Rabu, 19 Julai 2017

Tujuh remaja direman kerana pukul rakan sekolah

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
JOHOR BAHRU: Polis menahan tujuh remaja lelaki kerana terlibat dalam insiden memukul seorang pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Skudai kelmarin.
 
Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata penahanan kesemua suspek berusia antara 14 dan 16 tahun itu dilakukan di beberapa lokasi setelah orang awam memaklumkan kejadian kepada pihak sekolah dan keluarga mangsa.
 
Ujarnya, kejadian pada jam 5.20 petang itu berpunca ekoran rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang melaporkan mereka memanjat pagar sekolah untuk ponteng, kepada guru sekolah.
 
Berikutan itu suspek dan rakannya telah mencederakan mangsa dengan menendang, memijak dan menumbuk muka serta badannya sehingga mangsa cedera pada kepala, lebam pada muka dan bahagian belakang serta luka tangan.
 
Katanya, mangsa yang berusia 13 tahun itu kemudiannya diselamatkan orang awam yang ternampak kejadian itu, sebelum memaklumkannya kepada pihak sekolah dan keluarga mangsa.
 
Kesemua suspek direman hingga 20 Julai ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
 
"Siasatan terperinci dijalankan kerana polis tidak  memberi ruang kepada kemasukan elemen gangsterism menular ke dalam sekolah," katanya dalam satu kenyataan. 


Tiada ulasan: