Jumaat, 11 Ogos 2017

Chegubard: Pengerusi PKR Kelantan kartel Azmin

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
SHAH ALAM: Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin mendakwa 'percanggahan' kenyataan di antara pimpinan PKR Kelantan mengenai peletakan jawatan wakil parti di negeri tersebut mengundang satu lagi krisis baru.
 
Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, beliau 'diberitakan' bahawa Pengerusi PKR Kelantan, Abdul Aziz Abdul Kadir bertindak memecat Ketua Komunikasi PKR Kelantan Mohammad Azihan Che Seman ekoran mengeluarkan kenyataan tanpa berbincang dengan kepimpinan negeri terlebih dahulu. 
 
"Diberitakan Ketua Penerangan PKR Kelantan dipecat oleh Pengerusi Perhubungan Kelantan kerana mengeluarkan kenyataan berkenaan perletakan jawatan lantikan politik di Kelantan sesuai dengan keputusan PKR Pusat. 
 
"Nampaknya Pengerusi PKR Kelantan ini memang kartel (Datuk Seri) Azmin.. arahan (Datuk Seri Dr) Wan Azizah diketepikan malah sanggup pecat siapa ikut arahan Azizah," katanya dalam satu posting di laman Facebook.
 
'Percanggahan' kenyataan bermula apabila Azihan memberitahu bahawa Majlis Pimpinan PKR Kelantan mengadakan mesyuarat khas pada 17 Mei dan 5 Jun lalu dan mengambil ketetapan bersetuju menerima keputusan Biro Politik PKR Pusat.
 
Kata Azihan, keputusan untuk meletak jawatan dipersetujui untuk dilaksanakan pada 31 Julai 2017.
 
Azihan juga menyenaraikan enam pemimpin PKR Kelantan yang disenaraikan sebagai ahli majlis daerah tetapi belum mengangkat sumpah, membuat keputusan untuk tidak berbuat demikian.
 
Susulan itu, Abdul Aziz kemudian tampil menyangkal kenyataan berkenaan, sambil menegaskan bahawa PKR Kelantan masih belum ada kepastian mengenai peletakan jawatan bagi lantikan politik dalam kerajaan pimpinan PAS itu. 
 
Sementara itu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam respon yang dipetik daripada Malaysiakini memaklumkan, lantikan politik di Kelantan masih menunggu tunggakan bayaran yang sepatutnya dijelaskan kerajaan negeri.
 
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menjelaskan sebelum ini semua penjawat lantikan politik itu menggunakan wang sendiri bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing.
 
Mengulas mengenai perkara itu, Chegubard yang juga bekas Ketua Cabang PKR Rembau memberi respon sinis. 
 
"PKR bising pasal PAS di Selangor. PAS di Selangor tentu dapat pelbagai jawatan mewah dengan gaji besar susah nak lepas. Ini PKR di Kelantan dapat jawatan kecil dengan gaji ciput pun payah nak lepas," tulisnya. 
 
Untuk rekod, peletakan jawatan wakil PKR dalam kerajaan negeri Kelantan yang masih belum terlaksana hingga kini sungguhpun arahan mengenai dikeluarkan hampir tiga bulan lalu. 
 
Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata ia memerlukan tempoh selewat-lewatnya dua bulan lagi untuk diselesaikan susulan masih terdapat perkara teknikal yang menghalang anggotanya di Kelantan mematuhi arahan pucuk pimpinan parti

Tiada ulasan: