Jumaat, 28 Julai 2017

Surat terbuka mengenai kes ‘nama anak luar nikah'



ULASAN l Saya merujuk kepada penghakiman Mahkamah Rayuan baru-baru ini di dalam kes Rayuan No W-01(A)-365-09/2016 (nama pihak perayu dirahsiakan mahkamah) mengenai kesahan meletakkan bin bagi anak tak sah taraf kepada bapa biologi anak tersebut.

Penghakiman Mahkamah Rayuan tersebut dibuat berdasarkan seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 yang membenarkan pendaftaran anak tak sahtaraf dibinkan kepada nama bapa biologi jika kedua ibubapa bersetuju.

Penghakiman tersebut juga mengambilkira bahawa menurut Hukum Syarak anak tak sah taraf mempunyai limitasi tertentu seperti hak untuk mewarisi dan sebagainya.

Selanjutnya isu hak pewarisan di kalangan orang Islam mestilah diputuskan di mahkamah syariah jika kesahtarafan dicabar. Orang yang menuntut pewarisan mestilah menentukan dia adalah anak sah taraf.
Secara ringkas alasan Mahkamah Rayuan antara lainnya adalah seperti berikut:

1. Pendaftaran tersebut adalah dibenarkan di dalam seksyen 2 Akta tersebut dan
2. Mengelakkan stigma dan kesan psikologi kepada anak-anak tersebut.

Setelah meneliti penghakiman tersebut saya timbul persoalan adakah seksyen 13A Akta tersebut adalah berperlembagaan kerana isu sahtaraf anak adalah dalam bidangkuasa negeri melalaui undang-undang negeri.

Walaupun dijelaskan di dalam penghakiman tersebut ia hanya berkaitan pendaftaran tetapi kesannya akan turut menyentuh kesahtarafan anak, pewarisan dan sebagainya yang tidak dapat dinafikan adalah bidangkuasa mahkamah syariah.

Namun sebagaimana yang sedia maklum Mahkamah Rayuan tidak boleh mengisytiharkan ketidak berperlembagaan sesuatu undang-undang.

Pendekatan simplistik Mahkamah Rayuan dengan hanya mengambilkira kuasa di dalam Akta Pendaftaran tersebut boleh mengundang pelbagai polemik dan memusnahkan institusi keluarga orang Islam.

Akta tersebut tidak boleh dibaca secara berasingan dengan undang-undang lain termasuklah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Islam yang sah berkuatkuasa.

Seksyen 110 hingga 119 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan tentang kesahtarafan anak. Seskyen 110 khususnya adalah berkaitan dengan siapakah yang dikaitkan sebagai bapa bagi orang Islam.

Isu kelahiran lebih empat tahun selepas pembubaran perkahwinan, kelahiran selepas pengakuan bahawa iddah telah tamat, persetubuhan syubhah dan banyak lagi diperuntukkan di dalam Akta Undang-undang Keluarga tersebut yang seharusnya menjadi panduan kepada undang-undang lain kerana Akta Undang-Undang Keluarga Islam ini adalah undang-undang spesifik untuk orang Islam manakala Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 adalah undang-undang yang lebih umum.

Oleh yang demikian saya mendesak Kerajaan Persekutuan agar meminda Akta ini bagi menghormati Islam sebagai agama bagi Persekutuan selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan mengecualikan pemakaian sebahagian daripada Akta ini yang bertentangan dengan Hukum Syarak kepada orang Islam.

Malah sumpah Yang di-Pertuan Agong di dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan untuk memelihara agama Islam pada setiap masa juga akan hanya menjadi dekorasi yang tidak diberikan efek undang-undang melalui penghakiman tersebut.

Semua peruntukan mengenai kesahtarafan anak yang bertentangan dengan Hukum Syarak hendaklah dipinda agar tidak terpakai kepada orang Islam.

Kerajaan juga boleh mengambil tidakan lain seperti tidak menghadkan bin kepada Abdullah sahaja (boleh juga dibinkan dengan Abdul Rahman, Abdul Rahim ataupun apa-apa nama lain yang sesuai) untuk mengelakkan stigma tersebut.

Ketika ini di mahkamah syariah terdapat kes-kes pembahagian harta pusaka yang mana suatu pihak mendakwa seorang itu tidak layak mewarisi kerana bukan anak sah taraf ataupun hanya anak angkat tetapi dibinkan kepada bapa biologi atau bapa angkat.

Kes begini agak sukar diselesaikan sehingga ada yang memerlukan keterangan pakar DNA bagi mengesahkan talian darah bagi anak angkat.

Selanjutnya saya berpandangan adalah tidak wajar mahkamah membuat keputusan semata-mata berdasarkan stigma dan kesan psikologi kepada anak tak sahtaraf dan membelakangi Hukum Syarak.
Dengan keputusan sebegini akan mengundang lebih banyak polemik di dalam masyarakat di mana isu pewarisan ketidak sahtaraf anak dan lain-lain menjadi lebih sukar dibuktikan di mahkamah.

Walaupun Mahkamah Rayuan mengatakan ia hanya isu pendaftaran tetapi kesannya sangat melata akan dirasakan oleh semua orang Islam kelak.

Saya juga mengucapkan terima kaseh kepada Jabatan Peguam Negara yang telah menyatakan akan memohon kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan agar isu ini dapat dimuktamadkan oleh mahkamah tertinggi negara.

Mudah-mudah Mahkamah Persekutuan akan memberi keputusan yang lebih menepati Hukum Syarak.

* DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR adalah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Tiada ulasan: