Rabu, 26 Julai 2017

Sulaiman enggan tunduk gesaan letak jawatan sebagai pemangku Pengerusi FGV

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pemangku Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob enggan tunduk kepada gesaan 'Suara Generasi Kedua FELDA' yang mendesaknya meletak jawatan. 
 
Sambil menyifatkan gesaan itu sebagai 'amat tidak kena', Sulaiman berjanji akan melaksanakan tugas yang diberikan kerajaan bagi memulihkan prestasi kewangan syarikat tersebut.
 
Dalam satu temu bual dengan Bernama pada Rabu, beliau berkata, tugas utamanya sejak dilantik sebagai pemangku pengerusi bagi menggantikan Tan Sri Isa Samad pada 19 Jun lepas adalah untuk mengembalikan keyakinan pelabur terhadap FGV sebagai syarikat senaraian awam yang pemegang saham terbesarnya ialah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) serta peneroka sendiri.
 
Isnin lalu, Datuk Zulkefli Nordin, penasihat kumpulan yang mewakili generasi kedua peneroka Felda telah menggesa Sulaiman dan lembaga pengarah untuk meletak jawatan bagi menghapuskan keraguan mengenai integriti mereka dalam menguruskan FGV, satu daripada pengeluar minyak sawit terbesar dunia.
 
Zulkefli berkata, masalah FGV dilihat berpunca daripada campur tangan lembaga pengarah dalam mentadbir FGV dan sebahagian peneroka generasi kedua bimbang masalah FGV akan dipersalahkan kepada presiden FGV yang digantung tugas, Datuk Zakaria Arshad.
 
Sulaiman dengan tegas menafikan tuduhan berkenaan. 
 
"Sebagai syarikat senaraian awam,  FGV perlu mematuhi tadbir urus korporat, undang-undang dan peraturan.
 
"FGV mesti bertindak sewajarnya dan semuanya perlu dilakukan bagi melindungi kepentingan pemegang saham dan semua tuduhan terbabit tidak akan mengganggu saya atau menggagalkan rancangan kami,”  tambahnya.
 
Pada 6 Jun, beberapa pegawai kanan FGV diarah bercuti berikutan kemelut lembaga pengarah antara Isa dan Zakaria yang dicetuskan kelewatan bayaran untuk transaksi minyak sawit oleh syarikat Afghanistan, Safitex kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.
 
“Saya belum pun sebulan memegang jawatan ini dan tuduhan itu tidak akan mengganggu saya. FGV adalah syarikat senaraian awam, oleh itu saya tidak akan membenarkan sebarang perpecahan dalam lembaga pengarah.
 
“Membuat tuduhan seumpama itu adalah seperti sengaja mencari masalah dan membuka jalan kepada harga saham untuk terus jatuh,” tambah beliau.
 
Ketika saham FGV disenarai pada Jun 2012, ia diniagakan pada RM4.55 seunit, tetapi telah merudum kepada antara RM1.60 dan RM1.70 sesaham, disebabkan terutama oleh banjir di Kelantan serta harga minyak sawit mentah yang rendah.
 
Berikutan pelantikan Sulaiman, harga saham meningkat 4.55 peratus kepada RM1.84 selepas pelabur memberi reaksi positif terhadap perubahan dalam pucuk kepimpinan syarikat tersebut.
 
Bagaimanapun ia jatuh empat sen kepada RM1.65 ketika ditutup semalam.
 
Ketika mempertahankan tindakan yang diambil bagi memulihkan FGV, Sulaiman menegaskan: "Kami diberi mandat oleh pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan dan semua resolusi telah diluluskan mereka...pemegang saham adalah pihak berkuasa kami yang lebih tinggi dan oleh itu kami mempunyai tanggungjawab terhadap mereka."
 
"Dan dalam usaha untuk bergerak ke depan, kami berhasrat untuk menangani pelbagai isu berkaitan buruh asing dan produktiviti syarikat. Bersama dengan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, kami mahu lembaga itu menjadi kuat semula.”
 
Sulaiman pernah berkhidmat dengan kerajaan selama 38 tahun dalam pelbagai kapasiti termasuk sebagai Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri serta Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

Tiada ulasan: