Isnin, 10 Julai 2017

TMJ seorang raja luar biasa, kata TKM Sarawak

MALAYSIAKINI


Kenyataan terbaru Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meluahkan rasa kecewa dan kehampaan baginda berhubung keadaan yang memalukan dalam negara mendapat sokongan daripada Sarawak.

"Tunku Mahkota Johor (TMJ) melakukan perkara betul dengan meluahkan apa yang baginda fikirkan adalah benar. Baginda mempunyai keberanian untuk membicarakan tentang perkara berhubung kepentingan negara secara berterus-terang," kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Masing.

"Saya menghargai dan mengagumi kebijaksanaan dan keberanian TMJ untuk mengambil pendirian dan bersama di sisi rakyat.

"Tidak mudah bagi kerabat diraja untuk menjadi begitu kritikal terhadap kepimpinan negara. TMJ adalah raja yang luar biasa dalam hal ini.

"Tidak ada yang boleh menyalahkan baginda kerana menyuarakan perasaan dalamannya. Lebih-lebih lagi, apa yang diluahkannya itu adalah mengenai kebenaran," kata Masing kepada Malaysiakini hari ini.

Dalam catatan terbarunya di halaman Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail menyatakan kekesalannya dengan keadaan negara hari ini dengan melontarkan soalan “Apa yang telah berlaku kepada negara yang saya hormati? Sebuah negara yang dahulunya saya bangga untuk memanggilnya sebagai rumah saya."

Antara lain, Tunku Mahkota Johor, 33 menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara di mana rasuah menjadi budaya, di mana media melindungi rasuah dan menjadikan orang yang tidak bersalah sebagai mangsa untuk menjual cerita.

Tunku Ismail juga mendakwa bahawa rakyat yang kurang berpendidikan sentiasa ditipu, dimanipulasi oleh sistem dan diperas manakala orang kaya semakin kaya manakala orang miskin semakin miskin.

Kata baginda, Malaysia kini sebuah tempat di mana rakyat tidak lagi menilai dengan fakta, tetapi menghakimi berdasarkan persepsi tentang apa seseorang memakai atau katakan.

Tiada ulasan: