Selasa, 25 Julai 2017

Tak setuju pelaksanaan Cukai Pelancongan

OLEH LIZAWATI MADFA

DNS 2017


SHAH ALAM: Selangor sama sekali tidak bersetuju dengan pelaksanaan Cukai Pelancongan dicadang Kerajaan Persekutuan kerana bakal membawa lebih banyak impak negatif terhadap ekonomi serta sektor pelancongan.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Elizabeth Wong berkata, pelaksanaan cukai itu memberi kesan kepada terhadap jualan bilik hotel bertaraf empat dan lima bintang.

Katanya ia juga menyebabkan kenaikan kos lawatan melancong, seterusnya membantutkan perkembangan pelancongan di Selangor.

“Kerajaan Persekutuan dianggarkan bakal mengutip RM654.6 juta setahun hasil Cukai Pelancongan tetapi ke mana ia akan dibelanjakan masih kabur.

“Sehingga kini, kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) lebih RM41 bilion setahun juga masih gagal dipastikan ke mana ia dibelanjakan,” katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berhubung pendirian Kerajaan Negeri berhubung cukai berkenaan.

Elizabeth berkata, Kerajaan Persekutuan seharusnya memberikan jaminan bahawa hasil dikutip disalur terus bagi membina atau menambah baik infrastruktur pelancongan.

“Kerajaan Negeri syorkan semua hasil dikutip Jabatan Kastam daripada hotel di Selangor disalurkan semula kepada Kerajaan Negeri untuk membantu secara langsung sektor perhotelan dan pelancongan negeri ini,” katanya.=EZY=

Tiada ulasan: