Ahad, 16 Julai 2017

Tiba masanya masyarakat Melayu menolak budaya celupar

TARIQ ISMAIL

Armada Bersatu Melaka grup


Merujuk kejadian di Melaka tempoh hari di mana bendera PPBM yang dipacakkan di sepanjang jalan, di arah diturunkan oleh pihak berkuasa. Susulan itu, mulalah perbalahan antara ahli-ahli PPBM dan pihak penguatkuasa.

Sebenarnya kami di PPBM mengalu-alukan penyiasatan yang telus dan bebas dari prejudis. Tindakan sewajarnya patut diambil ke atas pesalah laku walau dari mana parti sekalipun. Jika undang-undang MPMBB melarang dari bendera parti politik dikibarkan, memang patut arahan dikeluarkan untuk mengalihkan bendera-bendera tersebut.

Tetapi keadilan menuntut tindakan sama ke atas mana-mana parti pun termasuklah BN.

Kerana dengan tindakan penguatkuasa yang membiarkan bendera BN berkibar sekian lama, seolah menidakkan tuntutan undang-undang.

Tak hairanlah jikalau parti lain turut sama mengibarkan bendera. Mungkin di dalam kes ini, pihak penguatkuasa keliru dan tak dapat membezakan antara kerajaan negeri di pimpin BN dengan parti politik bergelar BN.

Bukankah sesebuah kerajaan walau dipimpin seorang pemimpin dari parti politik, namun ahli politik tersebut harus menjadi seorang pegawai kerajaan dan bertindak dengan telus dan adil bagi manfaat seluruh rakyat dan bukan memihak kepada kehendak politik sesebuah parti? Mungkin tidak!

Bagi ahli-ahli PPBM yang terlibat di dalam peristiwa ini, saya nasihatkan supaya fikir semula akan tindak-tanduk anda sekalian. Adakah wajar kita berkelakuan kasar dan kurang ajar?

Walau bagaimana pun kita teraniaya, sebagai Melayu yang beragama Islam, perlu mempertahankan maruah dengan jalan sabar.

Sememangnya budaya Melayu bukan budaya yang mengamalkan kekasaran mahupun keganasan. Budaya Melayu sentiasa berlembut, walau disebalik kelembutan terdapat ketegasan. Terutama sekali bila terdapat perselisihan pendapat atau perbalahan.

Sayang sekali, kekasaran dan keganasan ini budaya yang diajar oleh UMNO semenjak beberapa tahun lalu. Ia menjadi duri dalam daging kebudayaan Melayu kerana pengaruhnya ke atas generasi muda. Hilang sudah keindahan budaya kita. Ahli-ahli PPBM wajar berpegang kepada perjuangan mempertahankan maruah Melayu dengan cara yang bermaruah.

Tiba masanya, masyarakat Melayu harus tegas menolak budaya celupar dan kembali ke budaya asal yang bermaruah. Kita mesti ingat Maruah Melayu yang berteraskan keadaban (civilization) yang beradab, bersopan, beralas bila bercakap, bermusyawarah bila bertindak dan bermasyarakat dalam hidup. Hak Melayu memperkasakan Maruah Melayu, bukan untuk memperjuangkan Ketuanan Melayu dan menyalak macam kera.

*Penulis Tariq Ismail adalah Ahli Pimpinan Tertinggi merangkap Ketua Bahagian Sri Gading PPBM.

Tiada ulasan: