segala peredaran cakerawala, bumi, bulan, matahari dan seumpamanya.
 
Peredaran bulan dan matahari yang teratur setiap hari secara berganti-ganti, matahari beredar di waktu siang, manakala bulan beredar di waktu malam adalah atas kudrat dan iradat Allah swt jua.
 
Ia mempunyai hikmat dan tujuan tersendiri antaranya bagi tujuan membolehkan manusia untuk bekerja pada siang hari dengan mudah dan pada malam hari pula dapat berehat dan bermunajat kepada Allah swt dengan tenang.
 
Fenomena ini dijangka berlaku sekali lagi pada bulan Julai 2019 nanti. 
 
 

Tiada ulasan: