Isnin, 10 Julai 2017

Syarikat M'sia dituduh dalang sindiket jenayah di Thailand




Sebuah syarikat Malaysia yang mempunyai kepentingan perniagaan utama di selatan Thailand dituduh sebagai "sindiket jenayah transnasional" dan menyebabkan kerajaan Thailand mengalami kerugian kewangan bernilai "berbilion Baht" (1 Bilion Baht = RM125 juta).

Tuduhan terhadap syarikat itu, yang turut berdepan siasatan oleh pihak berkuasa Malaysia, dilemparkan oleh sebuah jawatankuasa bersama yang ditubuhkan oleh kerajaan Thailand bagi menyiasat firma itu dalam mesyuarat terbarunya beberapa hari lepas.

“Wakil Pejabat Peguam Negara merumuskan (semasa mesyuarat) bahawa semua agensi kerajaan terlibat dalam penyiasatan akan beri tumpuan kepada pertuduhan utama (terhadap syarikat Malaysia) sebagai sindiket jenayah transnasional.

"Semua agensi terlibat dalam penyiasatan telah diminta mempercepatkan penyiasatan mereka," kata seorang sumber berpangkat tinggi yang enggan mendedahkan identitinya susulan sensitiviti maklumat yang dikongsikannya itu dengan Bernama.

Jawatankuasa itu yang ditubuhkan hanya beberapa bulan lepas, dianggotai wakil daripada Pejabat Peguam Negara, Jabatan Siasatan Khas, Biro Pembanterasan Narkotik, Pejabat Lembaga Pengawalan Narkotik dan Pejabat Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Agensi kerajaan yang lain dalam jawatankuasa itu termasuk Jabatan Hasil Dalam Negeri, Jabatan Pembangunan Perniagaan dan bank pusat Thailand iaitu Bank of Thailand.

Ini merupakan kali pertama Thailand menubuhkan jawatankuasa dianggotai pelbagai agensi untuk menyiasat sebuah syarikat, menunjukkan betapa seriusnya dakwaan itu, kata sumber itu.

Menurutnya, operasi syarikat itu tidak logik, yang "tidak masuk akal dalam mana-mana urusan perniagaan” kerana ia berterusan menyalurkan wang untuk memperluaskan perniagaan disebalik mencatatkan kerugian kwangan setiap tahun, telah menimbulkan kecurigaan pihak berkuasa.

"Ia (syarikat Malaysia dan anak syarikatnya) mencatatkan kerugian hampir setiap tahun dan tidak membayar cukai tetapi pada masa sama, memperluaskan pelaburan secara agresif, ini tidak masuk akal bagi mana-mana urusan perniagaan," menurutnya.

Kecurigaan itu telah mendorong pihak berkuasa Thailand untuk mengambil tindakan, yang membawa kepada penubuhan jawatankuasa dianggotai pelbagai agensi itu tatkala penyiasatan terhadap syarikat Malaysia itu diperluas dan lebih terperinci, katanya.

Malaysia telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat syarikat itu, dengan pasukan itu dianggotai Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negara, , Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Imigresen dan polis. Pasukan Petugas Khas itu diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Menurut kementerian itu pada Mei, pihak berkuasa telah membekukan 91 akaun bank di lapan bank tempatan membabitkan RM177 juta yang ada kaitan dengan syarikat itu.

Syarikat itu juga sedang disiasat Bank Negara Malaysia mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 serta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Menurut sumber berpangkat tinggi itu, syarikat itu mula melabur di selatan Thailand, terutamanya di Hatyai dan Danok pada 2013, dan memperluaskan perniagaannya ke Bangkok dan utara Thailand.

Sejak bertapak di Thailand empat tahun lepas, syarikat itu telah melakukan perluasan operasi secara agresif dan kini mempunyai sekurang-kurangnya 20 anak syarikat di negara ini yang terbabit dalam pelbagai urusan perniagaan daripada hotel, pusat hiburan, taman tema, pengurup wang sehingga restoran.-Bernama


Tiada ulasan: