Khamis, 20 Julai 2017

Waktu Berkuasa Semua Kebal




Oleh Hj Idris Hj Ahmad

RCI untuk siasat Forex sudah ditubuhkan. Isu yang lama berlalu ketika zaman Tun Mahathir menjadi PM. Kenapa sekarang baru hendak timbul balik? Kalau Tun tidak lawan DS Najib adakah RCI akan ditubuhkan? Kenapa apabila Tun Mahathir tidak berkuasa maka baru hendak ditubuhkan?.

Apakah undang- undang di Malaysia apabila tidak ada kuasa baru boleh ambil tindakan. Apakah ketika ada kuasa maka ia kebal daripada tindakan undang- undang. Boleh bermaharajalela. Ketika ada kuasa semua menikus. Itu pun fasal lawan tauke.

Ini tata kelola yang tidak baik bagi sebuah negara. Rakyat menjadi pertaruhan dan penderitaan akan dialami oleh rakyat marhain. Pemimpin sibuk berpolitiking sehingga kos sara hidup rakyat tidak dipedulikan. Pemimpin boleh bersuka ria mengumpul kekayaan hasil daripada penindasan dan ketirisan sewaktu ada kuasa. Kerana mereka tahu, mereka kebal daripada tindakan.

Mangsanya ialah rakyat dan generasi kanak-kanak yang masih kecil tidak tahu hala tuju mereka.

Apakah RCI mengenai 1MDB akan ditubuhkan apabila DS Najib sudah tidak berkuasa?. Itu pun kalau beliau bangkit melawan orang yang berkuasa pada waktu itu. Apakah corak kepimpinan seperti ini kita hendak bentuk di negara ini?. Amat malang sekali untuk rakyat dan negara.

Apakah jika DS Najib pula bangkit mengkrtik dasar kerajaan pada waktu itu, maka segala kesalahan beliau dilupakan kerana waktu itu beliau bersama bangkit untuk menumbang kepimpinan yang sedia ada. Murahnya nilai politik.

Kepelikan lagi apabila mereka yang pernah meninggalkan legasi yang tidak baik sewaktu berkuasa, tiba-tiba hendak menjadi hero untuk reform di negara ini. Sedangkan siapa tidak kenal Tun Mahathir sewaktu berkuasa 22 tahun.

Segala kesalahan yang dilakukan hanya boleh disucikan apabila boleh sepentas untuk agenda peribadi. Adakah beliau sudah meminta maaf kepada rakyat dan negara selama beliau berkuasa.

Apakah beliau tidak sedar, masalah yang berlaku hari ini adalah hasil "anak susuan" beliau dahulu.
Allah panjangkan umurnya untuk melihat sendiri hasil peninggalan beliau.

Tiada ulasan: