KEPALA BATAS
– Tabung Haji (TH) telah membuat persiapan rapi dan bersedia menyambut
ketibaan 30,200 jemaah haji yang akan menunaikan Rukun Islam kelima
untuk musim haji 1438H itu di Tanah Suci bermula bulan ini.
Ketua
Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata,
persiapan rapi itu membabitkan semua perkara terutama dari segi
penginapan di hotel, makanan serta petugas TH dalam usaha memastikan
semua jemaah selesa sepanjang menunaikan ibadah haji.
“Setakat
ini, persiapan TH di Tanah Suci semuanya berjalan lancar kerana kami
telah membuat persiapan awal sejak beberapa bulan lepas.
“Malah
petugas-petugas kita telah mula ke sana sejak 12 Julai lepas dan pada
tahun ini 600 petugas TH ditugaskan untuk menjaga kebajikan dan
keselamatan jemaah Malaysia di Tanah Suci,” katanya kepada Bernama
selepas perasmian Kursus Perdana Haji Musim 1438H/2017M peringkat Pulau
Pinang, di sini malam tadi.
Kursus dua
hari membabitkan 1,082 jemaah haji di Dewan Milenium, di sini itu
dirasmikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.
Sementara
itu, Syed Saleh yang juga Pengurus Besar Kanan Haji TH berkata kursus
itu bertujuan memberi gambaran awal buat bakal jemaah mengenai keadaan
sebenar ibadah itu sebelum mereka ke Tanah Suci.
Katanya
kursus perdana yang diadakan di seluruh negara itu adalah latihan
terakhir anjuran TH sebagai usaha meningkatkan tahap pengetahuan jemaah
berkaitan ibadah haji terutama dari segi praktikal.
“Kehadiran
jemaah di kursus perdana di seluruh negara juga sangat baik…ada
(jemaah) juga yang tidak hadir tetapi ia jumlah yang kecil serta
bersebab dan mereka tidak perlu bimbang kerana petugas TH akan membantu
memberikan maklumat dari semasa ke semasa,” katanya.
Penerbangan
pertama akan berlepas pada 24 Julai ini sementara penerbangan terakhir
dijangka pada 25 Ogos dan semua jemaah haji negara dijadualkan pulang
semula ke tanah air pada 7 Sept dan penerbangan terakhir dari Arab Saudi
ialah pada 4 Okt. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan