Ahad, 16 Julai 2017

Susulan keputusan Mahkamah Singapura: Muhyiddin gesa RCI segera ditubuhkan

 MALAYSIA DATELINE




Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) segera ditubuhkan untuk merungkai kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) susulan keputusan mahkamah Singapura menjatuhkan hukuman penjara terhadap bekas pengurus BSI Bank Yeo Jia Wei.

"Amatlah menghairankan apabila pihak berkuasa Singapura berjaya menemui bukti untuk mendakwa Yeo dan mensabitkan beliau atas kesalahan jenayah, tetapi Peguam Negara Malaysia tidak menemui apa-apa bukti untuk memulakan proses pendakwaan ke atas penyangak 1MDB di negara ini.

"Pihak berkuasa Singapura juga telah meghentikan operasi BSI Bank dan Falcon Bank di negara itu dan mendenda beberapa buah bank lain yang didapati terbabit dalam jenayah penggubahan wang haram melibatkan berbilion ringgit wang 1MDB.

"Sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja Skandal 1MDB perlu diwujudkan segera untuk menyiasat skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara ini dan mereka yang terbabit melakukan jenayah, termasuk penjawat-penjawat awam yang melindungi mereka, perlu dihadapkan ke mahkamah.
Malaysia tidak harus menjadi sebuah negara yang melindungi penjenayah," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh ini lagi, tindakan mahkamah Singapura ini adalah konsisten dengan apa yang pernah beliau katakan selama ini bahawa terdapat bukti kukuh tentang jenayah
penyelewengan wang 1MDB dan mereka yang terbabit mesti didakwa.

Sebelum ini beberapa pemimpin Pakatan Harapan turut mendesak RCI ditubuhkan bagi menyiasat 1MDB dan dana yang disalah guna bagi tujuan pengubahan wang haram ekoran laporan siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) baru-baru ini.

Pada Rabu, Mahkamah di Singapura menjatuhkan hukuman penjara 54 bulan (4 tahun 5 bulan ) ke atas bekas pegawai BSI di republik itu, Yeo Jiawei selepas dia mengaku melakukan kegiatan pengubahan wang, lapor akhbar Straits Times Singapura.

Ia adalah hukuman paling berat pernah dijatuhkan terhadap mana-mana individu yang dikaitkan dengan skandal 1MDB di Singapura yang turut menyebabkan penutupan 2 bank asing oleh bank pusat negara itu, Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS).

Yeo sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 30 bulan selepas didapati bersalah cuba mengganggu saksi dalam siasatan Singapura yang dikaitkan dengan 1MDB, Disember lalu.

Terdahulu, Yeo, 34, mengaku bersalah dan disabitkan bersalah, masing-masing terhadap 1 dakwaan pengubahan wang haram dan menipu, dengan mengambil kira 8 pertuduhan lain.

Dia diarah menjalani hukuman penjara serentak dengan hukuman sebelumnya.

Bekas pengurus kekayaan di bank swasta Switzerland, BSI itu ialah “salah seorang suspek utama berpangkalan di Singapura” dalam skandal berkenaan, yang turut disiasat Switzerland dan Amerika.

Tiada ulasan: