Jumaat, 7 Julai 2017

Wajibkan Syarat Lulus Bahasa Melayu Untuk Semua Bidang Profesion Termasuk Ahli Politik

Muzaffar Syah Mallow

Wajibkan


Dalam usaha untuk memertabatkan bahasa Melayu dalam negara kita, pihak kerajaan harus memastikan subjek bahasa melayu menjadi subjek wajib lulus bukan sahaja dalam bidang perubatan malah untuk semua bidang profesional dalam negara kita seperti bidang guaman, kehakiman, jurutera, arkitek, termasuk dikalangan ahli – ahli politik seperti ahli dewan undangan negeri (ADUN), ahli parlimen serta dikalangan jemaah menteri dan anggota pentadbir.

Sebarang pengecualian tidak seharusnya diberikan serta dilayan terhadap perkara ini. Ini susulan tindakkan yang diambil oleh pihak kabinet yang dipengerusi oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru – baru ini yang membatalkan keputusan Kementerian Kesihatan untuk mengecualikan siswazah perubatan yang mengikuti kursus doktor pelatih di hospital kerajaan daripada syarat lulus subjek Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Keputusan yang diambil oleh kabinet mengenai isu berkenaan adalah wajar serta tepat dalam memastikan Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa rasmi dalam negara kita selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32). Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia jelas memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan dalam negara kita.

Semenjak 1 September 1967 bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 [Akta 32]. Seksyen 2 (2) Akta 32 terbabit menyatakan “Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta ini dan tertakluk kepada perlindungan – perlindungan yang terkandung dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan berhubung dengan mana-mana bahasa lain dan bahasa mana-mana kaum lain di Malaysia bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi”.

Kepentingan penggunaan bahasa melayu untuk maksud atau tujuan rasmi juga turut dijelaskan secara tegas oleh hakim Suffian L.P melalui kes Mahkamah Merdeka University Berhad v Government of Malaysia [1982] 2 MLJ 243.

Semua ini jelas menunjukkan kepada kita perihal mengenai kepentingan penggunaan bahasa Melayu dalam negara kita semenjak sekian lama. Oleh itu, adalah tidak wajar sekiranya terdapat mana – mana pihak yang terus memandang remeh isu penggunaan bahasa kebangsaan berkenaan dalam negara kita.

Usaha untuk memertabatkan bahasa kebangsaan harus diteruskan dalam diluaskan untuk semua bidang profesion dalam negara negara kita termasuk dikalangan ahli politik dan anggota pentadbir bagi memastikan bahasa kebangsaan terbabit terus dihormati, dipelajari dan dihayati serta kekal menjadi bahasa pengantar utama dalam negara kita.

Semua negara dalam dunia ada bahasa kebangsaan mereka masing – masing serta mereka amat menghormati bahasa kebangsaan mereka. Oleh itu adalah penting juga kita untuk terus menggunakan dan menghormati bahasa kebangsaan kita.
 
*Muzaffar Syah Mallow adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 
 
 

Tiada ulasan: