Jumaat, 14 Julai 2017

Usah polemikkan hukuman sebat di Kelantan


Bernama


Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ada pihak yang tidak “berpijak di bumi nyata” seolah-seolah tidak memahami kerangka perundangan negara dengan mendakwa perkara itu akan menggugat kedudukan orang bukan Islam

TUMPAT: Usah wujudkan polemik yang tidak munasabah dan tidak masuk akal berhubung hukuman sebat di tempat umum bagi negeri Kelantan yang terdapat dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Rabu lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ada pihak yang tidak “berpijak di bumi nyata” seolah-seolah tidak memahami kerangka perundangan negara dengan mendakwa perkara itu akan menggugat kedudukan orang bukan Islam.

“Ini hanya berkaitan dengan orang Islam dan hanya dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah dan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Empower ECER (Wilayah Ekonomi Pantai Timur) Tumpat di sini, hari ini.

Rabu lepas, persidangan DUN Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.

Asyraf Wajdi berharap semua pihak menghormati keputusan yang dibuat oleh DUN Kelantan berkaitan hukuman berkenaan kerana ia masih berada dalam ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, mengenai program Empower ECER Tumpat, beliau berkata sejak program tersebut dilaksanakan pada 2015, ia telah membantu melahirkan modal insan yang lebih cemerlang termasuk pelajar sekolah dan usahawan.

Asyraf Wajdi berkata kerajaan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menggandakan usaha bagi membantu rakyat terutama di kawasan luar bandar untuk turut sama menikmati perkembangan sosio ekonomi negara.

Setakat ini seramai 600 pelajar sekolah mengikuti program latihan akademik dan 200 peserta dewasa menyertai program latihan kemahiran dan keusahawanan di jajahan Tumpat.— Bernama

Tiada ulasan: