Rabu, 9 Ogos 2017

DAP makin jadi 'hamba abdi' Pakatan Harapan, kata bekas Ahli Seumur Hidup

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas Ahli Seumur Hidup DAP, Shamsher Singh Thind melihat DAP semakin menjadi 'hamba abdi' dalam Pakatan Harapan (PH), selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik menjadi pengerusi gagasan itu.
 
Ujar Shamser, DAP sepatutnya makin mengukuhkan kedudukannya dalam PH, sementelah bekas perdana menteri itu kerap memuji parti dominasi Cina itu ketika mula melibatkan diri dengan gabungan pembangkang.
 
"Saya rasa DAP dah jadi hamba abdi dalam Pakatan. Sepatutnya pengaruh DAP lebih kuat tapi sekarang pengaruh dia macam sudah tiada.
 
"Dia (DAP) lebih kepada macam dihambakan," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Malah Shamser berkata DAP hari ini mengalami masalah dalaman yang serius disebabkan tindakan pucuk pimpinan yang 'menjilat ludah sendiri' apabila bersetuju bekerjasama dengan Dr Mahathir.
 
"Dr Mahathir inilah punca dalam kalangan ahli-ahli DAP banyak masuk dalam ISA. Macam-macam skandal dan masalah yang DAP lalui disebabkan Dr Mahathir (dulu). Tetapi hari ini  partinya sanggup gadaikan dan serahkan semua (reputasi) kepada Mahathir.
 
"DAP sanggup demi undi dan demi nak menang pilihan raya sanggup untuk buat macam ni," ujarnya.
 
Bukan hanya DAP, bahkan PH juga berdepan saat sukar apabila ahli akar umbinya tidak menyokong keputusan pucuk pimpinan untuk menerima Dr Mahathir biarpun berkali-kali diperjelaskan ianya semata-mata untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
 
 

Tiada ulasan: