Isnin, 31 Julai 2017

Setuju keputusan Mahkamah Rayuan seperti sokong zina pada masa depan - Mufti Perak

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pihak yang menyokong keputusan Mahkamah Rayuan untuk membenarkan anak luar nikah dibinkan dengan nama bapanya dianggap menghalalkan zina pada masa akan datang.
 
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata isu itu adalah soal hukum agama dan ia tidak boleh dikompromi sama sekali.
 
Ujarnya rakyat tidak seharusnya mempertikaikan kuasa yang diberikan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tidak membenarkan anak luar nikah dibinkan nama bapanya.
 
"Dah beribu tahun dah hukum tu kekal macam tu. Orang duhulu-dahulu tidak membuat hukum sebarangan. Hukum diasaskan daripada Al-Quran, hadis, ijmak dan juga istidraj (kajian). Jadi setelah diputuskan barulah ia kekal.
 
"Kenapa kita nak melawan arus, adakah nak cari publisiti dengan cara kita melawan arus?Ini (anak luar nikah perlu binkan Abdullah) pendapat baru menjurus kepada menghalalkan zina," katanya semasa menghadiri Majlis Pelancaran Projek Residensi RAH di Kampung Baru, hari ini.
 
Beliau berkata demikian mengulas kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada Khamis lalu yang membenarkan anak tidak sah taraf boleh dibin atau dibintikan bapanya.
 
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebelum ini memutuskan perkara berkenaan ketika membenarkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan kedua ibu bapanya.
 
Mahkamah berpendirian, Ketua Pengarah PN selaku responden kedua telah bertindak di luar bidang kuasa ketika mendaftarkan ‘Abdullah’ sebagai nama bapa kepada kanak-kanak itu dalam sijil kelahirannya.
 
Sehari kemudian, Ketua Pengarah Jabatan JPN, Datuk Mohd Yazid Ramli berkata, pihaknya akan terus meletakkan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah sehingga kes itu dimuktamadkan Mahkamah Persekutuan.
 
Agensi itu kini dalam proses rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung perkara itu.
 
Isu berkenaan kemudiannya mengundang reaksi pelbagai, dengan ramai yang menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan itu sememangnya tidak selari dengan apa yang ditentukan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
 
Mengulas lanjut, Harussani berkata keputusan Mahkamah Rayuan itu jelas membelakangkan agama Islam yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan.
 
"Dalam perlembagaan kita agama Islam yang dipakai, jadi kenapa mereka nak nafikan keputusan fatwa dan telah digazetkan. Keputusan untuk mengikat pendaftaran (JPN), dia mengikat semua, itu sudah ada dalam Perlembagaan. Macam mana Mahkamah Rayuan sendiri tidak terikat dengan fatwa.
 
"Kita bukan menghina mahkamah tapi perbuatan itu tidak betul, keputusan Mahkamah Rayuan ini yang menghina Islam, menghina perlembagaan itu sendiri, menghina fatwa," katanya.
 
 
 
 

Tiada ulasan: