Sabtu, 1 Julai 2017

Syed Saddiq simpan impian jadi MP Pulai

Shawaliah Hadir

Ketua Armada PPBM itu mahu 30 peratus daripada generasi muda lelaki dan perempuan untuk dipertandingkan di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mewakili PPBM kelak.

KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyimpan impian untuk bertanding di kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Selain merupakan tempat kelahirannya, Pulai adalah daerah di mana beliau menabur jasa mendidik beberapa tahun sebelum bergiat aktif dalam arena politik.

“Tapi kalau saya, saya nak kampung saya, Pulai. Pulai ialah kampung saya, keluarga saya di sana sangat besar. Saya mengajar (sambilan) di sekurang-kurangnya lima sekolah di sana.

“Saya sentiasa mengajar di sana. Mengajar tuisyen selama empat tahun dengan mak saya,” kata anak muda berumur 25 tahun itu kepada Berita Daily ketika ditemubual secara eksklusif.

Selain dikenali oleh penduduk di situ Syed Saddiq juga mempunyai keluarga besar menjadikan Pulai sebagai tempat yang sentiasa dekat di hatinya.

Walaubagaimanapun beliau menyerahkan kepimpinan tertinggi PPBM dan Pakatan Harapan untuk membuat keputusan.

Pulai adalah Parlimen di bawah Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed.

Jazlan mengalahkan pencabarnya sebelum ini daripada PAS iaitu Salahuddin Ayub yang kini menjadi pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) dengan majoriti undi 3,226 pada PRU 13 yang lalu.

Jazlan menang tiga pilihan raya umum berturut-turut semenjak 2004 lagi.

Pulai merupakan kerusi tradisi yang ditandingi oleh Barisan Nasional dan PAS.

Dalam pada itu, Syed Saddiq mahu 30 peratus daripada generasi muda lelaki dan perempuan untuk dipertandingkan di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mewakili PPBM kelak.

Perkara itu ujarnya telah dipersetujui oleh pimpinan tertinggi parti.

“Secara lisannya ia telah dipersetujui. Oleh sebab saya wakil anak muda, keutamaan kepada anak muda untuk dapat peluang, tidak kira daripada srikandi parti itu , yang penting 35 tahun dan ke bawah,” tambahnya.

Tiada ulasan: