Jumaat, 14 Julai 2017

Tun M terus serang Najib walau di kandang saksi

Mohd Zaini Samsu Hadi
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir (dua kanan) hadir bagi menjadi saksi pembicaraan kes saman fitnah oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir terhadap Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR
 

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berterusan menyerang Datuk Seri Najib Razak meskipun ketika berada di dalam kandang saksi mahkamah.

Bekas perdana menteri itu ketika memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi di sini mendakwa UMNO kini menjadi parti “kleptokrat dan pencuri” di bawah presiden parti itu sekarang.

Mahathir turut mengakui bahawa beliau kini berusaha mahu menumbangkan Najib.

“UMNO kini menjadi parti kleptokrat yang dituduh mencuri kerana tindakan presidennya. Ini memberi nama buruk kepada Malaysia. Bukan UMNO lama tetapi parti Najib,” dakwanya.
Dr Mahathir menjadi saksi kedua yang dipanggil memberi keterangan hari ini.

Beliau yang kini berusia 92 tahun berkata demikian ketika disoal oleh peguam Datuk Jahabardeen Mohd Yunus, yang mewakili setiuasaha akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

Terdahulu, Jahabardeen menyoal Mahathir sama ada beliau tidak lagi mempedulikan atau mengambil berat tentang parti yang pernah dipimpinnya selama lebih dua dekad itu.

Mahathir hadir ke mahkamah berkenaan hari ini bagi memberi keterangan terhadap pendengaran saman fitnah anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir terhadap Tengku Sariffuddin.

Pada 3 Mei lalu, Mukhriz memfailkan saman fitnah terhadap Tengku Sarifuddin.

Beliau mendakwa, Tengku Sarifuddin mengeluarkan empat kenyataan media berunsur fitnah terhadapnya iaitu pada 15, 20, 23 dan 26 April. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: