Rabu, 9 Ogos 2017

Armada tidak terkesan SPRM siasat harta kekayaan Tun Mahathir

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak terkesan jika pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad disiasat Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung harta kekayaan yang dimilikinya.
 
Ketua Penerangan Armada PPBM, Ulya Aqamah Husamudin berkata pemimpin dan ahli akar umbi yakin Dr Mahathir tidak berbuat perkara yang menyalahi undang-undang sekaligus menyebabkan dirinya disabit kesalahan.
 
"Kami tidak ada masalah. Tun Mahathir pun dah banyak kali cakap dia tiada masalah. Kalau SPRM nak siasat silakan. 
 
"Malahan kami tahu secara fakta, Tun Mahathir dan (anaknya) Datuk Seri Mukhriz (Mahathir) pun sudah biasa dengan MACC (SPRM). Mereka secara suka rela pergi bukan atas arahan sesiapa," ujarnya dalam sidang medianya di ibu pejabat PPBM, Petaling Jaya, hari ini.
 
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyatakan kesediannya untuk disiasat SPRM selepas Dr Mahathir mendakwanya miliki RM230 juta dalam akaunnya ketika menjadi Ketua Pemuda Umno, suatu ketika dahulu.
 
Namun sebagai timbal balas, Zahid mahukan SPRM turut menyiasat sumber kekayaan bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu.
 
"Jadi kalau Datuk Zahid Hamidi kata nak sedia untuk disiasat SPRM, tunjukkanlah. Kami memang tidak ada masalah. Daripada pihak Tun Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz atau sesiapa pun (pemimpin pembangkang) kami tidak ada masalah. 
 
"Tuan (pemimpin PPBM, Zahid Mat Arip) yang baru keluar daripada tahanan SPRM baru-baru ini untuk bantu siasatan Felda itu...tiada masalah. Kami bersedia. Kami akan berikan kerjasama kepada SPRM kalau apa yang dilakukan itu untuk menegakkan kebenaran," katanya lagi.
 
Dr Mahathir sebelum ini menerusi catatan di blog miliknya, menimbulkan semula pengisytiharan harta yang dibuat Zahid selepas dilantik sebagai Pemuda Umno pada 1996.
 
Bagaimanapun kata Dr Mahathir, beliau tidak mempunyai bukti hitam putih berkenaan dakwaan itu.
 
 

Tiada ulasan: