Rabu, 16 Ogos 2017

Tiong Lai jadikan ia perkauman

 
 
Oleh Subky Latif

TIADA makhluk - manusia dan malaikat - kata projek sistem rail dari Lembah Klang ke Kelantan di bawah ECRL yang dibiayai China merugikan negara dari segi ekonomi, pembangunan dan kemajuan.
    
Semua setuju ia bukan menguntungkan Malaysia saja, bahkan ia menguntungkan China. Hingga beratus tahun selepas PM Najib dan menteri pengangkutannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai mati ia akan memberi untung besar kepada Malaysia sama seperti untungnya Tanah Besar China  dengan Tembok Besar China yang dibina ribuan tahun dulu.
     
Tetapi jadahnya mengapa acara pecah tanah projek itu yang dihadiri oleh PM Najib tidak diserikan dengan bahasa rasmi negara yang diperlembagakan sejak merdeka?
    
Malaysia bangga dengan adanya Perkasa – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia – yang membangkitkan lambang kebesaran negara seolah-olah dibangkulsampahkan dalam acara pecah tanah itu. Bahasa rasmi negara dan lain-lain lambang kenegaraan dikatakan diketepikan.
    
Mungkin Perkasa yang diketuai oleh Datuk Ibrahim Ali dicap perkauman oleh orang yang antinya, tetapi Perkasa dalam hal pecah tanah ini telah membangkitkan perkara yang hak. Tidak timbul seperti yang Tiong Lai bangkitkan isu perkauman bagi mengeruhkan hubungan baik antara Malaysia dan China.
    
Menteri Tiong Lai mesti peka, dia adalah menteri Malaysia. Dia tahu masa mana bahasa dan bendera mesti diutama dan dimuliakan. Tiong Lai patut nasihatkan, jangan ada yang kejadian provokatif, yang boleh ditafsirkan memburukkan lagi maruah dan imej Perdana Menteri.
    
Nama Perdana Menteri dengan segala skandalnya sudah cukup memburukkan, ditambah dengan pecah tanah yang membakul sampah warisan dan kebanggaan negara, Tiong Lai seolah-olah melayakkan bossnya dicampak ke Laut China Selatan.
     
Tiada cacat celanya pecah tanah itu tidak menggunakan bendera dan bahasa yang boleh difaham oleh warga China saja. Adakah projek-projek China di Afrika dan di mana-mana di dunia acara pecah tanahnya tidak guna bahasa dari benua lain bahkan bahasa Tanah Besar saja?

  Tiong Lai telah tidak membantu PM Najib memulihkan namanya di kalangan rakyat yang bermaruah.
     
Yang penting bagi pelabur China ialah peluang ekonomi yang diperolehnya dan ia membantu menambah namanya dalam masyarakat antarabangsa, bukan memacak bendera dan bahasanya di wilayah asing.
    
Semua tahu Najib bukanlah pemimpin yang boleh dibanggakan oleh Malaysia. Tiong Lai dan menteri-menterinya jangan jadi orang menyokong membawa rebah kepadanya. Dalam hubungan Malaysia dan China sekarang ini Najib sudah dilihat sebagai seorang yang bisu. Tiong Lai sebagai pemimpin Malaysia bukan Melayu sepatutnya dapat menjadi penasihat yang baik, bukan jadi batu api menempelak teguran Perkasa itu membakar perkauman.
    
Apa yang Perkasa timbulkan itu ada membangkitkan kebenaran dan kesedaran. Jika Perkasa tidak bangkitkan, siapa yang sanggup membangkitkan. Harapkan Umno? Baik ia jadi tukang kipas supaya Najib lebih cepat ditempelak.
    
Tiong Lai tidak dilihat pihak yang dapat membantu mendaulat roh keperwiraan yang amat diperlukan oleh bangsa berbilang kaum di Malaysia.
    
Kita tidak fikir kejadian pecah tanah ECRL di Kuantan itu syarat yang ditentukan oleh pelabur China. Kita takut orang-orang di sini lebih sudu dari senduk. Jika perkauman payah dikikis, ia disebabkan oleh orang Malaysia tidak berbangga dengan nilai-nilai yang baik yang ada dalam negeri.
    
Bukan semua Perkasa itu buruk.  Dalam isu pecah tanah ECRL, Perkasa adalah wira dan perwira.

Henti sandiwara, selesaikan isu FGV, kata pemimpin pembangkang

 

Oleh

MASIH terlalu awal untuk meraikan penahanan Isa Samad kerana ia tidak menjamin penyelewengan dalam Felda dan Felda Global Ventures Holdings (FGV) ditamatkan, kata pemimpin pembangkang.

Mereka berkata, sejarah penahanan dan pendakwaan tokoh di Malaysia sebelum ini selalunya berakhir dengan tokoh itu bebas selepas perbicaraan di mahkamah.

“Kita tidak mahu lagi didendangkan dengan drama seperti yang berlaku dalam kes Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) apabila semua tertuduh akhirnya dibebaskan,” kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar

“Penahanan Isa ini masih lagi di peringkat yang terlalu awal, masih belum tentu didakwa dan dibicarakan.”

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang semalam menahan Isa berhubung pembelian hotel di London dan Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Bekas pengerusi Felda dan FGV itu sebelum ini pernah disoal siasat berhubung urus niaga berkenaan.

Isa meletakkan jawatan dalam FGV sebelum dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dua bulan lalu.


Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, sekiranya benar PAS di tiga buah negeri mahu bekerjasama dengan PH, ia satu perkembangan yang positif untuk Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2017.
Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai berharap SPRM akan turut bertindak tegas dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar berharap penahanan Isa tidak menjadi seperti “plot filem” yang sering “diputarkan” sebelum ini.

“Apakah ini plot filem ‘Felda 1’ yang mana Isa akan ditahan dan didakwa. Kemudian Mahkamah Tinggi akan jatuhkan hukuman bersalah kepada Isa sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Akan tetapi, selepas PRU14, Mahkamah Rayuan akan membebaskan Isa, seperti yang selalu berlaku sebelum ini,” kata bekas naib presiden PAS itu, yang senada dengan Nurul Izzah.

Mahfuz berkata, tindakan seharusnya diambil terhadap orang yang bertanggungjawab melantik Isa sebagai pengerusi Felda dan FGV sebelum ini.

“Perdana Menteri Najib Razak yang melantik Isa harus bertanggungjawab.

“Selepas bermasalah di Felda dan FGV, Isa kemudiannya dipindahkan sebagai pemangku SPAD, seolah-olah mahu menutup mulut Isa agar tidak membongkarkan rahsia orang yang melantiknya,” katanya.

Mahfuz turut mendesak agar Isa dipecat sebagai pemangku pengerusi SPAD agar masalah lain tidak ditimbulkan dalam agensi itu.

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) dalam kenyataan mengalu-alukan penahanan Isa turut membuat gesaan yang sama kepada perdana menteri.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki memaklumkan penahanan Isa merupakan tindakan susulan hasil daripada keterangan yang dirakam pasukan penyiasat berhubung pembelian hotel terbabit sebelum ini.

"Justeru itu, SPRM yakin mempunyai asas yang kukuh untuk membuat penahanan tersebut supaya dapat membantu melengkapkan siasatan kes tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata penahanan Isa membuktikan apa yang dikatakan oleh pemimpin pembangkang selama ini benar.

“Sewaktu Isa dilantik sebagai pengerusi Felda dan FGV dulu, kita dah kata ia pasti akan menimbulkan masalah.

“Kita dah kata pelantikan Isa sudah pasti akan menjejaskan Felda,” kata bekas ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal itu.

Salahuddin berharap penahanan Isa akan mengikut proses undang-undang dan sekiranya didapati bersalah, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu tidak terlepas daripada hukuman.

Dari Shah Alam sampai ke Kangar, polis buru suspek kacau Nothing to Hide 2.0

 
 
Oleh

POLIS menahan 10 suspek setakat ini yang ada kaitan dengan huru-hara tercetus semasa forum Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam pada Ahad dengan tumpuan digiatkan kepada usaha mencekup dalang kekecohan berkenaan.

Siasatan awal mendedahkan beberapa remaja yang terlibat dibayar RM50 untuk memulakan kekacauan pada forum anjuran Bersatu itu, dengan membaling kasut dan membakar suar ke pentas tempat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad berucap.

Dalam kekecohan itu, mereka juga kemudiannya membaling kerusi ke arah hadirin.

The Malaysian Insight difahamkan susulan penahanan tiga remaja selepas huru-hara itu, polis Selangor memburu sampai ke Kangar, Perlis untuk menahan suspek yang terlibat.

“Seorang ditahan di Kangar manakala enam lagi ditangkap di beberapa lokasi di Lembah Klang semalam,” kata sumber

Tujuh suspek itu berumur antara 20 hingga 30 tahun.

Ketua Jabatan Penyiasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmad malam tadi mengesahkan semua dalam tahanan polis.

“Kita bukan saja cari mereka yang buat kacau tetapi juga dalang di belakang remaja ini. Itu sebahagian daripada siasatan kita,” kata Fadzil

Difahamkan juga, polis merampas semua telefon genggam milik suspek.

Kesemua 10 suspek itu disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Kanun Kesiksaan bagi kesalahan merusuh.

Pemimpin PH menyalahkan Umno manakala pegawai kanan perdana menteri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad menuduh Dr Mahathir punca kekacauan.

Semua pihak menggesa polis mengesan dalang yang mengambil kesempatan ke atas remaja terlibat dan memperdayakan mereka untuk datang ke majlis itu, dan seterusnya membuat huru-hara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2017.
Tengku Sariffuddin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata hadirin pada forum itu marah apabila Dr Mahathir gagal menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya.

Dr Mahathir sempat menjawab lapan soalan sebelum selipar mula "terbang" diikuti kasut dan botol air serta kemudiannya kerusi dan suar yang dibakar.

Antara soalan itu termasuk yang menyentuh tentang anaknya Mukhriz menjadi perdana menteri, moral Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat, Azmin Ali dan PAS, serta peristiwa berdarah Memali.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pengundi Melayu Berdaftar Malaysia Nazilah Idris menggambarkan mereka yang ditahan polis itu sebagai mangsa keadaan kerana nampak jelas diperalatkan.

Nazilah menggesa polis mengesan dalang yang mengambil kesempatan ke atas remaja terlibat dan memperdayakan mereka untuk datang ke majlis itu, dan seterusnya membuat huru-hara.

“Mereka tidak bersalah. Dalangnya yang sepatutnya polis cari,” katanya.

Nazilah menambah berdasarkan maklumat yang beliau terima, remaja terlibat dijanjikan RM50 untuk hadir pada forum berkenaan dan akan mendapat bonus sekiranya mereka mencetuskan kekacauan

'Tak perlu wayang tangkap tapi tak didakwa'

 

PKR mengalu-alukan tangkapan Tan Sri Isa Samad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam walaupun beranggapan tindakan itu sepatutnya diambil lebih awal lagi.

Naib presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin bagaimanapun menegaskan tangkapan sahaja tidak cukup dan Isa harus dihadapkan ke muka pengadilan susulan dakwaan skandal dalam Felda Investment Corporation (FIC)

“Sekiranya mempunyai bukti yang kukuh dan prima facie, beliau sewajarnya didakwa untuk menunjukkan bahawa PM benar-benar serius memerangi rasuah walaupun beliau sendiri terpalit dengan skandal 1MDB dan lain-lain,” katanya.

Isa yang juga veteran Umno ditahan selepas hadir untuk memberi keterangan kepada SPRM di ibu pejabat agensi terbabit di Putrajaya. SRPM juga menyerbu rumahnya di Selangor.

Isa, yang berundur daripada FGV dan dilantik sebagai pemangku Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), sejak empat tahun lalu mempertahankan urus niaga FIC itu.

Kata Isa, pembelian hotel di London itu tidak bertentangan dengan perniagaan teras syarikat perladangan itu.

Dalam kenyataan hari ini, Shamsul juga mengingatkan kerajaan “tidak bermain wayang dengan membuat siri tangkapan tanpa diheret ke muka pengadilan”.

“Rakyat sudah muak dengan tangkapan tanpa tuduhan,” katanya.

Beliau juga berharap isu kerugian syarikat lain Felda seperti FGV juga mendapat perhatian SPRM supaya “dalang yang merugikan FELDA dan penerokanya” dikenal pasti.

FIC membeli Grand Plaza Service Apartments bernilai £115 juta (RM586.5juta) selepas melabur dalam lapan hotel sebelum itu.

Pada 27 Mei 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low memberitahu siasatan awal SPRM tidak menemui apa-apa asas kesalahan berhubung dakwaan penyelewengan pembayaran RM538 juta oleh FIC untuk membeli sebuah hotel mewah di London.

Bagaimanapun pada 14 Julai lalu Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad mengarahkan kertas siasatan pembelian hotel itu dibuka semula ekoran ada maklumat baru mengenainya.

Tahan Isa Samad: Dapatkah duit Felda dikembalikan?

 
 
Oleh NARAZA MUDA

 KAMI warga Felda yang selama ini berjuang menyelamatkan Felda daripada kerakusan Isa Samad berjoli dengan duit Felda dan FGV melihat perkembangan penahanan Isa pada hari ini (15 Ogos 2017) sebagai ibarat kata ' nasi sudah menjadi bubur'

Selama hampir tuhju tahun, kami dalam kalangan aktivis keluar masuk tanah rancangan di hampir seluruh negara sejak dari perlantikan Isa Samad sebagai Pengerusi Felda pada 01 Januari 2011.

Perbagai rintangan dan kesan negetif kami terpaksa pikul kerana warga Felda seolah sangat teruja dengan perlantikan Isa Samad ini.

Umno dan kerajaan menggunakan segala sumber mereka menyakinkan  warga Felda cadangan penyenaraian Felda ke BSKL akan mengubah kehidupan warga Felda kepada golongan yang berpendapatan tinggi seperti mereka di negara maju. Laungan ini masih terngiang ditelinga kami apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib sendiri yang melaungkanya pada awal tahun 2012.

Agenda penyenaraian Felda melalui FGV menjadi agenda utama perlantikan Isa Samad sebagai pengerusi Felda. Tahun pertama Isa telah menyejuk bekukan 37 pegawai kanan Felda yang tidak setuju atau memberi pendapat berbeza dengan kehendak ini.

2012 menyaksikan FGV disenaraikan dengan dan Koperasi Permodalan Felda disingkirkan dari Felda Holding setahun kemudian. KPF yang menguasai 51 peratus ekuiti dalam Felda Holdings Berhad (FHB) telah ditendang keluar dari Felda apabila perwakilan dari kalangan peneroka bersetuju menyerahkan 112,199,999 kepada Felda Global Venture Holdings Berhad (FGVH) dengan kaedah mengangkat tangan tanpa melalui penerangan dan taklimat khas berkaitan. Sejarah hitam ini berlaku pada 27 Oktober 2013 jam 10 pagi di Dewan Banquet Menara Felda.

Penyingkiran KPF dari dari menguasai FHB dengan 51 peratus pegangang saham yang sebelum ini menjadi kebanggaan peneroka selama ini mengejutkan peneroka setahun selepas itu apabila bonus dan dividen yang sebelum ini 17 peratus dibayar kepada mereka turun mendadak selepas itu.

Sehingga beberapa tahun hanya 10 peratus sahaja dibayar. FGV telah mengambil alih semua kepentingan 112,199,999 unit saham bersamaan 51 peratus dengan nilai yang sangat tidak munasabah iaitu RM2.2bilion ataupun RM19.61 sesaham.

Peneroka yang hanya diberi pemilikan 800 unit saham FGV yang bernilai RM3,560 disyaratkan membuat pinjaman bank untuk membiayai saham ini. Dengan jaminan pegangan hanya setahun sahaja peneroka dijanjikan pulangan yang membolehkan mereka menjadi kaya-raya selepas itu.

Setelah beberapa tahun saham FGV gagal menyerlah dan terpaksa dikeluarkan dari senarai papan utama kerana kejatuahan melepasi had untuk kekal di papan utama bursa. Bila nilai pinjaman tidak mampu ditebus atau dilangsaikan dengan nilai semasa saham, pihak kerajaan telah mengambil alih pinjaman ini dari bank untuk meredakan kemarahan peneroka Felda. Pengambilalihan ini bukan percuma, peneroka terpaksa memotong pendapatan mereka selama 60 bulan dengan kadar RM50 sebulan.

Bila hampir dengan pilihan raya, pada Sambutan Hari Peneroka di Putrajaya baru-baru ini, Perdana Menteri telah menawarkan inisiatif antaranya penghapusan hutang pinjaman saham ini dan beberapa inisiatif lagi sebagai halangan undi peneroka tidak terarah kepada pembangkang sebagai protes tidak puas hati prestasi dan isu membarah terhadap Felda dan FGV.

Tindakan-tindakan lain seperti penjualan aset di luar negara juga menjadi peristiwa tragis bagi Felda dan FGV. Felda Global Vantures Holdings Berhad menjual keseluruhan kepentingannya dalam Twin Rivers Technologies Enterprises de Transformation de Granines Oleagineuses du Quebec Inc (TRT- ETGO) dengan nilai AS$180 juta atau RM608.2 juta, isu ini terus menjadi tanya rakyat Malaysia kerana pihak FGV tidak pernah menjelaskan kedudukan keuntungan yang didakwanya mencecah RM65 juta. Sebaliknya ada sumber menggatakan operasinya mengalami kerugian mencecah RM800 juta.

Pada awal julai 2015 lalu, FGV seperti mana dilaporkan Bloomberg dijangka memperolehi lebih RM1 bilion selepas berjaya menjual kilang TRT -ETGO yang telah menarik minat pembida pada harga AS$180 juta (RM686 juta ) hingga AS$250 juta (RM953 juta) .

Hanya sebulan selepas laporan Bloomberg, FGV telah melaporkan penjualan TRT - ETGO ini dengan harga RM608.2 juta kepada Viterra Inc, pengendali dan pemasar bijirin dan minyak terkemuka Kanada.

Pada 11 Ogos 2015, Presiden dan Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Emir Mavani mengesahkan bahawa perbincangan dengan lima syarikat antarabangsa untuk membida TRT-ETGO masih berjalan. Hanya jarak waktu 14 hari , FGV telah mengumumkan penjualan ini.

Apa yang peliknya, penjualan ini dijual di bawah harga pembida seperti laporan Bloomberg.

Sedangkan ada pembida berminat dengan harga hampir RM1 bilion. Ini diantara contoh penjualan aset yang rugi tetapi didakwa untung. Ada sumber lain mengatakan kos pelaburan TRT ini mencecah RM1.2 bilion.

Sudah banyak isu berkaitan Felda, FGV dan FIC yang kami dedahkan dan catatkan yang menjadi kenyataan selepas beberapa tahun. Isu Projek ikan Sturgeon yang bernilai RM135juta dinamakan Projek Felda Carviartive Blue Dream Park terletak di Kuala Tahan, Jerantut Pahang. Projek yang menggunakan teknologi Korea Selatan ini didakwa mampu menghasilkan 30 metrik tan karvia setahun dan menjana pulangan RM360 juta setahun. Harga semasa telur ikan ini mencecah RM12,000 sekilogram. Laporan ketua juru audit negara mengesahkan RM47.6 juta lesap tanpa dapat dikesan.

Bekas seorang Pengurus Besar Felda telah didakwa oleh SPRM (kes masih berjalan). Kes ini hanya melibatkan kakitangan Felda, Isa Samad masih meloloskan diri dan berjaya kekal sehinggalah bermacam masalah timbul. Peneroka bangkit membuat desakan agar sesuatu tindakan drastik diambil dan selepas itu menyaksikan Isa Samad ditendang dari Felda pada 2016.

Tidak beberapa bulan selepas itu pada Jun 2017 Isa telah disingkirkan dari FGV pula kerana Najib terpaksa mengambil tindakan ini bila kemarahan rakyat Malaysia kemuncak. Perbagai pihak, NGO dan warga Felda dilihat kehadapan dan tanpa segan mengugut akan tidak menyokong Barisan Nasional lagi di PRU ke-14 nanti. Tindakan ini juga dilihat satu tindakan politik Perdana Menteri.

Peneroka Felda yang sebahagian besarnya warga emas, sangat mudah terpedaya dengan langkah-langkah selamat dari Perdana Menteri. Bukan cakap dan janji kosong, peneroka Felda ditawarkan tunai RM5,000 untuk mereka pada akhir bulan Ogos ini. Sepantas kilat bertahun Isa Samad menghabiskan berbilion ringgit duit mereka, duit Felda dan FGV mereka lupakan.

Mereka sudah boleh bercakap-cakap sesama mereka, yang jahat Isa, yang khianat Isa, sekarang Isa sudah dipecat. Isa sudah ditahan. Sekarang Najib dah pulihkan Felda, Najib sayang Felda, Najib tidak khianat. Najib selamatkan kita. Sudah tentu tindakan licik Perdana Menteri ini akan terus memastikan undi Felda di 54 parlimen akan kekal dan memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional jika tiada usaha bersepadu dan penerangan secara holistik  penyelewengan skandal Felda, FGV, Isa dan Najib kepada pengundi Felda dalam masa terdekat. Mereka sudah tidak kisah duit berbilion ringgit yang dihilangkan Isa.

*NARAZA MUDA, Pegawai Khas Seranta Felda PAS Terengganu 

Tangkap Isa, SPRM harus siasat biar lumat

 
 
Oleh KHAIRUL YAZMAN YAHYA 

TAHNIAH kami di Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan ucapkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah menahan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad pada jam 4.30 petang tadi berikutan siasatan isu pelaburan Felda.

khairulNSInsan yang disebut sebutkan sebagai orang paling berkuasa di Felda ini terlalu banyak isu yang terkait dengannya sejak beliau menerajui Felda dan kini beralih ke SPAD.

Antaranya isu pembelian Hotel, pelaburan PT Eagle, ikan Strurgeon, dan paling besar skandal FGV yang sangat merugikan kaum peneroka Felda.

Kami amat mengharapkan agar SPRM menyiasat sepenuhnya dan jika didapati berasas, maka pendakwaan harus dibuat sebagai susulan.

Siasatan juga harus dilakukan tanpa ada unsur takut dengan kaitan Isa Samad sebelum ini dengan pemimpin utama negara yang dikatakan terlalu banyak melindungi ayam tambatannya ini.

Apa yang penting kami tidak mahu tangkapan ini hanya sebagai satu sandiwara menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 yang akhirnya nanti pasca pilihan raya perkara sebaliknya berlaku.

Apapun kami tetap menaruh keyakinan SPRM akan melakukan yang terbaik demi memastikan agenda membanteras rasuah di negara ini tercapai.

Tahniah sekali lagi kepada SPRM. Buktikan agensi ini benar benar bebas.

*KHAIRUL YAZMAN YAHYA, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan

PAS Kedah nafi pertimbang kerjasama dengan PH

 
 
Oleh Dr. Ahmad Fakhrudin bin Sheikh Fakhrurazi

1. Setelah meneliti beberapa kenyataan politik yang dilontarkan mutakhir ini, PAS Kedah mendapati bahawa sama ada suara kepimpinan UMNO yang kelihatan lunak dengan PAS, ataupun kenyataan keras yang sering ditujukan kepada PAS dari kelompok PH adalah bertujuan untuk mengelirukan rakyat serta percubaan menghakis keyakinan ahli-ahli PAS terhadap kepimpinannya. Dalam waktu yang sama kedua-dua blok politik tersebut berusaha merebut sokongan ahli dan penyokong PAS yg kini semakin dominan di kalangan masyarakat Melayu.

2. Menjadi satu jenaka apabila terdapat satu tulisan dalam portal maya menyatakan bahawa PAS Kedah menimbang kerjasama dengan PH, sedangkan sosok PH itu masih dibelengu dengan pelbagai persoalan seperti persediaan jentera, jumlah cawangan parti komponen, kekuatan akar umbi dan status pendaftarannya yang masih kabur. Kenyataan beberapa pemimpin parti komponennya yang sering bercanggah antara satu sama lain, menambahkan lagi kekalutan.

3. Saya berpendapat, PPBM Kedah perlu ada keberanian untuk menyatakan status kekuatan dan kedudukan mereka dalam menghadapi PRU14; kerana tidak dinafikan bahawa mereka juga mempunyai pengaruh di kalangan pengundi Melayu.

4. PAS Kedah konsisten berpendirian untuk memperkasakan blok Gagasan Sejahtera. Dengan kata lain, PAS tiada hubungan politik dengan mana-mana parti di dalam BN, mahupun PH. Ketegasan ini selaras dengan keputusan Majlis Syura Ulamak PAS untuk tidak mengadakan kerjasama politik dangan BN, DAP, PAN serta sekutu mereka.

5. Sehingga ke saat ini, kesediaan PAS Kedah untuk bertanding di semua kerusi sama ada DUN atau Parlimen kekal; namun terserah kepada PAS Pusat untuk membuat sebarang keputusan berhubung jumlah kerusi bagi PAS Kedah dalam menghadapi PRU14 nanti.

Dr. Ahmad Fakhrudin bin Sheikh Fakhrurazi
Pesuruhjaya PAS Kedah.

Najib kena jelaskan kenapa lantik Isa ke SPAD

 

ISA Samad tidak sepatutnya dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) jika beliau terpalit dalam kontroversi yang akhirnya menyebabkan ditahan pihak berkuasa anti jenayah, kata Lim Kit Siang, hari ini ini.

Ketua Parlimen DAP itu berkata Perdana Menteri Najib Razak perlu menjelaskan mengapa beliau melantik Isa ke SPAD selepas Isa meletak jawatan sebagai pengerusi Felda Global Ventures (FGV) Holdings Berhad pada Jun.

Penggal Isa sebagai pengerusi Felda tamat lebih awal pada Januari.

“Najib sepatutnya tahu Isa calon bermasalah untuk mana-mana jawatan tinggi kerana peranannya yang kontroversi sebagai pengerusi Felda dan FGV, membangkitkan isu mengenai integriti, pecah amanah dan salah guna kuasa.

“Najib bertanggungjawab terhadap rakyat Malaysia untuk memberi penjelasan bagaimana beliau boleh melantik Isa sebagai pengerusi SPAD,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ISA dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini untuk dikenakan perintah tahanan reman, dengan memakai baju-T lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna oren.

Isa ditahan ketika hadir ke ibu pejabat SPRM untuk merekodkan keterangannya jam 2.40 petang semalam.

SPRM menyiasat Isa atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa dalam pembelian dua hotel di London dan Kuching oleh Felda Investment Corporation (FIC).

SPRM berkata ia mempunyai asas kukuh untuk menahan Isa dan sedang mempertimbangkan untuk membekukan semua aset miliknya.

FIC yang mempunyai kepentingan dalam hartanah, hospitaliti dan sektor gas dan minyak dikatakan membeli Hotel Park City bertaraf empat bintang di Kensington, London antara 2013 dan 2015, pada harga RM330 juta.

Ia kemudian dinamakan semula sebagai Grand Plaza Hotel. Difahamkan harga hotel itu melampaui harga pasaran iaitu RM110 juta.

FIC juga membeli hotel di Kuching, Merdeka Palace Hotel & Suites, pada 2014 dengan harga RM160 juta, dikatakan RM50 juta lebih mahal berbanding nilai sebenarnya

Lim berkata Najib sepatutnya membiarkan siasatan penuh terhadap Isa dijalankan terlebih dulu sebelum memutuskan sama ada beliau layak dilantik sebagai pemangku pengerusi SPAD atau tidak

Tangkapan Isa Samad: Rakyat muak dengan tangkapan tanpa tuduhan

 


KEADILAN mengikuti dengan rapat penangkapan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad bagi siasatan kes pembelian hotel di Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC) yang didakwa dibeli dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran dan telah menyebabkan kerugian kepada FIC. Kami mengalu-alukan tangkapan ke atas Isa Samad oleh SPRM walaupun ramai beranggapan beliau sepatutnya ditangkap lebih lama lagi.

Cuma yang lebih penting bukannya penangkapan sahaja. KEADILAN menegaskan Isa Samad mesti di bawa ke muka pengadilan untuk mengenal pasti sama ada terdapat rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan yang dilakukan sebagai Pengerusi Felda ketika itu. Sekiranya mempunyai bukti yang kukuh dan prima facie, beliau sewajarnya didakwa untuk menunjukkan bahawa PM benar-benar serius memerangi rasuah walaupun beliau sendiri terpalit dengan skandal 1MDB dan lain-lain.

KEADILAN ingin menegaskan di sini bahawa supaya kerajaan tidak bermain wayang dengan membuat siri tangkapan tanpa diheret ke muka pengadilan. Rakyat sudah muak dengan tangkapan tanpa tuduhan. KEADILAN juga berharap supaya skandal-skandal lain yang melibatkan Felda seperti kerugian FGV juga dapat perhatian oleh SPRM untuk mencari dalang yang merugikan FELDA dan peneroka FELDA.

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
AHLI PARLIMEN BUKIT KATIL
NAIB PRESIDEN PARTI KEADILAN RAKYAT
KETUA BIRO FELDA DAN PERLADANGAN PARTI KEADILAN RAKYAT (KEADILAN)

Apakah peristiwa Memali?



Memali
 

MUNGKIN ramai yang tidak mengetahui apakah tragedi Memali yang pernah menggemparkan negara sebelum ini, apatah lagi, ia kini turut menjadi punca kekecohan di sebuah forum melibatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Forum Nothing to Hide 2.0 kecoh apabila adegan membaling kerusi, suar dan botol air di dewan ketika Mahathir menjawab soalan peserta di dalam program tersebut.

[ARTIKEL BERKAITAN: Adegan baling kerusi, suar cemar Nothing To Hide 2.0]

Kekecohan tercetus ketika seorang peserta mengajukan soalan kepada Mahathir mengenai peristiwa Memali yang berlaku ketika zaman pemerintahannya beliau.

Tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan Mahathir membuatkan ada peserta yang bertindak sedemikian rupa sehingga program terpaksa ditamatkan awal.

Mahathir sebelum ini juga memperjelaskan isu tersebut di dalam blognya mempertahankan tindakan pihak polis ketika itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Peristiwa Memali: Penjelasan Tun Dr Mahathir]

Tragedi itu berlaku tanggal 19 November 1985 di sebuah kampung bernama Memali di Baling, Kedah dan telah mengorbankan 18 orang termasuklah empat anggota polis semasa pertempuran antara kedua-dua pihak berlaku, berpuluh yang lain cedera dan ratusan orang khususnya penduduk kampung ditahan.

Punca pertempuran didakwa berpunca daripada tindakan polis mahu menahan seorang penceramah bebas, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya dalam satu operasi yang digelar Operasi Angkara kerana dituduh mengancam keselamatan negara.

Timbalan Perdana Menteri ketika itu yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Tun Musa Hitam didakwa bertanggungjawab terhadap operasi tersebut.

Keengganan penduduk kampung menyerahkan Ibrahim Libya, menyebabkan satu pertembungan antara kedua-dua pihak sebelum penceramah itu ditembak mati.

Kesemua mereka yang meninggal dunia dikebumikan dalam satu liang lahad serta dikendalikan sebagai orang yang syahid.

Tragedi itu kekal menjadi titik hitam dalam sejarah negara.

Sementara itu, Musa Hitam dalam sebuah rancangan bual bicara, Obviously Harith Iskander (OHI) menafikannya.

Beliau berkata penat menanggung beban sejarah menjadi kambing hitam dalam peristiwa tersebut.

[ARTIKEL BERKAITAN: Musa Hitam sudah letih jadi kambing hitam Memali]

Katanya, beliau dipersalahkan dan dijadikan individu yang bertanggungjawab ke atas peristiwa berdarah berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan, tragedi malang itu menjadi titik tolak kepada parti Islam itu untuk konsisten tidak akan menyertai parti pemerintah kerana kes itu tidak diadili di mahkamah, malah keluarga mangsa tidak mendapat pembelaan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas kekal jadi pembangkang kerana Peristiwa Memali]

Tunggu masa, muzik video 'I am Me': Dr Vida



Datuk Seri Vida
 

SIAPA lah yang tidak tahu lagu 'I am Me', nyanyian Datuk Seri Vida (DSV) yang kini banyak meniti di bibir rakyat Malaysia tidak mengikut kiraan umur.

Terbaru, DSV memuat naik foto di laman Instagram miliknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang sentiasa memberikan sokongan terhadap dirinya.

"Ooo...sayang, terima kasih sokong lagu saya, empat minggu dah enam juta tontonan.

"Sayang, bagi saya masa berkarya nak buat yang terbaik untuk muzik video ya, kena sentiasa hits lagu ini deh," tulisnya.

Terdahulu, usaha DSV untuk tampil menyanyi ternyata tidak sia-sia, apabila bakat nyanyiannya berjaya menarik perhatian netizen.

[ARTIKEL BERKAITAN: Lagu nyanyian Datuk Vida 'berhantu'...]

Mana tidaknya lagu nyanyiannya yang berjudul 'I Am Me' ternyata 'mencuit' hati netizen malah kini mula kecoh dikatakan lagunya 'berhantu'.

Bank Negara keluarkan duit syiling KL2017

 BERNAMA

Bank Negara KL2017


Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Para Aseanke-9.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan berkata duit syiling peringatan itu dikeluarkan dalam dua spesifikasi iaitu syiling perak berwarna (pruf) dan syiling emas Nordic.

Katanya, duit syiling pruf diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 seberat 31.10 gram setiap keping, bernilai muka RM10 dan dijual pada harga RM230 sekeping manakala nilai muka duit syiling emas Nordic adalah RM1 dengan harga jualan RM10 sekeping.

Hanya 700 keping duit syiling peringatan perak berwarna dan 13,000 keping duit syiling peringatan emas Nordic ditempa,

katanya pada majlis pelancaran duit syiling tersebut di Wisma Radio RTM hari ini.

 Turut hadir pada majlis pelancaran itu, Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid, Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) Datuk Seri Zolkples Embong dan Ketua Pengarah Penyiaran. Datuk Abu Bakar Ab Rahim.

Saravanan berkata duit syiling tersebut juga boleh didapati dalam set dua dalam satu yang akan dijual pada harga RM280 setiap set dan hanya 1,300 set sahaja disediakan.

Sementara itu, Adnan Zaylani berkata contoh duit syiling itu akan dipamerkan kepada orang ramai mulai Isnin ini di pejabat BNM di sini, Pulau Pinang, Johor Bahru, Johor; Kota Kinabalu, Sabah; Kuching, Sarawak dan Kuala Terengganu, Terengganu.

Jualan duit syiling ini akan bermula pada 29 Ogos. Maklumat lanjut mengenai jualan duit syiling akan diumumkan kepada orang ramai melalui siaran akhbar sebelum tarikh jualan,katanya.

Duit syiling rekaan staf BNM, Nurul Iman Azwan itu mempamerkan maskot rasmi temasya tersebut iaitu Rimau pada bahagian hadapan selain perkataan 'Sukan SEA ke-29' dan 'Sukan Para Asean ke-9  tertera pada keliling bahagian atas serta bawah duit syiling.

Tema temasya sukan berkenaan iaitu 'Bangkit Bersama' turut diletakkan pada bahagian hadapan duit syiling tersebut.

Bahagian belakang duit syiling itu pula memaparkan perkataan 'Bank Negara Malaysia' pada bahagian atas duit syiling dan nilai muka tertera pada bahagian bawah, manakala bahagian tengah duit syiling menunjukkan logo rasmi temasya sukan itu iaitu Wau Bulan.

Pengerusi Hindraf diserang, diberi amaran jangan kritik kerajaan

 
P. Waythamoorthy percaya serangan itu ada kaitan dengan sokongannya kepada pembangkang.


waytha-1


SEREMBAN: Dua lelaki tidak dikenali hari ini menyerang pengerusi kumpulan hak asasi Hindraf, P. Waythamoorthy di pejabatnya di sini.

Mereka turut mengugut aktivis itu dengan pisau di lehernya, sebelum menumbuk beliau, sambil memberi amaran supaya berhenti mengkritik kerajaan.

Kejadian berlaku kira-kira 3.50 petang tadi dan turut disaksikan isteri Waytha Kedua-dua lelaki tiba di pejabatnya.

“Isteri Waytha merayu lelaki itu tidak mengapa-apakannya tetapi turut diserang manakala rantai emas dan telefon bimbitnya dirampas,” kata peguam Hindraf, Karthigesan Shanmugam kepada FMT.
waytha-3

Menurutnya, penyerang turut melepaskan sejenis cecair yang mengeluarkan bau kuat di ruang pejabatnya.

Waytha percaya serangan hari ini mungkin ada kaitan dengan pendiriannya untuk menyokong pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

“Beliau sekeluarga masih terkejut dengan kejadian itu,” kata Karthigesan.

waytha-4

Harga petrol naik 4 minggu berturut-turut

MALASIAKINI



Harga runcit minyak petrol naik untuk empat minggu berturut-turut.

Bermula jam 12.01 tengah malam ini, RON95 akan dijual pada harga RM2.15 seliter (naik 3sen) manakala RON97 pula akan dijual dengan harga RM2.43 (naik 4sen).

Trend menaik itu dilihat sejak tujuh minggu lalu apabila hanya sekali (20 Julai) harga untuk ketiga-tiga bahan bakar itu kekal.

Harga diesel pula bagaimanapun turun 2sen dan akan dijual pada harga RM2.06 seliter.
Harga minyak diumumkan setiap Rabu.

Harga jualan runcit petrol dan diesel kini ditetapkan secara mingguan berdasarkan kedudukan harga Means of Platts Singapore (Mops) serta kekukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat pada minggu terdahulu.

Mekanisme baru ini diperkenalkan pada April lalu.

KPN: Penganjur Nothing To Hide 2.0 akan dikenakan tindakan

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata penganjur program Nothing To Hide 2.0 akan dikenakan tindakan ekoran gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
 
Bercakap kepada pemberita hari ini, tambah Khalid, penganjur tidak boleh lepas tangan dengan menyalahkan pihak lain atas insiden kekecohan yang berlaku sewaktu program itu berlangsung Ahad lalu.
 
"Mereka mahu salahkan parti politik lain itu kita tidak mahu masuk campur, namun apabila mereka menyalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu tidak masuk akal.
 
"Peguam mereka yang bijak pandai ramai, bacalah semula semua 10 syarat di bawah Seksyen 25 APA 2012, sekarang sudah jadi masalah seperti ini, mereka jangan mereka boleh terlepas," katanya dalam sidang akhbar di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman di sini hari ini.
 
Ahad lalu, program Nothing To Hide 2.0 anjuran Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dicemari dengan insiden balingan mercun suar dan kerusi yang dituju kepada Pengerusi parti itu Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang, sewaktu Dr Mahathir sedang menjawab soalan daripada penonton berkenaan tragedi Memali yang berlaku di Baling, Kedah pada tahun 1985.
 
Tiga remaja berusia 17 hingga 19 tahun ditahan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis sejurus kekecohan tercetus.
 
Khalid dalam pada itu turut mengesahkan tangkapan berhubung kekecohan berkenaan setakat ini adalah 13 orang. 


Terbongkar Armada Sendiri Jadi Dalang Kecoh Forum







KANTOI… Setelah berjaya hasut netizen dengan tohmahan konon UMNO sebagai punca kekecohan program Nothing To Hide 2, akhirnya kebenaran insiden ‘panas’ itu mula terbongkar satu persatu.

Terkini, beberapa pengguna Facebook mula mendedahkan bagaimana aksi bersahaja Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memulakan ‘drama’ kekecohan pada hari kejadian tersebut.

Lebih lucu, tindakan mereka itu nyata membongkar wajah ‘keganasan’ sebenar Armada cuba sabotaj forum disertai pengerusi parti tersebut sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, pada Ahad lalu.

Beberapa rakaman video amatur itu sekali gus membuktikan dengan jelas penglibatan ahli Armada selain pengawal keselamatan yang diupah sayap pemuda parti cap bunga raya tersebut sebagai dalang pencetus kekecohan tersebut.

Rakaman menunjukkan seorang lelaki berkaca mata hitam, seorang pengawal dan seorang lagi lelaki yang berbaju hitam berambut panjang membaling kerusi kepada bekas Exco Armada, Mohamad Taufik Abas di depan mereka.

Insiden itu jelas menampakkan lelaki berkenaan melompat sambil membaling kerusi kepada Taufik yang sedang bertanyakan soalan berkaitan tragedi berdarah Memali sebelum Mahathir ‘pusing’ kepada cerita lain tiada kaitan.

Ia sekali gus mengesahkan dakwaan Taufik adalah benar bahawa kerusi tersebut memang sengaja ditujukan kepada dirinya sebelum disusuli kerusi, kasut, selipar, botol dan segala objek melayang berterbangan dalam dewan itu.

Manakala ada netizen berkongsi video yang memaparkan suspek dalang itu berlari ke luar dewan dengan dilindungi beberapa ahli Armada dan kemudian mereka menutup pintu untuk menghalang si pencetus kecoh tersebut dicekup.

Sebelum itu, beberapa netizen mendakwa Armada PPBM di bilik urus setia yang berada di tingkat atas dewan berkenaan yang disaksikan sengaja mencampakkan kerusi dari situ kepada penonton di bahagian aras bawah.

Kini timbul persoalan cepumas, siapakah pula tiga budak remaja yang pihak Armada tangkap selepas kekecohan itu? Adakah ia hanya gimik walhal suspek sebenar adalah anggota team mereka sendiri? – Mynewshub.cc/HAA

LIHAT VIDEO DI SINI

Akhirnya perjuangan kami di Pandan jadi kenyataan

Datuk Iskandar Abdul Samad

 
 
AKHIRNYA perjuangan kami di Pandan menjadi kenyataan apabila projek Maahad Integrasi Tahfiz Sains & Teknologi (MITS), Pandan Indah ditender di akhbar-akhbar Isnin lepas.
 
Perjuangan selama lebih 5 tahun akhirnya membuahkan hasil.
 
Berpuluh mesyuarat dan perbincangan tidak sia-sia kerana insya-Allah pada bulan Januari 2020 MITS ini akan menerima kumpulan pertama pelajarnya.
 
Terima kasih kepada semua pihak di atas pertolongan, sokongan dan galakan.
 
MITS ini cukup bermakna kerana ianya satu-satunya MITS yang terletak di tengah-tengah pusat bandar.
 
YB Dato' Iskandar A Samad
Exco Kerajaan Negeri Selangor / Ahli Dewan Negeri Chempaka
pandan1

ISA Samad, SPRM tak takut jerung

SUBKY LATIF


PENAHANAN atas Pengerusi SPAD Tan Sri Isa Samad oleh SPRM bukanlah satu berita yang patut digembirakan termasuk SPRM sendiri. Ia satu tindakan berat yang melibatkan orang kenamaan, yang semua patut muram.
Dia ditahan kerana dikatakan ada peranan dalam pembelian hotel di England dan Kuching dengan harga yang tinggi, lebih daripada harga sepatutnya semasa menjadi Pengurusi Felda Global Ventures dulu.   
SPRM pun bukanlah suka sangat menangkap orang besar, tapi demi tugas, negara dan profesionalnya. Sekalipun ia berita muram, tapi orang boleh berbangga pada SPRM zaman ini kerana berani menangkap jerung, sama seperti masa Tun Dr. Ismail jadi Timbalan Perdana Menteri dulu.
Selepas itu persepsi semua SPRM atas apa jua nama pada agensi pencegah rasuah itu adalah untuk ikan bilis saja. Di tengah gawat isu 1MDB, ada kecenderungan SPRM merdekakan jerung asal bukan mengaitkan 1MDB. Dengan tindakan atas Isa Samad itu SPRM buktikan ia tak  takut  pada jerung.
Jerung itu banyak. Banyak juga berstatus jerung sudah direman. Ini boleh dikira SPRM sudah lepas dari fobia cuak jerung.
Jerung pun ada rajanya. Dan rajanya pun banyak. Raja jerung saja yang belum diambil SPRM. Apabila sampai ketika raja jerung juga berani diambil, maka barulah SPRM benar-benar merdeka, bukan lagi seperti yang terdapat di dunia ketiga.
Apapun TS Isa baru ditahan dan pertuduhannya akan kita ketahui. Seperti biasa ke mahkamah dulu dengan pakaian lokap untuk direman hinggalah dibicarakan.
Orang yang dituduh belum dikira orang bersalah. Dia masih orang tidak bersalah hinggalah mahkamah membukitkan bersalah. Maka wajarlah semua menghormati sistem mahkamah kita, tidak beranggapan  tidak baik terhadapnya hingga mahkamah membuat keputusan. Bagi sekalian yang terharu, pasanglah harapan supaya dia dibebaskan kerana banyak juga kes yang dituduh dibebaskan. 

Apapun Isa bukan kali pertama dihadapkan kes rasuah. Dia pernah didapati bersalah oleh jawatankuasa disiplin Umno kerana rasuah politik dan telah dihukum. Kerana jawatankuasa disiplin Umno bukan mahkamah, Isa tidak dilihat jenayah. Ia tidak jenayah dan ia boleh pegang jawatan awa

Pada moralnya, baik ia diputuskan oleh mahkamah atau apa institusi jua, yang tidak bermaruah itu adalah sama tidak bermoral juga.
    
Jika kerajaan kita adalah bermaruah baik politik dan integritinya, maka Isa patut dijauhkan daripada mana-mana badan awam. Tetapi pengaruh masyarakat kita yang merosot maruahnya, tidak mengambil kira berwaspada atas persoalan maruah.
    
Berwaspada kepada orang yang ada rekod moral, bukanlah seolah-olah tiada peluang kedua baginya, tetapi bagi berwaspada tidak berulang perkara maruah itu dan kerajaan dan sektor awam. Risiko sentiasa ada, anjing yang tidak makan tahi, tapi apabila jumpa tahi ia hidu juga.
   
Jika dia dibiarkan menjalani hidupnya sendiri sebagai orang awam, bukan pemegang jawatan awam barang kali dia tidak terdedah dengan godaan dan fitnah.
    
Pengalaman huduh pertama seseorang kebarangkalian atas kelamahannya, tetapi apabila berulang kelemahan, ia tidak lagi kelemahan dia saja, orang yang mendedahkannya kepada godaan dan fitnah, lebih berhak disalahkan.
    
Rakan-rakan Isa tidak belajar daripada kesilapan Isa dulu, boleh dikira menyusahkan lagi kehidupan Isa dan keluarganya. Jangan tuding Isa saja, tetapi siapa yang merosakkannya? Sistem di sekelilingnya. – HARAKAHDAILY

Hampir 5 juta pelancong sudah melawat Klang tahun ini

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG


KLANG: Bandar DiRaja Klang, bandar yang pernah menjadi ibu negeri Selangor suatu ketika dulu, kini menjadi destinasi pelancongan terpenting di Selangor ekoran jumlah pengunjung semakin meningkat saban tahun.

Bandar yang sarat dengan peninggalan sejarah itu juga diwartakan sebagai Tahun Melawat Klang tahun ini.

Yang DiPertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, setakat Julai lalu, hampir lima juta pengunjung direkodkan hadir ke daerah itu sempena Tahun Melawat Klang 2017.

Katanya, Heritage Walk, Muzium Diraja dan Guan Yin Temple merupakan antara tarikan yang menyumbang kepada pertambahan pelancong.

SUNGAI KLANG

“Mengikut data yang direkodkan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz mencatatkan 5,600 pengunjung; rangkaian gedung perniagaan borong GM Klang, seramai 1.3 juta dan Bousted Cruise Centre, seramai 130,000.

“Manakala, Pulau Ketam mencatatkan seramai 2 juta pengunjung; City Heritage Tour sebanyak 1.3 juta dan Istana Alam Shah seramai 3,500 pengunjung,” katanya kepada SelangorKini.

Yasid berkata, pencapaian Tahun Melawat Klang 2017 itu disifatkan berjaya dilaksanakan ekoran jumlah kedatangan pengunjung mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum ini.

“Setakat ini, pencapaian kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Klang 2017 amat memberangsangkan. Kita juga menubuhkan satu pasukan iaitu Ahli Jawatankuasa Kecil Pelancongan bagi membantu menjana lagi kedatangan orang luar ke sini,” katanya.

Terdahulu, Yasid memaklumkan peningkatan tahap kebersihan dan hasil pemuliharaan Sungai Klang juga memainkan peranan terpenting dalam usaha mempromosikan Klang sebagai produk pelancongan.

Katanya, kedatangan pelancong meningkat apabila Klang kini menawarkan suasana lebih menarik dan bersih termasuk Sungai Klang sendiri.

Sungai Klang 2

Antara aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ialah Royal Klang Town Heritage Walk, Jom Berkelah, ‘We Love Klang Treasure Hunt’, lawatan ke Pulau Ketam, pertandingan memancing selak tirai, Klang Arts Festival, pertandingan fotografi Jambatan Kota, kayuhan basikal klasik dan ‘We Love Klang Food Festival’.

Antara lain produk pelancongan yang menarik di Bandar Diraja Klang ialah Istana Alam Shah, Galeri Diraja, Pusat Pemborong Terbesar di Asia Tenggara GM Klang, Royal Klang Heritage Walk dan Boustead Cruise Centre.

Pada 2015, daerah itu menerima lebih 5.2 juta pengunjung di tujuh lokasi menarik di Klang manakala ia meningkat kepada 7.9 juta pengunjung pada 2016.=EZY=


Negeri lain contohi Selangor urus loji rawatan air

OLEH ERMIZI MUHAMAD

LRA Labohan Dagang


KUALA LANGAT: Selangor menjadi contoh terbaik dalam menguruskan sistem loji rawatan air negeri dengan memperkenalkan inisiatif Off River Storage sebagai kaedah menangani pencemaran air tadahan di loji rawatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Selangor (JPK-SAS), Ng Sze Han berkata, beberapa negeri di peringkat Persekutuan mula mengaplikasikan kaedah sama sebagaimana dilaksanakan di negeri ini.

“Saya dimaklumkan negeri lain telah menghubungi konsultan dilantik Kerajaan Selangor untuk laksanakan kaedah ini bagi projek loji rawatan air negeri mereka.

“Ini membuktikan bahawa Selangor menjadi sebuah negeri Smart Selangor seiring gagasan Smart State dengan mendahului negeri-negeri lain,” katanya.

LRA Labohan Dagang

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan tinjauan ke tapak lokasi pembangunan Loji Rawatan Labohan Dagang, di sini pagi ini.

Hadir sama, Panel Jawatankuasa JPK-SAS dianggotai Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, Rajiv Risyakaran; Ahli Dewan Negeri Ijok, Dr Idris Ahmad dan Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin.

Kaedah Off River Storage (ORS) sebelum ini dibangunkan bagi menghubungkan aliran air dari Sungai Langat ke Kolam Pra-Rawatan.

LRA Pelabohan Dagang

Sze Han berkata, pendekatan itu juga tidak memerlukan operasi loji rawatan ditutup sekiranya berlaku pencemaran di aliran Sungai Langat dengan bekalan air sedia ada dapat menampung kapasiti air untuk tempoh tiga bulan.

“Saya yakin pembangunan projek ini dapat mengatasi masalah kekurangan air terawat khususnya di kawasan Selatan Selangor.

“Jika projek ini siap, loji ini akan menampung seluruh kawasan Kuala Langat dan Semenyih tidak lagi tertumpu di kawasan ini sebaliknya fokus kepada kawasan lain seperti Bangi dan Puchong,” katanya.=EZY=

Projek Terusan Segenting Kra RM120 bilion ancam kestabilan ASEAN?

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

Segenting Kra1


GLOBAL: Bakal cetus konflik jejas kestabilan ASEAN. Itu persepsi awal apabila cadangan Projek Pembinaan Terusan Segenting Kra sepanjang 135 kilometer (km) bernilai AS$28 bilion (RM120 bilion) dihidupkan semula.

Nikkei Asian Review pada 7 Ogos lalu melaporkan beberapa individu berpengaruh Thailand termasuk ahli politik, pesara tentera berpangkat tinggi, pakar akademik dan ahli perniagaan yang mempunyai hubungan rapat dengan China sedang memujuk Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chanocha untuk meneruskan projek berkenaan.

Rancangan dicadang sekumpulan jeneral dan ahli perniagaan Thailand itu adalah salah satu mega projek infrastruktur paling bercita-cita tinggi dan transformasi besar di Asia – pembinaan terusan perkapalan sepanjang 135 kilometer untuk menghubungkan lautan Pasifik dan India.

Menurut pakar, jika Prayuth bersetuju meneruskan kajian laluan itu, pembinaan terusan berukuran 450 meter lebar dengan kedalaman 26 meter itu mampu dilalui oleh kapal kontena minyak terbesar dunia dan kapal kontena lain dalam tempoh lima tahun akan datang.

Projek tersebut akan membelah bahagian selatan Thailand iaitu kira-kira 800 kilometer di selatan Bangkok dan kira-kira 200 kilometer di sempadan Thailand dengan Malaysia.
Cadangan Terusan Segenting Kra muncul lagi, ancaman Selat Melaka?
Apabila siap ia bakal menghubungkan Teluk Thailand dengan Laut Andaman pada anggaran latitud sama dengan pulau Phuket.

Terusan itu merupakan laluan pintas dari Selat Melaka yang menghubungkan China, Japan dan negara-negara Asia Timur lain selain perdagangan minyak negara Asia Barat serta negara pasaran utama Eropah, Afrika dan India.

Jarak perjalanan bagi kapal yang melalui Laut Pasifik dan Laut Hindi mampu dipendekkan sekurang-kurangnya 1,200 km atau tiga hari pelayaran jika melalui terusan berkenaan.

Di manakah lokasi Segenting Kra?

Segenting Kra merupakan bahagian genting dan sempit di selatan Thailand dan di utara Semenanjung Tanah Melayu. Bahagian barat Segenting Kra menjadi milik Myanmar.

Bahagian timur menjadi milik negara Thailand. Segenting Kra menghadap Laut Andaman dan Lautan Hindi. Pantainya menerima kesan yang teruk akibat dari tsunami Acheh pada 26 Disember 2006.

Muara Sungai Kra menjadi daratan paling sempit dengan lebar 44 kilometer. Tingginya 75 meter dari aras laut. Bandar utama ialah Kra Buri dalam wilayah Ranong, Thailand.

Segenting Kra12

Segenting Kra adalah sebahagian dari rantaian gunung yang menganjur dari Tibet. Selatannya digelar rantaian kepulauan Phuket. Bahagian utara ialah Banjaran Tenasserim sepanjang 400 km dan dikenali sebagai “Banjaran Tiga Pagoda”.

Cadangan pembinaan bermula lebih 340 tahun lalu
 
Sejak tahun 1677 lagi iaitu ketika era pemerintahan Raja Narai, beberapa pihak mencadangkan agar satu terusan dibina di Segenting Kra, yang terletak di selatan Thailand, tetapi langkah untuk menghubungkan Lautan Hindi dan Laut China Selatan melalui terusan itu masih belum menjadi kenyataan hingga kini.

Rancangan ini menemui jalan buntu kerana kerajaan Siam tidak memiliki dana untuk menampung kos pembinaannya serta tiada kepakaran teknologi untuk meneruskan projek ini namun tidak pernah dibatalkan.

Apabila British bertapak di Singapura pada 1819, pulau itu ditransformasikan daripada sebuah kampung nelayan kepada pelabuhan utama di rantau Asia. Oleh itu, British tidak pernah bersetuju dengan projek terusan itu khuatir pangkalan maritim mereka di Singapura terjejas.

Siam yang menjadi negara boneka Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua, dianggap musuh British dan pihak tentera Berikat. Apabila Jepun menyerah kalah pada 1945, kerajaan Siam terpaksa menandatangani perjanjian dengan pihak British untuk menamatkan status perang di antara kedua-dua negara.

Artikel 7 Perjanjian ini mencegah Siam daripada menggali terusan menembusi wilayahnya untuk menghubungkan Laut Andaman dengan Telukan Siam bagi melindungi kepentingan British di Singapura. Perjanjian ini dibatalkan pada 1954.

Selat Melaka antara laluan terpenting laut dunia
 
Menurut analisis angka STRAITREP Jabatan Laut Malaysia oleh Nippon Maritime Centre (NMC), yang disediakan secara eksklusif untuk Seatrade Maritime News menyatakan lalu lintas di lorong perkapalan tersibuk di dunia – Selat Melaka dan Singapura (SOMS) – naik 3.4 peratus ke tahap tertinggi dengan 83,740 transit pada 2016 lalu.

Jumlah purata pemindahan harian yang dilaporkan kepada Port Klang VTS di Malaysia pada 2016 adalah 229, naik tujuh dari 2015, dan dibandingkan dengan 201 pada tahun 2011.

Jumlah Aliran trafik laut

Memimpin pertumbuhan jumlah transit dalam peratusan pada 2016 adalah VLCC dengan 5,973 transit di Selat, peningkatan sebanyak 649 atau 12.19 peratus lebih 5,324 transit oleh kapal tangki lebih daripada 150,000 dwt pada tahun sebelumnya. Ini jauh melebihi purata pertumbuhan tahunan 4.8 peratus dalam transit VLCC yang dilihat sejak 2007.

Sebagai keseluruhan akaun VLCC adalah enam peratus daripada semua transit Selat.

VLCC yang dimeterai menuju ke Singapura dan Timur Laut Asia mengangkut lorong laut dalam yang hanya 1.3 km lebarnya di “Pos” di Selat Melaka Satu Fathom di Selat Melaka, dan hanya selebar 800 meter di satu saluran di Selat Philip di Selat Singapura, jika pelayaran Timur ke luar Singapura.

RUJUK: http://www.seatrade-maritime.com/news/asia/malacca-and-s-pore-strait-traffic-hits-new-high-in-2016-vlccs-fastest-growing-segment.html

Kekuatan ekonomi Singapura ‘kiamat’

Antara negara yang paling menerima kesan pelaksanaan projek Segenting Kra adalah negara berasaskan sumber terbesarnya kepada aktiviti pelabuhan dan perkapalan. Dalam hal ini Singapura dilihat antara negara yang paling terkesan.

Setakat 2013, Singapura diiktiraf sebagai pelabuhan tersibuk di dunia. Menurut sumber Institut Maritim Malaysia (MIMA), lebih kurang 75 peratus kapal dagang yang menelusuri Selat Melaka tidak berlabuh di pelabuhan Malaysia. Kebanyakannya akan berhenti di Singapura atau meneruskan pelayaran ke destinasi terakhir.

peta-singapura

Ekoran kekuatan dan kemakmuran ekonomi Singapura banyak bergantung kepada industri perkapalan, diandaikan terusan Segenting Kra ini bakal memberi implikasi buruk kepada Singapura di masa hadapan.
 
Apa masalahnya laluan di Selat Melaka kelak?

Pada tahun 2025, dianggarkan 122,500 kapal dijangka melalui Selat Melaka. Institut Pengangkutan Antarabangsa Jepun (JITI) menganggarkan bahawa terdapat 140,000 kapal pada 2020.

Menurut pengiraan yang dibuat oleh HM Ibrahim dan Mansoureh Institut Maritim Malaysia (MIMA), Selat Melaka dapat menampung 122,640 kapal setiap tahun [ Kadar tamat pada (TFR = 0.27 = 7vessel / jam cc = 7 x 24 x 365 x 2 = 122,640)] (9).

Menjelang 2024, laluan Selat Melaka akan lebih padat. Ia tidak akan dapat memastikan laluan yang tepat untuk kapal laut dan tidak menjamin laluan selamat mereka.

Kapal-kapal itu tidak mempunyai pilihan lain selain memilih laluan alternatif yang lebih lama melalui Selat Sunda dan Selat Lombok.

Walau bagaimanapun, dianggarkan bahawa kos navigasi di antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik pasti akan meningkat.

Maka dengan jangkaan Selat Melaka bakal menjadi laluan laut sesak akan datang ia meningkatkan risiko kemalangan kapal dan tumpahan minyak. Oleh itu alternatif laluan laut baharu perlu diwujudkan.

RUJUKAN: http://kracanal-maritimesilkroad.com/en/story/the-malacca-straits/
Malahan isu lanun di Selat Melaka serta kejadian tumpahan minyak menjadi ancaman kelestarian hidupan laut disebabkan kesesakan di Selat Melaka yang pada masa sama menjadi tumpuan industri perikanan dan nelayan di Malaysia dan Indonesia.

Jadikan Segenting Kra projek kerjasama ASEAN

Dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$ 2.6 trilion, ASEAN merupakan ekonomi keenam terbesar di dunia, dan dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2050, dengan sesetengah pihak menganggarkan bahawa ASEAN mencapai kedudukan itu menjelang 2030.

ASEAN juga meraikan ulang tahun ke-50 pada 2017. Atas semangat ini maka adalah wajar projek terusan Segenting Kra ini menjadi projek ASEAN dengan dana pelaburan dibiayai daripada negara ASEAN seperti Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand serta negara ASEAN lain yang berminat.

ASEAN

Dengan sumber dana kewangan daripada ASEAN maka kemakmuran ekonomi dapat dinikmati bersama secara menang-menang semua negara ASEAN tanpa melibatkan campur tangan kuasa besar dunia yang dibimbangi mempunyai agenda perluasan kuasa dan pengaruh tersendiri.

Melalui terusan ini negara penyumbang dana boleh memperolehi keuntungan berdasarkan nilai sumbangan dana melalui cukai dan tol dikenakan terhadap kapal yang melalui terusan Segenting Kra serta pembangunan wilayah setempat.

Adalah sangat penting semangat ASEAN diterapkan dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa melalui pelbagai projek memakmurkan ASEAN secara bersama.

KESIMPULAN

Tiada gunanya jika isu Segenting Kra ini hanya merenggangkan keutuhan dan keakraban negara ASEAN. Adalah penting kemakmuran ekonomi dan pembangunan ASEAN dapat dinikmati semua demi generasi masa hadapan.

Kita perlu meninggalkan legasi kemakmuran ekonomi dan kehidupan lebih baik untuk generasi ASEAN masa hadapan bukannya menambah konflik dan pertikaian yang hanya memusnahkan kasih sayang dan persaudaraan sesama manusia demi kesejahteraan lebih 630 juta rakyat ASEAN

'Harta Isa Samad belum disita' - Azam Baki

Muhafandi Muhamad, Astro Awani
'Harta Isa Samad belum disita' - Azam Baki
- Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk prosiding reman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan beberapa kes. - FotoBERNAMA
 
 
KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum lagi menyita sebarang aset milik bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad susulan serbuan di kediamannya malam tadi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Azam Baki berkata, SPRM masih menunggu hasil siasatan dan keterangan sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

“Itu pun belum ditentukan bergantung kepada keterangan dan keputusan selepas perbincangan di buat saya perlu laporan lanjut dari pegawai penyiasat dan kita akan tentukan aset nak dibekukan atau
bagaimana,” kata Mohd Azam.

Beliau ditemui selepas majlis ikrar bebas rasuah Menteri Besar Kelantan dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di sini hari ini.
–– ADVERTISEMENT ––
Namun demikian, Mohd Azam tidak dapat memberi jaminan sama ada terdapat tangkapan lagi selepas ini.

Siasatan melibatkan isu pembelian dua buah hotel oleh Felda Investment Corp Sdn Bhd (FIC) dimulai sejak dua bulan dengan hampir 40 keterangan sudah diambil setakat ini.

Mohd Isa dikenakan perintah tahan reman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel oleh FIC.

BACA: SPRM periksa rumah Isa Samad di Selangor

BACA: Isa Samad direman lima hari dalam isu pembelian hotel oleh FIC


BACA: Isa Samad dibawa ke mahkamah untuk reman

Perintah reman dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Datuk Zainal Abidin Kamaruddin.

Mohd Isa ditahan ketika hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada jam 2.40 petang
bagi membantu pembelian dua hotel oleh FIC antara tahun 2014 dan 2015.

Mohd Azam juga tidak mendedahkan nama dan kaitan ahli keluarga Mohd Isa dalam siasatan yang sedang dijalankan.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai rayuan berhubung pembatalan reman ke atas Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh bersama pengarah dan pengurus kilang haram, Mohd Azam menjelaskan SPRM kekurangan bukti berikutan pelepasan ketiga-tiga individu terlibat.

“Saya jangka tiada tangkapan lagi kerana kita dah tangkap tiga orang namun setakat ini kami kekurangan bukti yang jelas akibat pelepasan mereka namun MACC akan menjalankan siasatan untuk melengkapkan siasatan dan kita akan appeal (rayu) bergantung kepada DPP,” katanya.

Katanya, Pejabat Peguam Negara bersetuju untuk menfaikan rayuan terhadap keputusan sama ada esok atau lusa. 
 
 

Pengurus DBKL, tujuh kotraktor ditahan disyaki terlibat rasuah


ISMA WEB
 



KUALA LUMPUR– Seorang Pengurus Perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan tujuh kontraktor ditahan kerana didakwa terlibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan kontrak pembersihan.

Kesemua suspek termasuk tiga wanita berusia antara 37 dan 61 tahun ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, dalam operasi di beberapa lokasi dari jam 3 petang hingga 6 petang, semalam.

Difahamkan, pengurus kanan DBKL berkenaan dipercayai meminta dan menerima rasuah secara bulanan daripada kontraktor terbabit sejak 2014 hingga tahun ini.

Pengarah SPRM, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah mengesahkan penahanan kesemua suspek berkenaan.

Beliau turut mengesahkan perintah reman selama lima hari terhadap enam suspek mulai hari ini untuk membantu siasatan, manakala seorang kontraktor perempuan dibebaskan dengan ikat jamin selepas kenyataannya direkodkan, semalam.

“Kita telah menjalankan siasatan dan mempercayai bahawa terdapat unsur-unsur rasuah dalam kes ini,” katanya.


Syed Azman tak patut ingkar dan langgar arahan PAS tak terlibat dengan Amanah, kata Che Abdullah

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi menyertai program anjuran Pakatan Harapan terutama Parti Amanah Negara (Amanah) melanggar disiplin PAS, kata Setiausaha PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi.
 
Beliau menegaskan supaya semua ahli PAS mematuhi ketetapan parti berkenaan untuk tidak menyertai mana-mana program anjuran Amanah.
 
"Keputusan ataupun arahan yang dibuat oleh parti adalah jelas supaya semua pemimpin PAS tidak terlibat dengan program Amanah.
 
"Sesiapa sahaja tidak semestinya YB Dr Syed Azman yang melanggar arahan parti maka dia sudah dikira melanggar arahan parti," katanya kepada Antarapos.
 
Che Abdullah berkata sebagai ahli parti itu mereka perlu patuh segala ketetapan parti dengan tidak sesekali melanggar arahan untuk menyertai parti yang diasaskan bekas pimpinan PAS itu.
 
"Cuma tinggal lagi parti sama ada nak mendiamkan tidak mengambil tindakan atau nak memberi amaran atau mengambil tindakan terpulang kepada parti dan saya cukup yakin ia dalam perhatian," katanya.
 
Sebelum ini, pimpinan PAS Terengganu mempersoalkan tindakan Syed Azman yang sering dilihat hadir ke program anjuran Pakatan kebelakangan ini. 
 
Tindak-tanduk Syed Azman juga dikritik setelah dianggap mirip dengan tindakan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang turut aktif hadir ke program yang dianjurkan Amanah mahupun Pakatan.
 
Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Husin Awang menganggap tindakan Syed Azman 'berjinak' dengan Amanah tidak akan menjejaskan parti itu sama sekali.
 
Ahli PAS tolak pemimpin tidak setia
 
Mengulas lanjut, Che Abdullah yang juga ADUN Wakaf Baru berkata tindakan disiplin boleh dikenakan terhadap Syed Azman kerana ia jelas menunjukkan perbuatan ingkar dan melanggar disiplin parti.
 
"Maknanya bila melanggar arahan dan melanggar disiplin parti  maka ia terserah kepada keputusan parti sama ada untuk ambil tindakan, memberi amaran dan sebagainya.
 
"Ia terpulang kepada parti atas kebijaksanaan pimpinan dan melihat kepada situasi yang berlaku termasuk melihat untung rugi kepada parti," katanya.
 
Katanya, tindakan Syed Azman itu merupakan contoh yang tidak baik kepada parti kerana menjejaskan imej parti.
 
"Kadang-kadang dengan cara kita biar sahaja ia akan hilang atau hanyut dengan sendiri.
 
"Maknanya rakyat, ahli dan kita boleh lihat daripada pertandingan parti dulu mana-mana ahli yang tidak memberikan kesetiaan kepada parti ditolak oleh perwakilan," katanya.
 
Justeru Che Abdullah berkata anggota PAS akan menilai tindakan Syed Azman yang banyak kali mengingkari arahan parti.
 
"Jadi ahli sedang memerhati walaupun parti tidak mengambil tindakan disiplin tapi ahli sendiri akan mengambil tindakan terhadap pemimpin yang khianat kepada perjuangan," katanya.
 
 

DAPSY kecam polis tak jaga keselamatan ketika Nothing To Hide 2.0

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Sayap pemuda DAP, DAPSY terus menyalahkan pihak polis atas kekecohan yang berlaku di forum 'Nothing To Hide 2.0', meskipun polis menjelaskan ia tidak dijemput ke forum yang berlangsung Ahad lalu.
 
Ketua DAPSY Kebangsaan, Wong Kah Woh berkata demikian selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan pihaknya tidak dijemput untuk mengawal keselamatan.
 
Khalid, menerusi sidang medianya hari ini memberitahu anggotanya hanya berkawal di luar Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam ketika forum berlangsung.
 
"Adalah jelas apabila mana-mana parti politik sama ada daripada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) yang mengadakan program, menjadi tanggungjawab polis untuk menjaga keselamatan dan memastikan keseluruhan program berjalan dengan lancar.
 
"Mereka yang membuat kecoh merupakan pihak yang patut bertanggungjawab. Jangan tuding jari dan cuba mengelak perhatian kepada penganjur sedangkan tidak ada mana-mana penganjur inginkan perkara ini terjadi," katanya di sidang media DAPSY di ibu pejabat DAP, tengah hari tadi.
 
Khalid dalam sidang medianya di Bukit Aman pagi tadi turut menambah, penganjur forum 'Nothing To Hide 2.0' akan dikenakan tindakan ekoran gagal mematuhi peruntukan di bahawa Akta Perhimpunan Awam (APA) 2012.
 
Ujar Khalid, penganjur forum iaitu Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak boleh lepas tangan dengan menyalahkan pihak lain atas insiden kekecohan yang berlaku pada petang Ahad itu.
 
Ahad lalu, program Nothing To Hide 2.0 dicemari dengan insiden balingan mercun suar dan kerusi yang dituju kepada Pengerusi parti itu Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang, sewaktu Dr Mahathir sedang menjawab soalan daripada penonton berkenaan tragedi Memali yang berlaku di Baling, Kedah pada tahun 1985.
 
Sementara itu Ahli Jawatankuasa DAPSY, Dyana Sofya Mohd Daud menafikan kekecohan itu terjadi ekoran sikap dan penjelasan Dr Mahathir yang tidak 'menepati' jawapan yang dikehendaki peserta forum. 
 
"Peserta yang membawa suar ke dalam dewan sebenarnya sudah menunjukkan niat mereka hendak membuat kacau. Apa sahaja jawapan yang diberikan pun mereka memang berniat hendak buat begitu," katanya.
 
Semalam Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang beranggapan kekecohan di forum 'Nothing To Hide 2.0' tercetus kerana penjelasan bekas perdana menteri itu tidak memuaskan hati hadirin.
 
Beliau kemudiannya berterima kasih kepada pihak yang bertanyakan tragedi itu secara terbuka dan menyifatkan Dr Mahathir tidak perlu marah.