Khamis, 10 Ogos 2017

Bodoh’ asingkan cawan murid Islam, bukan Islam, kata G25

Naib Presiden Amanah Mujahid Rawa juga mengatakan pengasingan cawan murid mengikut agama sebagai 'keras'.


mujahid-cup-3


PETALING JAYA: Tindakan sebuah sekolah di Selangor mengasingkan cawan untuk pelajar Islam dan bukan Islam dikecam kumpulan G25 yang menyifatkan ia sebagai “bodoh” dan “tidak masuk akal.”

Awal hari ini, pemeriksaan FMT di Sekolah Kebangsaan Taman Puteri di Hulu Langat mengesahkan gambar yang tersebar di laman sosial, bahawa sekolah tersebut menyediakan cawan asing di dispenser air minuman dengan label “MURID ISLAM” dan “MURID BUKAN ISLAM”.

Pihak sekolah enggan memberi komen, manakala usaha menghubungi Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalannya, Datuk P Kamalanathan tidak berjaya.

Johan-Arriffin-

Mengulas isu tersebut, ahli G25 Johan Arriffin berkata kejadian seperti ini membuatkan beliau berasa khuatir akan hala tuju Islam di negara ini.

“Perkara seperti ini hanya akan mememecahbelahkan rakyat kononnya atas nama amalan keagamaan.

“Realitinya, hal ini menunjukkan betapa kita telah hilang kefahaman tentang maksud sebenar nilai agama seperti toleransi.”

Johan berkata mengenai perkara seperti halal, apa yang lebih penting ialah kebersihan, daripada sama ada seorang bukan Islam menggunakan cawan.

“Dengan cawan, kamu basuh sehingga bersih. Tidak kira sama ada cawan itu digunakan seorang Islam atau bukan Islam. Menyediakan cawan asing sesuatu yang bodoh.”

Beliau menambah jika semua mengambil mentaliti mengasingkan orang Islam dan bukan Islam, isu ini tidak akan berakhir.

“Kamu akan hadapi situasi di mana semua benda perlu diasingkan, daripada alatan dapur sehinggalah orang yang menyediakan makanan. Ini tidak masuk akal.”

Islam tidak minta perkara sebegini

Naib Presiden Amanah Datuk Mujahid Yusof Rawa menyifatkan pengasingan cawan sebagai “malang” kerana dispenser air minuman memberi peluang kepada orang Islam dan bukan Islam berkongsi sesuatu dan sepatutnya berkongsi sesuatu tidak salah.

“Malahan, apabila seorang Cina memakan di kedai Melayu, mereka akan menggunakan pinggan dan alatan yang sama seperti orang Islam, tiada masalah dengan itu.

“Dalam Islam, apabila seorang Islam pergi ke mana-mana untuk makan atau minum, dia tidak perlu soal jika cawan atau alatan telah digunakan oleh orang bukan Islam. Kamu patut menganggapnya bersih.”

Beliau menambah dasar pengasingan cawan ini “amalan keras” yang boleh mengakibatkan masalah lain dan “Islam tidak meminta perkara ini.”

Sementara itu, Pengerusi Biro Harmoni Agama MCA Ti Lian Ker mengecam dasar itu, mengatakan dasar itu memupuk prejudis dalam kalangan pelajar.

“Sebagai ketua sekolah, bekas guru besar SK Taman Puteri patut menunjukkan contoh positif dengan menyampaikan nilai 1Malaysia, bersatu dalam kepelbagaian, dan bukan sikap perkauman atau melebihkan agama daripada hal lain, kepada pelajar, guru dan kakitangan.”

Katanya, sekolah tidak patut memperkenalkan dasar yang akan meninggalkan “tanggapan salah yang tidak boleh dipadam” dalam minda anak kecil bahawa dominasi kaum dan agama dan sikap tidak hormat boleh diterima.

Beliau menambah pihak berkuasa mesti menyiasat sama ada guru besar yang melaksanakan dasar itu, kini sudah dipindahkan, sedang memperkenalkan amalan taksub di sekolah baharu.

“Kementerian Pendidikan mesti terus mengarahkan pentadbiran SK Taman Puteri menarik semula amalan yang boleh menyebabkan perpecahan, meminta maaf kepada semua pelajar dan ibu bapa dan mulakan pengajaran nilai pelbagai budaya dan persahabatan tanpa mengira kepercayaan.”

Kejadian di SK Taman Puteri bukan pengasingan orang Islam dan bukan Islam yang pertama kali berlaku.

Tiga tahun lalu, seorang guru sekolah rendah di Setapak mencadangkan pengasingan pelajar Islam dan bukan Islam bagi menyelesaikan isu kekurangan guru, mengakibatkan ketidakselesaan dalam kalangan ibu bapa.

Sekolah itu menjelaskan aturan itu bagi menguruskan pengajaran Pengajian Islam dan bahasa Arab untuk peajar Islam, dan subjek Moral, Mandarin, dan Tamil untuk pelajar bukan Islam.

Pada 2013, Sekolah Kebangsaan Seri Pristana di Sungai Buloh dikecam teruk selepas pelajar bukan Islam disuruh makan di sebuah bilik yang bersebelahan tandas ketika Ramadan kerana rakan Islam mereka sedang berpuasa

Tiada ulasan: