Isnin, 3 Julai 2017

SPRM siasat dakwaan peralatan tentera hilang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

 SPRM


SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) giat menjalankan siasatan berhubung dakwaan kehilangan sebuah kontena yang dipercayai mengandungi peralatan radar tentera, baru-baru ini.

Suruhanjaya itu dalam kenyataannya memaklumkan, pasukan penyiasat khas akan digerakkan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes terbabit untuk tindakan lanjut.

“Pasukan penyiasat akan menilai maklumat yang diperolehi untuk mengenalpasti sama ada wujudnya unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam kejadian itu.

 “SPRM juga akan mengambil keterangan daripada beberapa orang pegawai daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi membantu siasatan.

“Selain itu, SPRM akan bekerjasama dengan pihak polis yang turut menjalankan siasatan ke atas dakwaan kehilangan peralatan radar itu,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan kehilangan sistem peralatan radar ketenteraan berteknologi tinggi berjilai jutaan ringgit hilang di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor, baru-baru ini.

Difahamkan, sistem peralatan radar terbabit dikatakan dalam perjalanan transit dari Australia ke Belanda dan ditahan JKDM sementara menunggu dokumen diperlukan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam menafikan kontena berisi radar itu hilang sebaliknya mengesahkan ia sudah sampai ke Belanda melalui Pelabuhan Rotterdam, lapor Berita Harian.

Tiada ulasan: