Jumaat, 4 Ogos 2017

Belia desak pemimpin BN hentikan politik perkauman

 


BELIA di mesyuarat townhall tajaan Barisan Nasional (BN) malam tadi, mendesak politik perkauman dihentikan, walaupun ketika pemimpin kanan gabungan pemerintah itu sedang menggunakan isu kaum untuk memancing sokongan.

Audiens di mesyuarat tidak formal Transformasi Nasional 50 (TN50) di Shah Alam, yang kebanyakannya penyokong BN, sebaliknya mahu golongan senior mereka fokus dalam membentuk identiti negara bersatu padu.

Desakan itu disuarakan ketika senior mereka menyerang susur galur keturunan ahli politik pembangkang dan mengundang kontroversi dengan menawarkan status Bumiputera kepada komuniti terpilih.

Namun, tidak jelas juga jika desakan itu – yang sepatutnya ditujukan kepada pentadbiran Najib Razak – akan diguna pakai kepimpinan kanan BN.

Timbalan Ketua Pemuda MIC Thinalan Rajagopalu berkata salah tindakan pemimpin menggunakan isu kaum untuk memancing undi tetapi dan menganjurkan budaya politik di mana semua masyarakat akan dijaga.

“Kita patut guna politik untuk menyatukan kita. Saya tidak setuju yang sekolah vernakular menyebabkan perpecahan.

“Sebenarnya ahli politik yang memecahkan kita,” katanya yang juga ahli panel TN50 di kompleks Karangkraf di Shah Alam, malam tadi.

TN50 ialah inisiatif dilakukan pentadbiran Najib untuk membabitkan orang ramai terutama belia dalam dasar proses perancangan negara untuk tempoh 33 tahun akan datang.

Mesyuarat itu menyediakan platform kepada peserta meluahkan aspirasi mereka dan desakan kepada pentadbiran Najib tentang apa yang mereka mahu untuk Malaysia pada 2050.

Dalam siri pertama TN50 mengenai politik semalam, ahli panel terdiri daripada Pemuda BN dan Pakatan Harapan (PH). Selain MIC, BN turut diwakili Shahril Hamdan daripada Pemuda Umno.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim mewakili PH.

Sama seperti sesi TN50 lain, kebanyakan masa sepanjang dua jam digunakan untuk mengumpulkan maklum balas atau “aspirasi” daripada khalayak yang ramai.

Majoriti senada dengan pandangan Subki Idris, yang mahu ahli politik menjadikan Malaysia rumah untuk setiap rakyat tanpa mengira apa juga kepercayaan, masyarakat atau gender.

“Kepelbagaian masa depan tidak dapat dibayangkan kerana rakyat Malaysia berkahwin antara kaum dan anak mereka belajar bahasa yang berbeza dan mungkin atau mungkin tidak terikat dengan gambaran budaya yang diberikan pada mereka.

“Jadi ahli politik perlu merancang untuk berdepan keadaan itu,” katanya.

Seorang peserta yang mahu dikenali sebagai Devan berkata ahli politik Malaysia masih terperangkan dalam minda lama di mana mereka memainkan sentimen kebimbangan kaum untuk dipilih dalam pilihan raya.

“Kami perlukan pemimpin yang boleh mewakili semua kaum. Kenapa kita masih melihat hasutan kaum dan kenapa tidak ada apa pun dibuat untuk menanganinya,” katanya.

Empat hari sebelum dialog itu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dikritk teruk kerana menyerang Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad menerusi salah silah keluarga bekas perdana menteri itu yang berketurunan India.

Pengkritik juga mempertikaikan kenapa BN menawarkan status Bumiputera kepada masyarakat India Muslim.

Sementara itu, Afif berkata tidak perlu ada lagi warganegara kelas kedua di Malaysia kerana Perlembagaan Persekutuan sudah pun melindungi orang Melayu, bahasa kebangsaan dan status Islam.

“Sebab itu kami mahu membawa politik yang berdasarkan kepada keperluan, bukannya bangsa, kerana ketidaksaksamaan wujud dalam semua masyarakat,” katanya.

Shahril berkata walaupun semua peserta di situ bersetuju dengan politik pelbagai bangsa, ujian sebenarnya ialah apabila mereka terpaksa berdepan isu perkauman dalam kehidupan sebenar.

“Kita berani dalam forum tetapi tanya diri sendiri, jika ibu bapa atau rakan anda cakap sesuatu yang rasis pada masa depan, adakah anda akan tegur mereka?

“Mudah untuk rakyat Malaysia mempunyai identiti negara yang sama ketika kita ke luar negara tetapi kita masih belum dapat kebersamaan itu dalam kalangan kita,” katanya.

Sim berkata walaupun semua desakan itu bagus, tetapi apa yang penting ialah sama ada pemimpin kanan BN akan mengambil serius semua itu atau tidak.

“Walaupun kita berbeza pandangan politik, apa yang kita mahu ialah politik perkauman dihentikan dan bawa politik lebih matang.

“Tetapi kita perlukan lebih banyak pemimpin kanan BN hadir bila sesi townhall seperti ini diadakan,” katanya.

Tiada ulasan: