Khamis, 6 Julai 2017

Tuan Ibrahim jawab serangan Puad

MALAYSIAKINI


Timbalan presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjawab serangan Ketua Pengarah JASA, Datuk Puad Zarkashi, tetapi tidak menyentuh tindakan Puad menggunakan nama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang Puad untuk menyerangnya.

Tuan Ibrahim berkata jika Puad begitu yakin tidak ada salah laku dalam 1MDB, kerajaan perlu mendedahkan laporan audit 1MDB.

"Apakah komen dan kesimpulan utama yang dibuat oleh Ketua Audit Negara mengenai audit 1MDB?

"Apakah laporan audit itu berjaya disiapkan dengan semua dokumen yang lengkap?

"Apakah setiap transaksi kewangan 1MDB ke luar negara dapat diperiksa oleh Jabatan Audit Negara dengan pernyataan bank antarabangsa yang melibatkan 1MDB?" tanya Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan.

Semalam, Puad mensasarkan Tuan Ibrahim kerana mendesak ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai 1MDB, dengan menegaskan bahawa perkara itu hanyalah satu kes campurtangan asing, seperti yang dihujah oleh Hadi.

Jabatan Kehakiman AS percaya AS$4.5 bilion telah disalahgunakan dari 1MDB, sebahagian daripadanya dikatakan dicuci melalui sistem kewangan AS.

Puad juga mempertahankan langkah untuk tidak mendedahkan laporan ketua audit negara mengenai 1MDB, dengan menyatakan bahawa ia telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan dirujuk dalam laporan jawatankuasa itu, yang boleh diperolehi umum.

Laporan PAC telah menyatakan bahawa 1MDB gagal mengemukakan dokumen kepada ketua audit, yang bermakna bahawa sejumlah AS$2.173 bilion pembayaran tidak dapat disahkan.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi juga telah menolak permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi Bantuan Perundangan Bersama untuk mendapatkan dokumen di luar negara untuk penyiasatan SPRM terhadap 1MDB, yang telah diberhentikan.

Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim juga bertanya sama ada PAC dapat mewawancara ahli perniagaan Pulau Pinang Low Taek Jho, yang didakwa oleh DOJ sebagai dalang dalam skandal 1MDB.

"Mengapa sehingga kini kerajaan Malaysia dan perdana menteri sendiri tidak menfailkan saman terhadap Sarawak Report mahupun Wall Street Journal atas fitnah-fitnah terhadap 1MDB sekiranya ia betul fitnah?

"Semua persoalan di atas adalah pertanyaan biasa yang menjadi persoalan di kalangan rakyat," katanya.

Tuan Ibrahim berkata PAS tidak berhasrat utk menuduh sesiapa terlibat, kerana menurutnya, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan ianya bersalah.

Maka, katanya, jawapan bagi persoalan di atas akan menjernihkan keadaan dan kecelaruan umum.

Tiada ulasan: