Oleh Nur Atiqah Samad
SHAH ALAM: Pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan
Harapan (PH) sekaligus menjadi pemegang kuasa eksekutif, membuktikan
bahawa lantikan itu dipengaruhi DAP.
Dakwaan seorang penganalisis politik berdasarkan kepada penglibatan
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang hanya baru 'setahun jagung'
tetapi telah mendapat kepercayaan mengetuai parti berkenaan.
Tambah Azmi Hasan yang juga merupakan pensyarah Universiti Teknologi
Malaysia (UTM), beliau tidak menolak pengalaman Dr Mahathir dalam
politik negara dimanfaatkan pembangkang dalam menjatuhkan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Pelantikan Dr Mahathir sebagai pengerusi PH, paling menakjubkan mereka
mengatakan bahawa itu keputusan konsensus maksudnya semua kepimpinan
dalam PH bersetuju. Ini agak menakjubkan kerana Dr Mahathir walaupun
dikatakan sebagai ikon politik yang penuh pengalaman tetapi parti
beliau, PPBM tidak mempunyai sejarah kekuatan politik.
"Ini menggambarkan agak terdesak PH untuk menggunakan apa sahaja cara
ataupun faktor untuk menjatuhkan BN atau secara lebih spesifik lagi
untuk jatuhkan PM. Jadi sebab itu mereka dikatakan secara konsensus
bersetuju Dr Mahathir jadi pengerusi," katanya ketika dihubungi
Antarapos.
Semalam, Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar mendakwa Dr Mahathir
mempunyai kuasa eksekutif selepas dilantik menjadi Pengerusi PH, namun
segala keputusan tertakluk kepada konsensus keempat-empat parti komponen
dalam gabungan berkenaan.
Malah katanya, pemilihan itu juga dipersetujui Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata Azmi lagi, adalah tidak mustahil untuk mengatakan bahawa DAP
mempunyai peranan besar dalam menentukan Dr Mahathir untuk mendapat
jawatan tersebut.
"DAP dikatakan paling senior dalam PH, paling banyak kerusi dan besar
kemungkinan apabila dikatakan konsensus DAP juga bersetuju. Dan kalau
kita lihat dari segi strateginya memang mereka mahukan Dr Mahathir
menjadi pengerusi sebab mereka tahu perjalanan karier Dr Mahathir agak
terhad dan senang dipengaruhi DAP.
"Walaupun Dr Mahathir (ada) pengalaman, ikon politiknya begitu besar
tetapi di belakangnya siapa yang dikatakan mencaturkan strategi, itu
dikatakan bahawa semua keputusan PH walaupun dikatakan secara konsensus
tetapi DAP yang memainkan peranan utama untuk tentukan konsensus
dicapai," ujar beliau.
PH pada sidang medianya lewat malam Khamis mengumumkan Dr Mahathir
sebagai Pengerusinya, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan
sebagai Ketua Umum, jawatan sama yang disandang beliau dalam PKR.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula dilantik sebagai presiden PH.
DAP pula hanya diwakili Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng yang dilantik
sebagai timbalan presiden PH, sementara naib presiden DAP dari Sarawak,
Chong Chieng Jen, dinamakan sebagai naib presiden PH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan