Selasa, 11 Julai 2017

Sikap Hamka pada Sukarno jadi panduan santuni Dr M

KEADILAN DAILY

 

KUALA LUMPUR: Akhlak ulama dan ahli falsafah ulung Indonesia, Hamka terhadap bekas presiden Indonesia, Sukarno yang pernah memenjarakannya menjadi inspirasi kepada sikap Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu beliau mencontohi sikap Hamka dalam menerima kehadiran Dr Mahathir yang kini menjadi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bekerjasama dengan KEADILAN dalam Pakatan Harapan untuk menumbangkan Umno BN.

“DSAI (singkatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim) selalu berpesan kepada kami berkenaan sikap Buya Hamka terhadap Sukarno.

“Walaupun ada kesalahan Sukarno terhadap Buya Hamka, tetapi Buya Hamka tetap hadir menunaikan solat jenazah ketika kematian Sukarno,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

Menurut Nurul Izzah, beliau percaya Tuhan mengubah hati Dr Mahathir yang kini kembali kepada jalan yang benar.

“Dahulu, Tun M menolak agenda Reformasi yang didokong oleh DSAI. Ternyata Tuhan menguasai hati manusia.

“Makanya kini, Tun M sebumbung bersama Parti Keadilan Rakyat atas Pakatan Harapan bersama-sama berusaha menjatuhkan kleptokrat – yang merupakan dasar utama Agenda Reformasi.

“Selama kita berada dalam kebenaran, yakinlah kebenaran pasti akan menang,” katanya lagi.
Dr Mahathir yang merupakanbekas perdana menteri keempat memecat Anwar pada tahun 1997 yang pada masa itu merupakan timbalannya.

Pemecatan tersebut mencetuskan gerakan Reformasi namun Anwar dipenjarakan tidak lama kemudian atas tuduhan Fitnah 1.

Hamka atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah di Indonesia pula dipenjarakan Sukarno selamma 2 tahun 4 bulan pada tahun 1964 sehingga 1966.

Hamka dipenjara Sukarno atas fitnah merancang gerakan subversif untuk membunuh presiden.

Namun, Hamka tetap berlapang dada dan berbesar hati memenuhi permintaan seteru politiknya itu yang mahu beliau mengimamkan solat jenazah beliau.

Tiada ulasan: