Selasa, 25 Julai 2017

Tidakkah PAN mempolitikkan agama?

Danial Ariff bin Shaari
 


PADA 5 Jun 2017 yang lalu, saya ada menulis bidasan terhadap Ketua Biro Agama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Wan Ji Wan Hussin apabila beliau mengkritik tindakan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membantah penganjuran upacara ‘Nations of the Golden Gate alligning with Jerusalem’s Jubilee’ di sebuah gereja di Melaka.

Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/photo.php? fbid=10155349629633610&set=a.206039203609.130976.822738609&type=3&theater

Dengan tajuk ‘Membidas Wan Ji Berkenaan Upacara Jerusalem’s Jubilee’, saya mempersoalkan kenyataan Wan Ji yang mendakwa, seperti yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today (FMT) bertarikh 5 Jun 2017 dan sehingga kini tiada penafian oleh beliau sekiranya terdapat penyelewengan kenyataan beliau oleh wartawan FMT, bahawa ‘Sebab PAS adalah parti politik jadi ia akan timbulkan isu-isu yang mendapat simpati rakyat,’ dan menegur PAS bahawa ‘Agama adalah agama, jangan dipolitikkan’.

Saya menimbulkan pertanyaan berbunyi, pertama, adakah sekiranya sesebuah organisasi Islam itu merupakan sebuah parti politik, maka segala isu yang ditimbulkan juga bersifat permainan politik?

Saya turut menyoal ‘jika ya, kedua, bagaimana pula dengan kedudukan Parti Amanah Negara (PAN) sebagai sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam progresif dan harmonis? Adakah segala-gala yang keluar daripada pimpinan dan parti PAN juga merupakan permainan politik?’

Saya juga ada membangkitkan bahawa dakwaan dan cara hujahan Wan Ji ini senada seirama dengan tulisan kolumnis portal liberal pro-DAP The Malaysian Insight (TMI), Hafidz Baharom apabila beliau menulis bahawa “…the outrage over The Star’s front page last weekend was faked for the sake of politics…” dalam cubaan beliau kononnya membela akhbar The Star melalui artikel beliau dengan tajuk ‘Defending The Star’.

Ia adalah satu artikel rentetan daripada kontroversi melibatkan muka hadapan akhbar bercetak The Star edisi hari Sabtu pada 27 Mei 2017 yang memaparkan gambar umat Islam bersembahyang terawih ditempelkan dengan tajuk ‘Malaysian terrorist leader’.

Di dalam tulisan saya, saya turut memetik tulisan Hafidz Baharom yang mendakwa bahawa “…it was engineered in such a way that both sides of the political divide supported it for different means”.

“Both sides of the political divide” bermakna termasuklah PAN kerana PAN melalui sayap Pemuda Amanah Nasional ada mengeluarkan kenyataan media berhubung tajuk ‘Malaysian terrorist leader’ itu menggesa akhbar The Star memohon maaf kepada umat Islam kerana menimbulkan persepsi negatif.

Terkini, Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) telah membuat satu kenyataan berhubung sebuah lagu bertajuk ‘Despacito’ dan mendesak agar lagu tersebut serta lagu-lagu lain yang ‘mengandungi maksud yang lucah, ganas’ dan ‘tidak sesuai dengan budaya Timur dan Islam’ dihentikan segera.

AWAN turut menggesa agar stesen radio di Malaysia menghentikan siaran lagu tersebut dan menuntut tindakan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kerana dakwa AWAN, SKMM mempunyai tanggungjawab untuk ‘memainkan peranan dengan bertegas dalam isu seperti ini yang boleh merosakkan moral dan gaya berhibur masyarakat dalam negara ini’.

Jadi saya ingin ulang semula soalan saya:

Pertama, adakah sekiranya sesebuah organisasi Islam itu merupakan sebuah parti politik, maka segala isu yang ditimbulkan juga bersifat permainan politik?;

Jika ya, kedua, bagaimana pula dengan kedudukan Parti Amanah Negara (PAN) sebagai sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam progresif dan harmonis? Adakah segala-gala yang keluar daripada pimpinan dan parti PAN juga merupakan permainan politik?

Mengikut logik Wan Ji, adakah AWAN yang mewakili PAN, sedang bermain politik dalam isu lagu ‘Despacito’ ini?

Adakah Pemuda Amanah Nasional yang juga mewakili PAN, sedang bermain politik dalam isu tajuk “Malaysian terrorist leader” pada dua bulan yang lalu?

Ataukah, AWAN melalui kenyataan Dr Siti Mariah Mahmud selaku Ketua Wanita Amanah berhubung isu model kadbod Shell yang mengkritik kenyataan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik, dan yang kononnya memperjuangkan hak wanita, seperti dilaporkan FMT pada 7 Julai 2017 yang lalu bahawa “Kalau tak tahan jangan tengok,” sambil Dr Siti Mariah dilaporkan memetik ayat Al-Quran yang memerintahkan orang beriman ‘menundukkan pandangan mereka’, boleh disifatkan sebagai permainan politik?

Saya tidak berniat untuk menghujah secara substantif dan menilai pendirian yang manakah yang betul atau lebih sesuai dalam setiap isu tersebut, tetapi saya hanya ingin bertanya dan menggunapakai logik Wan Ji yang digunapakai oleh beliau ke atas PAS dan kumpulan Islam yang mempertahankan kedaulatan Islam di tanah air berikutan isu Jerusalem’s Jubilee pada bulan yang lalu.

Laporan berita Malay Mail Online pada 19 Julai 2017 bertajuk ‘Amanah leader wants racy ‘Despacito’ barred from local radio (VIDEO)’ menukilkan bahawa ‘The call mirrors those that frequently come from PAS, which is the primary source of membership in the offshoot Amanah’.

Saya beranggapan bahawa sekiranya seruan berkenaan isu ‘Despacito’ ini dibuat oleh Dewan Muslimat PAS atau Wanita ISMA, maka bertubi-tubilah serangan dibuat keatas kedua-duanya oleh golongan ultra-liberal dan meroyanlah mereka siang malam, termasuklah oleh ahli-ahli politik atau ilmuan dalam Pakatan Harapan.

MMO turut melaporkan bahawa ‘Amanah has been under pressure to explain how it is different from the religiously conservative PAS, as the former frequently professes to be progressive in comparison’.
Kenyataan ini membuktikan bahawa PAN masih bekerja keras untuk mempertontonkan kepada umat Islam bahawa mereka mengangkat agenda Islam namun mereka terikat dengan cogan kata ‘progresif’ menurut fahaman puak-puak liberal dan PAN tidak sanggup untuk dituduh sebagai pelampau atau ekstremis agama.

Persoalan yang sama turut ditimbulkan oleh Timbalan Presiden ISMA melalui kenyataan Tuan Aminuddin Yahaya bahawa agenda Islam tidak kelihatan atau kedengaran dalam Pakatan Harapan apabila beliau dilaporkan sebagai berkata bahawa ‘Di kala Islam ditekan di sana sini oleh golongan Liberal, LGBT, Evangelist dan pelbagai lagi, ia seolah-olah tidak dilihat secara serius oleh PH. Perjuangan mereka hanya berlegar dari aspek maddi sedangkan aspek rohi dan pembinaan manusia seperti ditinggalkan’.

Oleh itu, adakah isu ‘Despacito’ ini, dan isu-isu lain yang dibangkitkan oleh PAN, mengikut logik Wan Ji, bertujuan untuk PAN “mendapat simpati rakyat” seperti apa yang Wan Ji dakwa terhadap PAS dalam isu Jerusalem’s Jubilee?

Saya juga mahu tahu sekiranya logik Wan Ji berkenaan menggunakan agama sebagai permainan politik ini tidak pula terpakai ke atas parti Islam PAN yang mengganggotai Pakatan Harapan dan merupakan rakan politik PKR.

Itu sahaja.



Tiada ulasan: